Damia rasakan hujung bibirnya berdarah. Bau semacam bau besi itu cukup mengganggu. Rasa sakit itu boleh dikesampingkan lagi. Peningnya datang semula. Rasa macam dunianya berputar."Sorry Damia, tak niat pun nak pukul kuat-kuat tadi, tapi kalau Mia jaga sikit mulut Damia mesti saya pun tak buat macam tu," Macam orang tak betul dah si Intan ini. Sekejap mengamuk, sekejap lagi Intan senyum dan sesaat kemudian dia menangis.
Damia mengelak saat tangan Intan hampir menyentuh hujung bibirnya.
Semuanya salah Damia. Niat Intan datang hari ini baik. Dia hanya mahu berbual-bual dengan Damia. Mahu perkenalkan diri. Penat mahu bersembunyi di balik kepompong.
Apabila Amrullah beritahu yang lelaki itu sudah laksanakan semua keinginannya, Intan tak dapat nak tahan diri daripada datang ke sini. Tak sabar mahu lihat muka pucat lesi Damia saat tahu kebenarannya. Betapa hancurnya Damia saat tahu kisah sebenar.
Dan dia berpuas hati dengan reaksi ini.
"Kau gila, Intan!"
"Memang pun, gilakan Den!" Dia tekup mulut menahan tawa. "Dan sekarang Mia dah tahu. Lega Intan tak payah sorok-sorok." Jarinya bermain pula di lutut Damia.
"Apa kau nak sebenarnya?" soal Damia lemah. Bukan sekali Intan tempeleng dia tadi. Pipinya masih pijar lagi. Dengan langsung tak sentuh makanan selama beberapa hari ini. Damia benar-benar tak ada tenaga.
Intan muncungkan bibirnya. "Hmmm... aku nak kau mati, supaya tak ada yang boleh ganggu aku dan Ariq. Boleh?"
"Ariq takkan nak kan kau kalau dia tahu kau siapa?"
Bibir tersungging, "Kalau kau mati, tak ada sesiapa boleh bagitahu dia." Bahu Damia ditepuk lembut. "Tapi bukan hari ni. Hari ni aku nak main-main saja dulu."
Damia pejamkan mata kumpul kekuatan. Dia perlu lawan segala rasa takut dan marah. Berdepan dengan orang yang 'sakit' seperti Intan perlukan pendekatan berbeza. Mengikut rentak sendiri hanya akan membinasakan dirinya.
"Intan, awak tak boleh buat saya macam ni. Saya tahu awak takkan sampai hati buat saya macam ni," kata-katanya terpotong saat jari halus Intan melekap di bibirnya. "Kalau ikutkan hati saya Damia, malam itu juga awak mati Damia. Saya dah tak mahu buang masa. Beberapa kali saya bagi amaran, awak abaikan!" Luahnya.
Intan menatap Damia lama. Kerja akan jauh lebih mudah kalau Amrullah lakukan seperti yang dia minta. Intan tahu yang Qisti punya niat mahu menakutkan Damia malam itu. Dibiarkan Qisti jalankan ikut cara gadis itu. Dalam diam, dia sendiri yang meminta Amrullah menyerang Damia. Penagih yang diupah oleh Qisti itu dibayar untuk keluarkan kenyataan lain.
Setidaknya dia boleh lepas tangan kerana bukti pasti mengarah kepada Qisti.
Ah, Qisti itu bodoh! Dia ingat Intan mahu berkongsi Ariq dengannya. Kalau bukan kerana dia terdesak mahukan wang untuk lari dari Amrullah tak mungkin dia 'jual' maklumat Ariq begitu sahaja.
Asalnya dia hanya rasa seronok. Bersama mereka yang 'melihat' Ariq dari kaca mata yang sama dengannya buat dia rasa bahagia. Dia tak aneh. Dia tak pelik. Memang ada yang punya rasa seperti itu. Biasalah, seorang perempuan yang tertarik kepada lelaki. Rasa ingin bermanja dengan lelaki yang mereka suka pasti ada.
Mereka cuma jatuh cinta. Dan mereka mahu mengekspresikan cinta mereka. Cinta perlu diperjuangkan walau dengan cara apa sekalipun.
Mata Damia melotot pada Intan yang mula bermain dengan botol minumannya.
"Malam tu, Amrullah pukul kau kan? Teruk juga kan? Tapi kau masih tak sedar diri. Malah kau bercinta pula dengan dia. Jadi jangan salahkan aku kalau apa-apa jadi pada kau Damia."
YOU ARE READING
Pencinta Nombor Satu | Ongoing
Romance"Saya pencinta nombor satu awak, Den!" - Damia Qaisara. Peluang sekali seumur hidup itu digunakan sebaik mungkin. Entah bila lagi dia dapat bertemu mata dengan penyanyi misteri pujaan hati ini. Penuh berani Damia meluah cinta tanpa memikir baik buru...