BAB 54

8 0 0
                                    

Restoran hotel yang Ian bawa aku terletak di tepi pantai. Ruang makan luas dan terbuka dengan lantai berkilat dari marmar berkualiti tinggi memberikan sentuhan elegan. Kesemua meja dan kerusi berlapis kain mewah dengan rekaan moden. Chandelier besar tergantung di tengah-tengah restoran memberikan cahaya berkilauan yang lembut dan glamor. Kombinasi semua elemen ini mencipta pengalaman makan yang tidak terlupakan, sesuai dengan standard tertinggi yang dijanjikan oleh restoran lima bintang. Tidak ramai pelanggan di ruang makan waktu ini. Beberapa meja saja ada pelanggan. Itu pun pelancong orang putih dan Arab. Mungkin mereka menetap di hotel ni.

Angin laut yang sepoi-sepoi bertiup masuk membawa bersama aroma segar garam dan air laut. Kombinasi bunyi ombak yang menghempas pantai, bersama dengan cahaya matahari yang memancar lembut melalui jendela, mencipta suasana yang sempurna untuk melupakan segala kesibukan dan stres seharian.

Aku menongkat dagu di meja, perhati Ian. Ian leka merenung gelas yang masih berbaki air tembikainya. Hai, entah apalah yang sedang bermain di kepala dia.

"Awak ni kenapa? Awak sakitkah?"

"Awak ok, Aylin? Betul-betul ok?"

Eh, soalan dibalas dengan soalan, dah kenapa? Peliklah Ian ni. Pandangan matanya juga kelihatan pelik, seolah-olah tersembunyi di balik rahsia yang sukar aku fahami.

"Ok. Sekarang jawab soalan saya, awak ni ada masalahkah?" Aku cuba soalan lain.

"Jomlah." Dia berdiri dan berjalan ke kaunter bayaran.

Emm soalanku tak jawab juga. Selepas buat bayaran, Ian berjalan ke arah pintu yang terus ke pantai. Aku ikut saja. Semakin hairan. Peliklah perangai Ian hari ni.

Nasib baik hari ini aku pakai baju tunik labuh hingga ke paha dan seluar palazzo hitam dengan tudung shawl panjang. Kasut pula, sneakers. Jadi, senanglah nak berjalan di tepi pantai. Aku terus melangkah ke gigi pantai, menghirup udara laut yang segar sambil memandang ombak yang perlahan memukul pantai. Setiap langkah terasa lebih ringan, membawa ketenangan dalam setiap hela nafas. Dalam keheningan itu, hatiku dipenuhi dengan rasa damai yang mendalam, seolah-olah alam sedang berbisik, memberi pelukan menenangkan.

Aku berhenti melangkah sambil memaut tudungku agar tidak terbuka dek deruan angin. Tidak jauh dari tempat aku berdiri terdapat beberapa orang pengunjung pantai sedang berkelah dan ada yang sedang membina khemah. Beberapa orang kanak-kanak sedang buat istana pasir dengan dibantu ibu bapa mereka. Aku senyum. Kalau Emeera tahu aku di sini, tentu dia mengamuk. Boleh pula anak bos lari dengan tunang dari buat kerja. Hahaha.

Eh, mana Ian?

Ian sedang duduk termenung di bawah pokok ketapang, merenung jauh ke laut. Bibir angin menyentuh wajahnya yang kelihatan letih. Dia dihimpit perasaan menyesal yang mendalam. Dia merenung kesilapannya, berharap masa boleh diputar kembali untuk mengubah segalanya. Tapi masa tak akan berputar balik. Terima apa yang berlaku dan tentu sekali ketenangan pantai tidak mampu menghilangkan penyesalan yang menghantui hatinya.

Aku berjalan dapatkan Ian. Aku duduk disebelahnya. Taklah dekat sangat. Agak-agak dua ekor bapa ayam boleh bertenggek di antara kami. Hah, gitu.

"Aylin, saya minta maaf."

Ayat Ian yang di bawa angin mengelirukan. Minta maaf? Permintaan maaf yang aku tak faham.

"Minta maaf sebab apa?"

"Awak tentu tak akan maafkan saya!"

Ian menolak rambutnya kasar. Merenung wajah Aylin serba salah. Takut sebenarnya reaksi Aylin kalau dia memberitahunya.

"Encik Ian, kalau awak tak beritahu, macam mana saya nak maafkan. Awak buat apa sebenarnya? Tapikan, kalau saya tak maafkan, awak tetap boleh bernafas. Saya tak kan apa-apakan awak sebab awak dah tolong abah saya di restoran hari tu. Ibu kata, awak dah jadi hero kecil kita orang."

Duel CintaWhere stories live. Discover now