BAB 23 - Peribahasa

170 15 1
                                    

Suasana di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Menteri kembali riuh dengan suara para pelajarnya setelah sunyi selama seminggu kerana cuti menyambut Hari Raya.

Hari ini merupakan hari pertama persekolahan. Pengetua sudah berucap panjang di perhimpunan pagi tadi. Pelbagai perkara telah disentuh terutamanya yang  melibatkan hal ehwal dan kebajikan para pelajar. Begitulah saban waktu apabila berucap, ada sahaja nasihat dan teguran yang diberikan.

Perhimpunan pagi itu berakhir agak lewat daripada kebiasaan. Perkara biasa selepas sekolah kembali di buka selepas cuti panjang. Banyak perkara penting  yang hendak disampaikan oleh guru-guru dan pihak pentadbiran sekolah kepada para pelajar.

Pelajar pula  pasti banyak cerita yang ingin dikongsi sesama mereka. Mana tidaknya, semasa perhimpunan pagi tadi pun ketika guru berucap di atas pentas, para pelajar di bawah pula sibuk bercakap sesama sendiri.

Tidak terkecuali juga kepada Aiman, Zakkir, Hafiz dan Aqhar. Walaupun sering berhubung melalui media sosial seperti Whatsapp dan WeChat, namun mereka masih juga galak bercerita. Ada ketikannya mereka akan ketawa secara terkawal sesama mereka.

Cikgu Nazir yang berada di atas pentas hanya menggelengkan kepala sahaja melihat gelagat para pelajar yang sedang berada di bawah. Pelbagai peringkat umur dengan pelbagai ragam. Variasi cabaran sebagai seorang guru.

Senyap mereka hanya sekejap iaitu  apabila ditegur oleh guru yang sedang berucap. Tetapi kembali berbunyi semula beberapa minit kemudian. Tidak penat agaknya mereka asyik bercakap sahaja.

Keadaan ini berlanjutan hingga ke dalam kelas. Apabila tiada guru yang masuk mengajar, maka kelas tersebut akan bertukar menjadi kedai kopi. Ceritanya banyak  dan pelbagai cuma kopinya sahaja yang tiada. Cerita mereka tidak pernah habis atau surut. Ada sahaja topik yang akan  mereka bualkan.

Zakkir dan Hafiz sedang melepak di tempat duduk Aiman dan Aqhar. Perbualan mereka masih berkisar tentang raya. Dan sudah tentulah perihal Faizal yang beraya ke rumah Aiman menjadi sebahagian daripada topik mereka selain daripada kisah meriam di malam raya.

Manakala Elly dan Atikah juga sedang sibuk bercerita. Keadaan itu membuatkan suasana di dalam kelas 4k1 kelihatan terbahagi kepada beberapa kumpulan. Bukanlah suatu kumpulan yang tetap disebabkan berpuak-puak atau rasis melainkan berdasarkan tarikan topik perbualan kumpulan tersebut.

Kumpulan tersebut mulai pecah apabila kelibat cikgu Jamaliah sudah kelihatan sedang berjalan daripada koridor dewan menuju ke kelas 4k1. Tidak lama kemudian Cikgu Jamaliah berjalan masuk ke kelas mereka. Iqra selaku ketua kelas pantas memberikan arahan dan mengucapkan salam kesejahteraan kepada Cikgu Jamaliah.

Cikgu Jamaliah kelihatan anggun dengan baju kurung moden yang berbalut di tubuhnya. Corak bunga –bunga kecil menambahkan seri pada baju tersebut. Baju raya barangkali.

Kelihatan senyuman nakal terukir di bibir pelajar lelaki sebaik sahaja cikgu Jamaliah masuk ke kelas tadi. Sememangnya waktu Bahasa Melayu yang di ajar oleh cikgu Jamaliah sangat ditunggu oleh mereka.

Biarpun tidak menyiapkan kerja sekolah yang diberi, mereka tidak akan sesekali ponteng kelas Bahasa Melayu selagi yang mengajarnya adalah Cikgu Jamaliah. Kalau cikgu Rosmah, yes! Mereka sanggup menyorok di pusat sumber atau mana-mana tempat termasuk tandas.

Begitu hebat penangan cikgu Jamaliah terhadap pelajar di dalam kelas 4k1. Terutamanya para pelajar lelaki seramai sembilan orang itu.

Oh ya, hari pertama minggu pertama persekolahan selepas cuti, kehadiran untuk kelas ini adalah penuh. Mungkinkah disebabkan cikgu Jamaliah? Apakah sebaliknya akan terjadi jika hari isnin tiada kelas Bahasa Melayu?

PAT KAY TUWhere stories live. Discover now