Bab 19

164 20 6
                                    

Terasa lama wajahnya ditenung oleh wanita itu. Dia angkat muka, bertemu mata dengan ibu Ariq. Damia lorek senyum, kaku mahu cetus bual. Tapi selaku yang lebih tua, ibu Ariq mahir membuatnya rasa selesa.

"Makan lagi, Mia, Yasmin." Nasi di pinggannya sudah licin. Tak merancang mahu menambah. Perut pun sudah mengeras kekenyangan. "Rehat dulu mak cik."

"Saya nak cuba kuih yang dekat belah sana boleh?" Tanya Yasmin. Yasmin tak ambil nasi. Dia hanya mencicip bubur kacang tadi. Sebab itu kenyangnya tak kunjung tiba. Puan Salmah mengangguk. Bingkas Yasmin bangun menuju ke meja hidangan,

"Hin baik dengan Mia?" Terkebil-kebil Damia mahu menjawab. Perlahan dia angguk.

"Mak cik minta maaf ya salah dia pada Mia sebelum ni. Mak cik tahu pasal masalah lalu kamu berdua. Apa pun alasannya, anak mak cik tetap salah." Segera dia menggeleng. "Hal lama. Saya pun ada salah saya. Sekarang kami dah baik."

"Mak cik bukan apa, mak cik tak nak hal-hal ini akan jadi masalah berbangkit di kemudian hari. Penyebab Damia tak boleh terima Solihin. Solihin tu anak yang baik. Mak cik yakin Solihin dapat jaga Mia dengan baik."

"Eh?"

"Eh eh?" Eh mak cik ni, kita eh, dia ehkan kita baik. "Macam salah faham ni mak cik. Kami kawan saja." Sepertinya ibu Ariq sudah salah tafsir tentang hubungan mereka.

"Faham, kawan dulu. Mak cik dengan pak cik pun mula dengan kawan. Dah selesa, bagi hint. Kalau tak jalan, Mia tembak je peluru cinta. Biar dia pengsan dengan kasih sayang."

Tergamam. Tidak pasti sama ada wanita di depannya sedang buat lawak atau apa. Melihat muka seriusnya, Damia hampir pasti yang tiada jenaka cuba diselit. Betul-betul mertua hipster ni.

"Anak mak cik tu, rupa boleh tahan. Suara pun sedap. Pandai juga, alhamdulillah berduit. Setakat nak hidup sederhana tu lepaslah kata orang. Ilmu agama insyaAllah cukup. Dulu-dulu selalu jadi bilal masjid kampung ni. Spek spek menantu idaman tu ada. Mak cik bukan nak puji anak sendiri, tapi mak cik tak jumpa lagi orang yang kata Ariq tu jahat. Dan mak cik dah confirmkan, lurus. Berminat dengan kaum hawa sahaja."

Puan Salmah tarik nafas, hulurkan mangkuk air untuk cuci tangan kepada Damia. "Cuci tangan dulu, kering dah tangan." Sebaik sahaja tangannya siap dicuci, Puan Salmah kembali menggamit perhatian Damia.

"Ariq tu kadang-kadang lembap Damia. Bukan buat-buat. Dia memang lembap. Pernah mak cik merajuk sebab dia tak belikan hadiah hari jadi pada mak cik. Mak cik sajalah merajuk, dan dia minta maaf. Lepas tu dia tanya nak hadiah apa. Mak cik saja test, kata tak payah bazir, Hin pun dah cukup. Hmm... Memang sampai ke sudah dia tak beli." Pandangannya jatuh tepat pada wajah yang jelas sedang kebingungan.

"Jadi kita kena sedarkan. Tak apa, tentang itu, kalau Mia tak suka, nanti mak cik ajar dia. Kena peka dengan perasaan orang perempuan. Tak boleh pakai taram saja. Okey?"

Senyuman tawarnya perlu diperasakan dengan gula tambahan. "Tapi, saya betul-betul kawan saja dengan Ariq mak cik. Baru juga. InsyaAllah tak ada rasanya ke arah yang begitu."

Puan Salmah sudah mencebik tapi laju dia memicing menatap Damia. "Rugilah. Mana nak cari lelaki sempurna macam anak mak cik?"

Mak cik ini benar-benar tahu value anaknya. Dipromosikan habis-habisan seperti sedang buat review produk dalam TikTok Live. Tak dinafikan isi bualnya benar belaka. Begitu juga sudut pandang Damia tentang lelaki bernama Ariq Solihin itu. Damia turut rasa rugi melepaskan lelaki sesempurna itu.

Jauh benar pembawakan Puan Salmah dan Ariq. Ibunya spontan, proaktif dalam petah menyusun aksara. Lincah atur alur percakapan. Yakin tapi tak terkesan riak. Sementara anak lelakinya penuh dengan tenang. Jarang buat perangai kalut. Atau saja ini perangai Ariq yang belum terpamer di depannya.

Pencinta Nombor Satu | OngoingWhere stories live. Discover now