Aiman, tengok tangan hang kejap." Aiman menurut sahaja permintaan Aqhar walaupun di hatinya timbul perasaan hairan.
"Alhamdulillah. Nasib baik cukup" Lafaz Aqhar setelah selesai memeriksa jari tangan Aiman.
"Hang ni dah kenapa Aqhar? Pagi-pagi lagi dah buang tebiat ker."
"Tak ada la, semalam kan hang dengan Zakkir rancak 'berperang'. Jadi, aku nak pastikan la yang jari hang semua cukup. Mana la tahu kot ada yang berkecai"
"Caikk, hang tak payah nak perli sangat la Aqhar. Aku ni bukan macam hang, nak main meriam pun takut."
"Aku bukan takut, Aiman. Cuma sayang diri ja. Aku ni dah la bujang lagi." Mengekek Aqhar ketawa.
"Elehh..apa kaitannya? Buang masa aku layan hang. Baik aku kacau Zikri lagi bagus" Aiman bangkit daripada tempat duduknya meninggalkan Aqhar yang berada di sebelahnya keseorangan.
Niatnya untuk ke meja Zikri segera dibatalkan apabila dilihatnya cikgu Nazir menghampiri kelasnya. Dia kembali ke tempat duduknya semula. Aqhar di sebelahnya mengukir senyum sinis. Membuatkan Aiman rasa nak hayun sebiji penumbuk tepat ke muka Aqhar. Tiada apa-apa sebab. Saja, suka-suka.
Cikgu Nazir melangkah masuk ke dalam kelas. Berjalan lagak gaya seperti seorang askar walaupun tinggi tidak seberapa. Selesai mengucap salam mereka membaca doa dan dibenarkan duduk. Seperti biasa, bangun bagi salam, baca doa dan duduk. Begitulah mereka telah diajar sejak di tadika lagi. Tetapi lepas habis sekolah,ramai pula yang kurang ajar. Hairan. Salah siapa? Ambil cermin dan lihat. Renungkan.
Aiman tenang di tempat duduknya. Seingat dia,cikgu Nazir tidak ada memberikan sebarang kerja rumah. Dan Cikgu Nazir pula sangat jarang memberikan kerja rumah sama ada latihan atau nota kepada mereka. Itu antara faktor yang dia suka dengan cikgu Nazir kalau hendak dibandingkan dengan cikgu sebelum ini. Kerja rumah bertimbun. Selagi boleh bagi dia pasti akan bagi.
Itu pandangan awalnya setelah sebulan cikgu Nazir mengajar Sejarah di kelas mereka. Dan, tidak pula mereka dimarahi dengan tengkingan atau jerkahan kasar jika tidak menyiapkan kerja yang diberi. Tetapi denda tetap juga ada dalam bentuk yang hanya diketahui oleh cikgu Nazir sahaja.
Mungkin cara askar begitu. Segalanya boleh berubah tidak sampai satu minit.
"Memandangkan minggu hadapan peperiksaan pertengahan tahun akan bermula, untuk hari ini kita akan buat ulangkaji sahaja untuk peperiksaan. Saya nak kamu keluarkan sehelai kertas kosong." Arah cikgu Nazir. Tenang sahaja dengan suara yang tidak terlalu perlahan dan tidak terlalu kuat itu.
"Elly, kertas satu." Pinta Aiman dari belakang Elly.
"Psstt...satu." Beberapa pelajar lain juga mengangkat tangan. Tanda mereka juga mahukan kertas kajang daripada Elly.
"Atikah, mintak kat Elly kertas sehelai" Zakkir juga turut meminta kertas daripada Elly.
Elly pula sambil merungut memberikan juga kertas kepada rakan-rakannya. Kertas testpad yang tadinya tebal mulai menipis.
Cikgu Nazir sekadar memerhati sahaja gelagat mereka. Dalam hatinya tersenyum mengingatkan kenangan zaman persekolahannya dahulu.
"Semua dah ada kertas?" Soalnya kemudian.
"Dahh..." jawab mereka serentak.
"Okey, cikgu nak kamu tulis bahagian mana, atau tajuk mana yang kamu betul-betul tidak faham dalam pengajaran dan pembelajaran Sejarah.. Tulis secara jelas. Misalnya, kamu tak faham tentang Hijrah, jadi kamu tulis apa yang kamu tak faham seperti kenapa perlu hijrah? Apa hikmahnya dan sebagainya. Jelas?"
"Jelasss" jawab mereka serentak. Kali ini lebih kuat daripada tadi. Sama ada betul-betul jelas atau sekadar pura-pura Nazir tidak tahu.
"Kalau begitu, boleh tulis sekarang. Jangan tanya kawan. Tanya diri sendiri sebab ini adalah tentang diri kamu, apa yang kamu faham dan tidak faham. Ringkasnya macam muhasabah diri la ni. "
Pelajar 4k1 mengangguk tanda faham. Mereka pun mula menulis. Seorang pelajar lelaki tidak hadir pada hari itu. Nazir menggelengkan kepala.
'Apa agaknya yang perlu dibuat agar mereka tidak ponteng sekolah? Suka datang sekolah dan belajar?' Bisik Nazir sendiri.
