Bab 45

115 14 5
                                    



Gelap. Masa lalunya, masa ini dan masa depannya. Pernahkah dia merasa bahagia dalam hidupnya? Mungkin pernah. Saat mereka masih kanak-kanak. Saat ibu masih seorang ibu. Saat dia dan Intan masih kanak-kanak yang tak tahu getirnya hidup ini untuk orang seperti mereka.

Desakan kemiskinan buat ibunya memilih jalan singkat mengorbankan harga dirinya. Mengabaikan anak-anak yang masih memerlukan susuk seorang ibu. Meninggalkan dua amanah yang dikurniakan kepadanya untuk kesenangan sementara.

Hausan menantang mulut-mulut jahat manusia buat dia bertekad mengeluarkan diri dari lembah hina itu. Tanpa dia sedar, dia masuk ke kancah yang merosak insan yang bergantung hidup kepadanya. Tapi dia memilih menidakkan segala hak yang layak diperjuangkan untuk kuasa yang dia impikan.

Dan tekanan mengurus segala pergelutan emosinya buat Intan tumpas sendiri. Di titik paling lemah, dia bertemu wujud manusia yang menyalakan harapan dalam diri. Namun cara dia menyayangi itu salah, cara dia berbagi kasih itu tersasar dari landasan.
Pada akhirnya mereka semua hancur dalam pilihan masing-masing.

Dan dia sedang berada di persimpangan terakhir dalam hidupnya. Menamatkan semua perbuatan durjana yang pernah dia lakukan, sama ada berniat atau terpaksa. Tiba masa dia selamatkan Intan dari kerakusan diri. Intan mungkin tak faham sekarang. Tapi suatu hari nanti Intan akan faham.

Dan Amrullah berharap Intan akan maafkannya. Dan memaafkan diri sendiri juga.

Esok dia akan dibawa ke mahkamah untuk dibacakan pertuduhan ke atasnya. Ketika dia ambil langkah menyerah diri, dia sudah fikirkan semua jalannya. Penjara ini takkan sekejam dunia luar. Mahu hukuman seumur hidup pun, Amrullah yakin penutupnya akan jauh lebih baik di balik tirai besi. Tapi yang terpenting bukan hukuman yang bakal dijalani.

Kerana esok dia berpeluang bertemu Intan.  Walau tanpa berbicara dia mahu menatap wajah itu sepuasnya, mungkin untuk kali terakhir membawa penyesalan yang selamanya.

***

"Saya, Aryani peguam yang dilantik untuk kes Cik Intan. Baik kita mulakan dengan..."

"Apa dia cakap?"

"Excuse me?" Soal peguam itu. Wajah tanpa perasaan di depannya ditenung menunggu jawapan. Ekspresinya mati, tenaganya juga sirna. Yang tertayang adalah seorang susuk perempuan yang tak berdaya meneruskan hidup.

Tak mendengar sebarang jawapan daripada suspek perbicaraan mengundang keluhan kecilnya. Datangnya hari ini untuk memenuhi hak yang diberikan kepada orang yang dikenakan pertuduhan ke atasnya. "Cik Intan?"

"Apa dia cakap?"

Soalan yang sama tanpa penambahan kata. Sebagai pengamal undang-undang dia tak boleh menunjukkan sebarang riak negatif di hadapan mereka. Dia datang sebagai tiang harapan untuk mereka. Aryani senyum. "Boleh saya tahu siapa?"

Wajahnya tak diangkat. Memaku pandangannya pada meja. Dia berdiam cukup lama sebelum dia menjawab, "Abang aku."

Aryani ketap bibirnya. "Dia mahu mengaku bersalah."

Serentak air matanya jatuh. Membisu, dia tahan suaranya daripada keluar. Ingatannya berlayar ke kejadian malam itu. Ketika Amrullah memberikan 'racun' itu kepadanya. Semasa dia asyik membelek dan mengacu ketajamannya dengan jari sendiri.

"Kau boleh dihukum gantung sampai mati kalau kau terbukti bersalah membunuh dengan niat."

"Apa guna aku hantar kau belajar tinggi-tinggi?" Amrullah belajar undang-undang guna duit gadaian tubuhnya kan? Jadi bila masa yang lebih sesuai untuk dia menuai hasil kalau bukan sekarang?

"Intan.." Dia deham tanpa menoleh. Lama tanpa lanjutan barulah dia angkat muka.

"Kalau aku tak ambil duit mereka dulu, kau akan benci aku tak?" Intan menoleh ke arah Amrullah. Dia mengekek, gempitanya hingga Amrullah bersila tak senang. Memeknya berubah lagi menghadiah satu tusukan tajam melalui mata. "Kau dah beri aku neraka saat kau bawa aku keluar dari tempat mak."

Pencinta Nombor Satu | OngoingWhere stories live. Discover now