Bab 28

205 20 14
                                    



Damia meringis pedih saat antiseptik itu disapu pada lukanya. Tubuhnya kian membaik selepas seminggu beristirehat penuh. Lebamnya masih ungu meskipun tak sepekat dulu. Sakitnya sudah tertampung, tidaklah terlalu nyeri tika bersentuh dengan objek lain. Saat selesai, laptop pula dibukanya.

Yasmin yang masih tertidur pulas di katilnya direnung lama sebelum dengusan kasar meninggalkan bibirnya. Gila! Rasa macam sudah hilang kawan sejak Yasmin pandai bersekongkol dengan Ariq. Ada saja akal mahu kenenkan dia dengan teman baik bakal kekasih hati itu. Cis!

Tapi dia teramat bersyukur dikurniakan sahabat seperti Yasmin. Tiada galang ganti. Sanggup bersusah payah membantunya.

Hubungan Yasmin dan Raees semakin rapat. Laju betul progres, kalah dia dengan Ariq yang dah kenal lebih lama. Tapi Damia boleh faham. Doktor Raees tu kaki mengayat, ada saja cara nak menggoncangkan hati rapuh Yasmin. Ni pun Ariq dah berjangkit. Risau Damia.

Bercakap tentang crush sepanjang hayat itu... Rindu.

Slaid pembentangan yang telah disiapkan itu ditatap sekali lagi setelah beberapa kali semakan dibuat. Dalam diam, bibirnya mengukir senyum. Betapa dia rindukan kerjanya yang dahulu. Walau sudah tujuh bulan meninggalkan bidang pemasaran, ternyata setiap sendinya masih hafal betul dengan tatacara kerja lamanya.

Yalah, sudah sebati dalam darah.

Menyiapkan proposal tentang kerjasama yang bakal dijalankan dengan jenama fesyen terkemuka tempatan itu membuatkan rindunya kembali membuak-buak. Itu tugas Yasmin, tapi sengaja dia membantu. Dua tiga hari ini, Yasmin banyak merungut tentang proposalnya yang ditolak berkali-kali. Maka apa salahnya dia sebagai sahabat membantu sedangkan Yasmin sudah terlalu banyak membantunya.

Gatal pula tangannya membuka portal carian kerja baharu. Beberapa iklan dibuka, membaca setiap syarat kualifikasi dan bidang tugas. Sejenak dia teringatkan peristiwa beberapa bulan lepas. Seriau pula. Terus niat mencari kerja terbatal.

Telefon dicapai, mendapati ada mesej yang dia terima. Ingatkan daripada Ariq. Spontan, dia mencebik masam. Sepanjang hari ini, senyap sahaja lelaki itu. Sibuk benar di klnik nampaknya.

Pipi ditampar sekali. Engkau jangan gedik sangat Damia! Masa dia depan mata, kau acah-acah tak layak. Sekarang dia jauh, kau pula yang tercari-cari. Nama pengirim dibaca sepintas.

Mesej itu daripada Huda, memaklumkan mereka dalam perjalanan. Juga berpesan yang mereka sudah bungkuskan makanan berat untuk Damia dan temannya. Dari beberapa hari lepas mereka memang berjanji mahu melawat Damia pada hujung minggu. Teman-teman klinik tahu yang dia sedang cuti sakit, almaklum sudah seminggu tak masuk kerja. Details tidak diceritakan.

Mesej itu dibalas segera. Bersamaan itu masuk pula panggilan daripada Ariq.

"Hello? Laju angkat. Memang tunggu ke?" Seperti biasa, laju Ariq hentam dia. Damia julingkan mata. Hello! Angkat laju pun salah ke?

"Mana ada. Memang tengah pegang phone. Saya angkatlah laju-laju." Sebetulnya telahan Ariq tak salah. "Kenapa call?"

"Makan dah?"

"Belum."

"Okey. Nanti saya..."

"Tak apa. Petang ni orang klinik semua nak datang. Tak ada bagitahu awak?" Aju Damia. Kut-kutlah mereka bercerita dengan Ariq.

"Oh, I see. Tak ada cerita pula nak melawat awak. Tapi kenapa pula nak bagitahu saya? Bukannya dia orang kena minta izin saya dulu kalau nak melawat awak." Ishh, kan orang tanya je.

"Ha senyap lagi." "Ya nak apa?" Bebola matanya sudah bergerak ke atas, meski Ariq tak nampak Damia tetap perlu mengekspresikan rasa jengkelnya. "Nak tutup call. Boleh kan?"

Pencinta Nombor Satu | OngoingWhere stories live. Discover now