ASP Awal meneliti semula kesaksian yang diberikan oleh lelaki itu. Berusia 38 tahun, berbangsa Melayu, tidak berkeluarga dan belum miliki rekod jenayah. Berbanding pesalah kali pertama lain yang biasanya ketakutan, pesalah ini kelihatan tenang. Tempoh remannya berbaki beberapa jam lagi, menghampiri paras luput reman kedua.Menghela nafas berat, dia kembali menatap dokumen yang sudah dirapikan bersama kepilan bukti. Ada yang janggal tentang semua yang berlaku. Terasa seperti magis, sekelip mata semuanya terlorong dalam satu jalan yang sama walhal sebelumnya kes ini berlarutan hingga makan masa hampir setahun.
Damia Qaisara, dinamakan sebagai suspek utama kes.
Jika benar sabit kesalahan, suspek utama boleh didakwa di bawah seksyen 507A bagi kesalahan menghendap. Pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Tetapi prosedur pembuktian bukanlah proses mudah. Untuk mendapatkan pengakuan dari individu yang dituduh teramatlah mustahil. Tambahan, kes ini melibatkan aktiviti hendap dala talian. Undang-undang anti hendap yang baru sahaja diluluskan enakmennya. Pelaksanaannya masih baru, hanya beberapa kes yang berjaya didakwa hingga membawa kepada hukuman di peringkat undang-undang.
"Damia Qaisara." Nama itu sekali lagi berlegar di fikirannya. Dia dan Inspektor Sakinah sepakat. Perempuan itu mungkin dijadikan kambing hitam. Damia sudah bersama mereka semenjak awal. Pernah dihantar dengan barangan aneh dan dipukul juga.
Namun tiada sesiapa yang tahu citra sebenar perempuan itu. Pesalah bukan didakwa melalui naluri tetapi bahan bukti. Kerana apabila semua keganjilan sudah dilupuskan, apa yang kekal, walaupun kelihatan mustahil adalah kebenarannya.
Termasuk Damia Qaisara.
Pintu biliknya diketuk. Sontak dia menyahut mengizinkan individu itu untuk masuk. Muncul, Inspektor Sakinah. Sejak minggu lepas anggota polis dari Balai Polis Dang Wangi itu sudah distesenkan di balainya bagi membantu siasatan.
"Tuan, kita sudah dapat keterangan dari Cik Qisti tuan."
"Cik Qisti?"
"Ya tuan. Tuan masih ingat pada staf klinik yang tiba-tiba pengsan minggu lepas semasa proses siasatan? Ya itulah dia. Qisti Datuk Mokhtar, staf klinik Doktor Raees. Hari ini ibu bapanya ada datang untuk buat laporan berkenaan anak mereka diugut oleh seorang individu. Seperti yang kita syak, memang ada sesuatu yang tak kena tuan."
"Diugut?"
"Bapa Cik Qisti, Datuk Mokhtar, salah seorang board of directors empayar Ladys', jenama fesyen terkemuka negara. Mereka buat aduan anak mereka diugut tuan. Orang yang dia tak kenal. Hanya interaksi online. Anaknya diugut untuk ikut arahan individu itu kalau tak nak rahsia gelapnya terbongkar."
Inspektor Sakinah ambil nafas sebentar sebelum menyambung, "Individu itu ugut untuk sebarkan yang anaknya terlibat dengan satu group chat tak senonoh. Jadi orang itu gunakan anak dia untuk capai kepentingan peribadi dia."
ASP Awal berdehem. "Sakinah, kita fokus kes Encik Ariq dahulu."
"Sabar tuan." Sebuah dokumen dihulur kepada ASP Awal. Pantas ASP Awal menyelak dokumen yang diberikan oleh Inspektor Sakinah, membacanya sekilas. "Group chat apa ni?"
Inspektor Sakinah julingkan mata ke atas. "Tuan tak akan percaya. They were fancying, fantasizing, and, I might add, sexualizing Encik Ariq in this anonymous group chat." Seketika dia selak ke halaman tertentu menunjukkan beberapa siri perbualan antara ahli kumpulan itu.
"Dia ahli group chat itu?"
Inspektor Sakinah mengangguk. "Ya tuan, antara ahli terawal. Sebelumnya dia langsung tak berniat untuk mengaku tentang perkara ini tapi keadaan mendesak. Dia diugut jika tidak, rahsianya akan terbongkar."
YOU ARE READING
Pencinta Nombor Satu | Ongoing
Romance"Saya pencinta nombor satu awak, Den!" - Damia Qaisara. Peluang sekali seumur hidup itu digunakan sebaik mungkin. Entah bila lagi dia dapat bertemu mata dengan penyanyi misteri pujaan hati ini. Penuh berani Damia meluah cinta tanpa memikir baik buru...