"Ya, ya nanti aku fikir semula."
"Jangan fikir saja. Buat keputusan juga. Nanti bos bising pada aku, Ariq." Akur, dia mengangguk. Dia dengar dengusan dari mulut Erhan, bermakna Erhan tak berpuas hati apabila dia tidak lagi bersedia untuk kerja baharu itu.
"Jangan lama-lama," pesan kesebelas Erhan.
"Ya.."
"Esok aku tanya balik." Erhan ingatkan lagi.
"Ya..."
"Caulah. Bosan aku cakap dengan kau," begitu sahaja cara mahu mematikan mood Erhan. Hanya sekejap kerutannya singgah sebelum tawa terlucut. Tahu dia sudah menaikkan amarah seorang Erhan. Apalagi kalau bukan kerana dia menolak untuk menyanyikan runut bunyi bagi drama terbaru tayangan di televisyen.
Kali ini, Levil's Music dapat hak untuk menerbitkan runut bunyi bagi drama terbaru bagi drama keluaran rumah penerbitan rakan kongsi mereka. Sejumlah lapan buah lagi sudah dicipta untuk tayangan drama tersebut bagi menterjemahkan kisah mereka dalam titipan lagu.
Enam lagu sudah bertuan sementara dua lagu masih berbaki. Setakat ini, Den Mikhael menjadi pilihan penerbit drama. Penerbit berkenan untuk Den menyanyikan baki dua buah lagu tersebut memandangkan lunak suaranya sesuai dengan ambien drama. Lagipun, sebelum ini mereka pernah bekerjasama, dan lagu nyanyian Ariq diterima baik oleh masyarakat.
"Masa inilah sesuai nak comeback, Ariq. Nak pula female lead dalam drama ini Wayra Ibtisam. Kau tahu the hype this project will be getting. Boom! Meletup!" Erhan masih penuh dengan semangat. Ini projek besar yang mampu kaut keuntungan buat mereka. Silap haribulan karya Ariq tercalon lagi dalam anugerah muzik berprestij negara.
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.
"Sebab ada Wayra Ibtisamlah, aku berat hati," terlepas juga beban di hati. Bimbang pisang berbuah dua kali. Wayra Ibtisam, satu-satunya perempuan yang pernah digosipkan bercinta dengannya sepanjang dia bergelar anak seni cap ayam ini.
Gosip yang bertebaran antaranya dengan pelakon wanita yang meningkat naik itu hanyalah fiktif yang dicipta mengikut imaginasi peminat mereka di luar sana. Kata peminat mereka, Wayra dan Ariq nampak sepadan. Dengan Wayra juga mengaku dia peminat Ariq dan menunjukkan minatnya secara terbuka, lagilah peminat mereka memberi sokongan.
Tapi tak semua yang menyukai gosip itu. Ada yang sakit hati sehingga media sosial Wayra dihentam. Wayra Ibtisam dituduh gatal. Sampaikan ketika itu Wayra perlu tutup ruangan komen. Tapi Wayra steady saja, rencah dunia hiburan memang begitu.
Malah siap layan lagi adalah, minta doa yang baik baik sahaja. Mana peminat tak syak mereka ada hubungan."Kenapa? Kau takut orang gosipkan lagi?" Tidak mengeyakan tapi Erhan tahu persis jawapannya.
"Kali ni lagu yang ada tu adalah lagu duet. Wayra penyanyi wanitanya. Produser memang mahukan begitu, strategi nak naikkan drama. Wayra pun okey saja, dia tak kisah." Lagilah dia perlu fikir. Mahu menyanyikan lagu duet bukan senang. Untuk wujudkan chemistry dalam nada memang sukar. Dia pun belum pernah menyanyikan lagu duet.
Tambah masalah jika mereka perlu sama-sama berada di recording booth. Habis identitinya terbongkar. Nanti entah versi cerita bagaimana pula yang keluar. Belum pernah bertemu mata pun pelbagai cerita sudah keluar. Risau jika ada yang salah faham nanti ingatkan dia dan Wayra benar-benar bercinta.
Gusar juga yang seorang tu salah faham. Perempuan itu sudahlah fikiran menyimpang boleh buat Ariq mengucap jauhnya pergi nanti.
"Nanti orang salah faham. Tahulah Wayra tu kan suka layan fans dia. Naya dia buat hashtag doa baik-baik lagi," ujar Ariq. Di tengah situasi serius mereka, gelak Raees pecah.
YOU ARE READING
Pencinta Nombor Satu | Ongoing
Romance"Saya pencinta nombor satu awak, Den!" - Damia Qaisara. Peluang sekali seumur hidup itu digunakan sebaik mungkin. Entah bila lagi dia dapat bertemu mata dengan penyanyi misteri pujaan hati ini. Penuh berani Damia meluah cinta tanpa memikir baik buru...