Langit malam itu kelihatan cerah tanpa awan. Cahaya bulan terang menyimbah bebas ke serata lantai bumi. Dari kejauhan kelihatan satu batang tubuh sedang duduk termanggu di atas pangkin di sebuah pondok.
Aiman tiba lebih awal daripada yang dijanjikan. Sewaktu di sekolah dia dan Zakkir bersepakat untuk berjumpa di pondok ini pada jam 8.30 malam. Tetapi Aiman tiba sejam lebih awal. Lepas berbuka puasa tadi dia terus kesini. Ternyata dia begitu bersemangat. Ada suatu perkara penting yang dia dan Zakkir hendak rencanakan malam ini.
Lagipun dia pernah terbaca satu kata pujangga. Masa itu ibarat pedang dan ia akan mencederakan kita andai kita tidak menggunakannya dengan betul.
Ada juga yang mengatakan masa itu emas. Maknanya masa itu boleh dijual beli dan tawar menawar? Ah, apa-apa sajalah. Rancangannya malam ini dirasakan lebih penting daripada memikirkan semua itu.
Semuanya berkisar kepada satu idea cetusan Zakkir yang lantas dipersetujuinya untuk mengenakan Faizal. Ya, Faizal. Budak baru dari bandar yang berlagak itu. Gumam hati Aiman geram apabila teringatkan Faizal.
Faizal merupakan pelajar yang baru berpindah dari Kuala Lumpur ke Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Menteri, iaitu tempat mereka belajar kira-kira tiga bulan yang lalu. Bagi Aiman, Faizal punya rupa jika hendak dibandingkan dengan dirinya. Ini menyebabkan Faizal menjadi tumpuan dan kegilaan pelajar-pelajar perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Menteri.
Dia tidak kisah akan semua itu, tetapi yang mencetuskan kemarahannya adalah apabila Faizal cuba memikat kekasih hatinya. Hani, cinta monyetnya yang sudah bergayut kukuh di ranting-ranting hatinya.
Sejak itu seringkali terjadi pergaduhan kecil antara dia dan Faizal. Biasanya adalah peperangan mulut sahaja dan berakhir begitu sahaja. Aiman mengepal-ngepal tangan kanannya membentuk buku lima lalu melepaskan satu tumbukan padu ke lantai pondok. Kesan tumbukan tersebut sedikitpun tidak dipedulikan berbanding sakit hatinya. Hatinya membara apabila mengingati peristiwa tersebut.
Faizal pula ternyata gembira apabila dapat menyakiti hati Aiman. Tiap kali kemarahan Aiman membuak, pasti kedengaran tawa sumbang Faizal.
Telefon pintar miliknya dikeluarkan daripada poket. Skrin telefon jenama Lenovo itu ditenung lama-lama. Tiada sebarang panggilan atau pesanan daripada Zakkir. Aiman mengeluh sambil melemparkan pandangannya ke arah jalan raya dihadapan. Kelibat Zakkir masih belum kelihatan.
Senggang masa menunggu kehadiran Zakkir diisi dengan imbasan terhadap kebodohan dan kegelojohan yang dilakukannya siang tadi. Akibat dipacu rasa marah yang membuak, dia telah bertindak melulu dengan menyerang Zakkir tanpa usul periksa.
Padahal, syak wasangkanya ternyata meleset sama sekali. Dia berasa malu. Namun, ego yang melangit siang tadi menghalangnya mengucap kata maaf.
Pondok di pinggir sungai tempat Aiman duduk menunggu terang disuluh cahaya lampu sebuah motosikal yang datang dari arah jalan besar. Motosikal tersebut berhenti tepat di hadapan Aiman yang sememangnya menanti kehadiran Zakkir, penunggang motosikal tersebut.
"Sorry Man, aku tolong mak aku tadi kat rumah." Terang Zakkir seraya menempatkan diri disebelah Aiman. Aiman melihat jam di pergelangan tangan kirinya.
"Baru lewat satu minit je Zakkir". Ujar Aiman menghilangkan rasa bersalah Zakkir. Zakkir yang dikenalinya sangat mementingkan ketepatan masa. Teringat dia ungkapan seorang guru sejarah sewaktu dia di tingkatan satu;
"Masa tidak pernah berhenti menunggu kita, ia akan terus bergerak dan bergerak meninggalkan kita. Kita tidak akan dapat mengembalikan atau mengejar masa yang telah pergi, tetapi kita boleh menepati masa yang mana kesenangan dan kejayaan telah dijanjikan.''
"Aku mintak maaf, Zakkir." Ujar Aiman perlahan. Zakkir disebelahnya berasa hairan.
"Minta maaf?" Tanya Zakkir bingung. Kelakuan Aiman baginya sungguh aneh.
"Pasal hal kat sekolah pagi tadi". Ujar Aiman sayu bernada kesal. Dia menghulur tangan. Riak wajahnya redup turut memaksudkan kata-kata yang diucap tadi.
"Tak ada apalah Man, perkara kecil aje tu". Huluran tangan Aiman bersambut. Menghasilkan satu gengaman erat yang lahir dari hati melalui titian sebuah persahabatan. Mereka berdua mengukir senyum.
"Eh, apa rancangannya esok?" Aiman kelihatan tidak sabar apabila genggaman tangan mereka dileraikan. Zakkir melihat-lihat keadaan di sekeliling kalau-kalau ada orang lain disitu selain mereka. Apabila sudah yakin, dia kembali menghadap Aiman.
"Macam ini Man......." Aiman yang sudah tidak sabar mula menadah telinga.
YOU ARE READING
PAT KAY TU
Teen FictionPat Kay Tu - Mengisahkan Aiman dan rakan-rakannya. Seorang pelajar yang nakal dan juga baik hati. Namun, segalanya berubah dengan kedatangan orang baru di sekolah mereka. Siapakah orang tersebut? Apakah kesudahan pergaduhan antara Aiman dan Faizal?