Dia berjalan dari satu meja ke satu meja yang lain memerhati pelajar 4k1 yang sedang menulis. Ada yang termenung merenung papan putih. Ada yang merenung ke luar tingkap. Ada yang menjenguk-jenguk rakan di sebelah. Masih tidak yakin pada diri nampaknya mereka ini. Atau mereka sebenarnya tidak tahu apa tujuan mereka ke sekolah. Datang di awal pagi dan tidak tahu apa yang diperolehi ketika pulang dari sekolah?
"Dah siap?"
Terpinga-pinga mereka apabila di tanya oleh cikgu Nazir.
"Iskh, lamanya....3 minit lagi."
Kelihatan pelajar 4k1 cepat-cepat menulis. Aiman, Aqhar dan Zakkir masih lagi tidak menulis apa-apa. Sepertinya mereka bertiga buntu. Padahal jawapannya sudah sedia ada pada diri mereka sendiri.
"Masa dah tamat. Cikgu akan kutip sekarang." Cikgu Nazir berjalan ke meja paling hadapan di sebelah kanan iaitu meja Hafiz lalu mengutip kertas tersebut dari meja ke meja hinggalah ke meja Aiman yang sedang kelam kabut menulis.
Cikgu Nazir mengetuk meja Aiman dengan jarinya beberapa kali. Sebagai isyarat kepada Aiman.
"Jap, cikgu. Sikit lagi." Pinta Aiman sekilas memandang cikgu Nazir kemudiannya menyambung menulis semula.
Cikgu Nazir sengaja memberikan peluang kepada Aiman. Dia bukan pilih kasih. Menurut tanggapan cikgu Nazir, Aiman bukanlah seorang pelajar betul-betul bermasalah. Dan dia juga bukan seorang tidak boleh berjaya dalam pelajaran walaupun berada di kelas belakang, tetapi ada sesuatu yang menjadi penghalang kepada mereka untuk keluar daripada keadaan sekarang. Begitu juga dengan pelajar 4k1 yang lain.
Atas sebab itulah tumpuan cikgu Nazir terarah kepada kelas 4k1. Tidak bermakna dia mengabaikan kelas lain yang turut di ajarnya. Cuma dia mahu mencari punca dan cuba hendak membawa mereka keluar daripada keadaan tersebut.
"Siap." Ujar Aiman. Cikgu Nazir mengambil helaian kertas yang dihulur oleh Aiman.
Dia berjalan ke meja guru di hadapan kelas sambil membelek kertas-kertas yang dikutipnya tadi.
Sementara pelajar 4k1 mula mengeluarkan buku teks seperti yang telah di arahkan oleh cikgu Nazir tadi.
Cikgu Nazir bangun daripada kerusinya dan berjalan ke hadapan kelas. Di tangannya terdapat sehelai kertas.
"Kenapa tamadun awal dunia bermula di lembah sungai? Kenapa tidak di dalam hutan atau di dalam gua?" Cikgu Nazir membacakan soalan yang terdapat pada kertas tersebut yang ditulis oleh pelajarnya yang bernama Zakkir. Sengaja dia tidak menyebut nama pelajar yang bertanyakan soalan tersebut. Pemilik kertas pasti sudah mengetahuinya.
"Sapa boleh jawab? Atau siapa nak cuba jawab" Soal cikgu Nazir. Sengaja memberi ruang kepada pelajarnya untuk mencuba. Sememangnya cara itulah yang dia cuba terapkan pada pelajarnya. Berani mencuba. Untuk keluar dari kepompong yang membelengu diri mereka sekarang ini.
Kata seorang cikgu senior di sekolah tersebut sewaktu mereka sedang minum di kantin "Pelajar ni sebenarnya tahu jawapan. Cuma, mereka tidak tahu bagaimana hendak memilih itu sebagai jawapan. Dan ragu-ragu sama ada jawapan itu betul atau salah. Tiada keyakinan diri dan dorongan"
Elly yang berada di bahagian hadapan pantas mengangkat tangan.
"Bagus Elly, berani mencuba. Apa sebabnya?"
"Sebab di sungai ada air sebagai sumber minuman." Jawab Elly dengan yakin.
"Bagus Elly. Jawapan yang baik. Ada lagi sebab lain?"
Zikri yang berada di bahagian tepi berhampiran tingkap pula mengangkat tangan.
Kelas hari itu berjalan dengan lancar. Sesi perbincangan di adakan berdasarkan soalan yang telah dikemukakan oleh para pelajar sendiri. Dan kaedah tersebut nampaknya telah berjaya membuatkan para pelajar 4k1 terlibat aktif dalam sesi pembelajaran di dalam kelas. Dan bukannya hanyut dibuai mimpi indah entah ke mana-mana.
YOU ARE READING
PAT KAY TU
Teen FictionPat Kay Tu - Mengisahkan Aiman dan rakan-rakannya. Seorang pelajar yang nakal dan juga baik hati. Namun, segalanya berubah dengan kedatangan orang baru di sekolah mereka. Siapakah orang tersebut? Apakah kesudahan pergaduhan antara Aiman dan Faizal?