Tubuhnya tersandar lesu pada bangku itu, letih. Sudah disuruh pulang, tapi dia memilih untuk tetap berada di situ. Bapa Damia berkali-kali meyakinkan yang dia akan dia dimaklumi sebaik sahaja Damia stabil. Bapa Damia mahu dia berehat dahulu selepas melalui satu episod panjang yang merentap ketenangan jiwa dan perasaannya. Sudahnya dia duduk di sebuah bangku di di selekoh lorong yang menempatkan kamar Damia.Saat keluarga Damia sampai tadi, tak terlafaz satu kalimah pun. Mahu kata maaf atau ungkapan bela diri, Ariq langsung bisu, diam seribu bahasa. Rasa tebal muka nak menghadap keluarga Damia. Dia sendiri masih cuba memahami situasi dan Ariq yakin apapun yang bakal keluar itu hanya akan menambah nanar pada keluarga Damia.
Tapi mereka tenang, tak beriak banyak. Cuma Ariq tahu wajah ibunya yang sembap, matanya bengkak juga. Siapa tak khawatir mendengar hal seburuk itu terjadi kepada puteri kesayangan mereka. Lima hari Damia hilang, pulangnya dengan bentur dan memar di mana-mana.
Atau mungkin mereka juga sedang sangat bimbang, terkejut dan sedih. Paduan rasa yang mengaburkan segala rasional yang ada dalam diri. Buat masa sekarang, lebih baik beri ruang kepada mereka untuk menjadi yang pertama mendengar khabar Damia.
Ariq juga tak berniat nak mengacau momen kekeluargaan mereka. Jadi biarlah dia buat masa ini melihat dari jauh. Pemeriksaan awal dijalankan tiada tanda tanda Damia diracun atau diapa-apakan. Tapi keadaannya terlalu lemah, dehidrasi melampau. Damia juga mengalami luka di serata badan, tapi mujur luka luar. Tiada kecederaan dalaman.
Pemeriksaan lanjut akan dibuat sekali lagi apabila keadaan Damia makin stabil. Buat masa sekarang Damia diberikan iv drip dan dipantau secara berkala. Masih lena. Pihak hospital memang mengehadkan jumlah lawatan berikutan kecederaan Damia melibatkan kes jenayah.
Diperosok dengan emosi yang memberat membawa langkahnya akhirnya menuju ke surau hospital. Dia perlukan ketenangan. Mahu juga berdoa kesembuhan perempuan yang disayanginya. Beberapa minit lagi waktu Maghrib tiba. Tikar sejadah dihampar.
Ariq bukannya orang yang penuh ilmu di dada. Terlalu banyak yang perlu dipelajari dan diperbaiki. Terkadang dia hanya mencari kala ditimpa kesusahan. Di saat senang, syukur diucap tapi diri tak berusaha menjadi lebih baik. Alpa.
Tapi dia juga tak mahu lepas dari rahmat tuhan. Siapa dia di mata pencipta, mana kedudukannya, hanya Allah yang layak mengadili. Ujian datang kerana tuhan mahu menaikkan darjat hambaNya. Kerana mahu menarik mereka yang dah jauh.
Dan tuhan tak menguji hambaNya melebihi batas kemampuannya sendiri.
Sehinggalah seorang lagi lelaki yang sebaya bapanya datang menepuk bahunya, "Imam, boleh?" Sekadar senyum sopan dia mengangguk. Masuk sahaja waktu, dia bergerak ke depan mengimami solat Maghrib hari itu. Rasanya lama benar tak jadi imam solat jemaah. Biasanya hanya berada di saf sebagai makmum. Dia bukan selalu sangat ke surau atau masjid untuk solat berjemaah.
Tapi dipastikan dalam seminggu akan ada hari yang dia singgah ke masjid untuk berjemaah, tolak solat Jumaat. Kerana baginya dari muda hati perlu terikat dengan masjid, baru nantinya tak liat nak ke sana apabila usia tua.
Selesai solat dan bersalaman dengan beberapa jemaah, lelaki tua tadi menegurnya, "Isteri sakit ke?" Terkerdip-kerdip mata nak menjawab, ada rasa segan nak memberitahu. Bukan isteri lagi. "Bakal." Oh segannya nak cakap macam ni.
Lelaki itu mengangguk, senyum masih menghiasi bibir. "Semoga Allah berikan kesembuhan dan afiah berterusan. Pak cik doakan berjodoh dengan kamu."
"Amin. Pak cik ke sini, siapa sakit?"
Lengkung bibirnya masih lagi tinggi, "Isteri. Minta doanya ya. Kata doktor dah tipis, tapi belum tentu itu kata tuhan." Sebaris ayat itu buat Ariq tersentak. Meskipun begitu, wajah tua itu tak lokek dengan senyumannya. Mata kuyunya tersembunyi kesedihan. "InshaAllah. Sepenuh pengharapan kita letakkan kepada Allah. Allah Maha Menyembuhkan."
YOU ARE READING
Pencinta Nombor Satu | Ongoing
Romance"Saya pencinta nombor satu awak, Den!" - Damia Qaisara. Peluang sekali seumur hidup itu digunakan sebaik mungkin. Entah bila lagi dia dapat bertemu mata dengan penyanyi misteri pujaan hati ini. Penuh berani Damia meluah cinta tanpa memikir baik buru...