Bab 29

211 23 13
                                    



Pandangannya terus lurus meskipun derap kaki itu mengganggu perhatiannya. Rengusan kasar terbit dari bibir. Dijumpai lagi. Sebaik sahaja daun pintu ditolak kasar, dia sudah bersedia untuk pekakkan telinga mendengar maki hamun itu. Raut bengis yang dahuunya boleh buat dia kecut perut tetapi sekarang rasa itu nihil.

Dia sudah lama hidup tanpa rasa.

"Kau buat apa lagi?" Kau yang bangsat. Mahu saja diludahnya si tak guna di depan mata ini Tapi rasanya ditahan. Bazir air liur saja. Ah biar saja dia dipukul lagi. Tubuh ini sudah lali menerimanya.

"Balik!" Jerkah lelaki itu mengundang ketawanya. Dia terkekek menahan isi perut yang kegelian sebelum sekilas wajah bingung di hadapannya menggeletek derianya. Hembusan nafas kasar yang menahan rasa amarah dihadapannya sungguh menghiburkan. Tanpa mempedulikan lelaki itu dia kembali menghadap komputernya.

Rambutnya dijambak tanpa belas membuatkan pandangan mereka bertemu. "Aku kata balik! Balik!"

Ini adegan apa? Pura-pura menjadi mithali? Kalau dia pulang sekalipun, apa faedahnya? Sudahnya dia senyap tak bereaksi. Biar miring lelaki ini dibuatnya. Baru tahu rasa saat rintihannya tak didengar. Segala aduan tak diendah. Biar lelaki ini hidup dihujat rasa jijik, namanya diceloreng dengan bukti nista.

Tawanya meledak lagi.

"Jangan uji aku. Balik." Tak berteriak lagi, tapi ketapan giginya kelihatan jelas. Jijik pula melihat lakonan lelaki terpaling 'malaikat'.

"Untuk apa aku balik? Nak jadi bahan kawan-kawan kau? Atau nak jadi sisa kau pula?" Selarnya. Sinis dan sarkastik. Matanya memicing memandang lelaki yang menjadi punca kerosakannya. Bibir kembali menyeringai saat wajah itu bertukar rentak.

"Aku akan betulkan segalanya. Kau balik. Kau buat begini, dia tak akan pandang kau." Kali ini nadanya melentur, lebih memujuk. Sudah beranjak lembut, segala kerut tegang di wajah hilang. Dia tak mahu percaya dengan pandangan matanya. Ada bayang bersalah yang tersingkap di balik wajah letih itu. Ah, persetankan!

Dunia mengajarnya yang wanita itu adalah alat. Tubuh dijadikan alat sebagai tukar ganti atas segala bentuk kehendak. Apapun keinginannya boleh dibayar dengan keindahan lekuk tubuh dan sentuhannya. Sesuatu yang hanya mampu ditawarkan oleh wanita.

Dan syaitan di depan mata ini yang mengajarnya. Oops! Mungkin lelaki ini bukanlah sekeji mana. Kalau bukan kerana lelaki ini manakan dia punya jambatan untuk bertemu dengan Den Mikhael. Lelaki pemilik jiwa dan raganya.

Untuk Den dia sanggup lakukan apa sahaja. Lelaki itu telah menyelamatkan dia daripada hancur. Dia masih ingat kata-kata lelaki itu sehingga sekarang. Den akan jaga dia. Dia ada tanggungjawab untuk dilaksanakan. Menjaga hak lelaki itu jua. Dia wanita sempurna, yang layak ditatah dengan emas dan berlian. Lelaki itu melindungi melebihi semua orang di dunia, bahkan melebihi kekasihnya.

Kekasihnya juga melindunginya dengan sepenuh raga. Hanya untuk merosakkan dia semula. Ah kata kekasihnya, mana ada kucing yang menolak ikan yang manis. Mahu pula ikan itu sedia dijamah di lantai. Mungkin Den juga begitu. Sebaik mana pun lelaki, sekuat mana pun pasti kalah dengan ciptaan yang paling agung. Itu yang cuba dia lakukan. Memenuhi semua kehendak naluri lelaki itu. Menjadi perempuan sempurna di matanya.

"Kau dah janji nak hentikan semuanya..." Lirih suara itu merayu. Sejenak dia memerhati lelaki yang berlutut di depannya. Matanya basah. Menangis? Seriau dia dibuatnya. Lakonan semacam apa ini?

"Kau yang mungkir janji." Wajah lelaki di hadapannya dipaut. Menarik dagu itu untuk mendongaknya. "Kalau kau buat kerja kau, betina tu takkan muncul." Bersama senyuman dia mendekatkan wajah dengan lelaki itu. Matanya bulat menegakkan bulu roma yang melihat.

Pencinta Nombor Satu | OngoingWhere stories live. Discover now