Jika dalam drama cinta, heronya selalu menjadi lelaki yang digilai semua wanita. Heroinnya pula adalah satu satunya baka yang langsung tak hairan dengan kehadiran hero membuatkan hero rasa tercabar lalu mula mendekati heroinnya. Pada akhirnya mereka saling jatuh cinta setelah menempuhi rintangan yang pelbagai.Damia selalu mengharapkan kisah cintanya begitu. Datangnya seorang jejaka yang menjadi igauan gadis-gadis kecuali dia. Kemudian, jejaka itu akan jatuh cinta padanya. Maka jadilah dia si gadis paling bertuah semesta alam.
Namun kisah dia tak pernah begitu. Selalunya apabila dia minat pada seseorang, dia hanyalah salah seorang dari seribu gadis yang turut memuja sambil bagi surat cinta senyap-senyap, pegang banner tulis nama lelaki itu besar-besar, usha lelaki itu kalau lalu depan kelas.
Tapi kali ini, karakternya lain pula. Tak pernah terlintas untuk dia memerankan watak antagonis yang menjadi duri berbisa dalam kehidupan heronya. Lagi pula dalam kehidupan Den Mikhael.
"Mia..."
Damia sudah tak peduli. Dibiarkan semua orang nampak dia sedang menangis. Apabila dia menangis begini, dia mahu orang sedar yang dia yang teraniaya.
Barang-barangnya dimasukkan ke dalam kotak, diletakkan ke bawah. Hanya barangnya sahaja. Semua barang yang asalnya milik The Getty ditinggalkan di ruang kerjanya. Tak kuasa dia mahu ambil barang dari syarikat durjana itu.
"Mia..."
"Korang kerja elok-elok kat sini. Jangan jadi staf bermasalah macam aku." Air matanya dilap, sengaja suaranya dikuatkan biar kedengaran di telinga Adila. Dia sempat melihat Adila yang jelas bersalah. Mungkin Adila sangka yang dia akan terima amaran atau penalti sahaja.
Damia jeling, malas mahu kusutkan lagi fikirannya dengan Adila pula.
"Mia, kau tunggu dulu. Biar aku cakap dengan Miss Celine," "Tak apa." Pantas percakapan Yasmin dipotong.
"Aku pun tak hadap dah nak kerja dekat tempat yang langsung tak appreciate staf dia.."
"Mia... Janganlah ikut emosi. Kita boleh cuba cari jalan. Kau fikir tak lepas ni apa jadi? Kalau kau keras kepala lepas ni, kau menganggur tahu tak." Malia pula ambil giliran membebel kepadanya.
Bahu Yasmin dan Malia dipegang, matanya melirik rakan-rakan satu jabatan yang sudah berkumpul di ruang kerjanya. Semuanya muram, ada yang sedang menahan tangis. Senyuman cuba diukir. Sekurang-kurangnya masih ada yang bersedih dengan pemergiannya.
Dia nampak Adila terkulat-kulat berdiri di hujung. Mencuri pandang ke arahnya. Berdendam? Tak kuasa dia. Pada akhirnya jika Adila laporkan sekalipun, pengarah-pengarah lain ada kuasa untuk membelanya. Gadis itu mungkin pemangkin kepada pemecatannya tapi bukan penyebabnya.
"Thank you untuk semuanya. Saya gembira sangat sepanjang saya bekerja di sini. Semuanya baik. Terima kasih beri tunjuk ajar, kak Zati, Puan Mawar, Encik Khair. Bagi saya peluang yang saya takkan dapat di tempat lain." Air matanya diseka.
"Terima kasih juga team saya, Yasmin, Malia, Ana, Zack, Adam. Sentiasa cooperate, never give up. Tapi sampai sini saja peluang saya dengan korang. Maybe lepas ni Malia pula yang naik jadi team leader." Damia cuba selitkan tawa palsu, tak mahu larut dalam rasa sedih.
Selesai berpamitan, dia angkut kotaknya menuju ke tingkat bawah. Baru sedar yang barang asalnya tak banyak pun. Yang lain semua The Getty sediakan. Kakinya melangkah pergi dari ruang kerjanya meninggalkan tiga tahun bermakna. Tiga tahun paling penting dalam perjalanan kariernya.
Mereka mahu menghantar dia hingga ke bawah tapi pantas Damia tolak. Tak mahu mencari perhatian daripada department lain pula.
"Tak apa. Nanti saya buat team dinner." Sempat dia berseloroh.
YOU ARE READING
Pencinta Nombor Satu | Ongoing
Romance"Saya pencinta nombor satu awak, Den!" - Damia Qaisara. Peluang sekali seumur hidup itu digunakan sebaik mungkin. Entah bila lagi dia dapat bertemu mata dengan penyanyi misteri pujaan hati ini. Penuh berani Damia meluah cinta tanpa memikir baik buru...