‘’Ambik borang ni sorang satu.’’ Cikgu Khairi menghulurkan dua keping borang kepada Aiman. Aiman mencapainya dan menyerahkan sekeping kepada Zakkir.
Sebaik sahaja habis kelas tadi, mereka terus ke bilik guru untuk berjumpa cikgu Khairi. Takut sungguh mereka pada cikgu Khairi.
Terangkat kening mereka membaca tulisan pada bahagian atas borang tersebut. Mata mereka membulat. Mujurlah mulut tidak ternganga luas.
BORANG PERMOHONAN PENGAWAS SEKOLAH
‘’Tapi cikgu, kami tak mohon pun untuk jadi pengawas.’’ Ujar Zakkir terkejut. Dia tidak tahu kepada borang tersebut diberikan kepada mereka.
Tak pernah pula rasanya dia menyatakan hasrat untuk memohon menjadi pengawas sekolah. Tiba-tiba saja diberikan borang pula.
Jangan kata pengawas sekolah, kalau boleh jawatan AJK dalam kelas pun dia tidak mahu.
Aiman seperti dirinya juga. Berkerut dahi kehairanan. Tapi, mana la tahu kalau-kalau Aiman memohon secara senyap-senyap.
Tapi tak mungkin juga , apa yang diketahuinya, Aiman sangat membenci jawatan berbaju biru laut tersebut. Sejak di sekolah rendah lagi dia bersikap begitu. Ah, tak mungkin Aiman sudah berubah hati sekarang.
Kemungkinan ini boleh diterima kalau Aiman kena rasuk. Tapi ada ke hantu yang nak rasuk dia?
‘’Betul cikgu. Kami tak pernah mohon pun nak jadi pengawas sekolah.’’ Tahulah Zakkir bahawa Aiman juga seperti dirinya yang tidak tahu apa-apa berkenaan perkara tersebut.
‘’Saya tahu kamu pasti terkejut bukan?.’’
Mereka berdua angguk kepala.
‘’Sengaja saya pilih kamu berdua untuk jadi pengawas sekolah walaupun kamu tak mohon. Saya sudah usulkan perkara ini kepada PK HEM, dan nampaknya dia sangat setuju dengan cadangan saya’’
‘’Hah? Tapi kenapa kami, cikgu?’’ Aiman masih tidak faham kenapa mereka yang dipilih tanpa pengetahuan mereka sendiri.
Aiman keliru. Namun, sempat juga dia mengerling persekitaran bilik guru tersebut. Kelihatan beberapa orang guru sedang berkemas untuk balik. Ada yang sempat melemparkan pansangan sinis ke arah mereka. Ada yang senyum seikhlasnya. Ada juga senyum penuh makna. Aiman abaikan persekitaran tersebut. Ada perkara lebih penting lagi untuk difikirkan.
‘’Kenapa kamu? Sebab saya nampak sesuatu dalam diri kamu berdua yang kamu sendiri tidak sedar.’’ terang cikgu Khairi. Namun jawapannya itu belum cukup untuk memuaskan hati Zakkir dan Aiman.
Sesuatu dalam diri? Ada hantu atau saka ikut aku ker? Aiman tunduk melihat tubuhnya. Tak ada apa pun yang istimewa. Sesuatu apanya. Cakap berbelit-belit. Cuba la terus terang, kan senang. Tak la membazir waktu makan tengah hari aku.
‘’Beginilah, kamu balik ke rumah, isi dahulu borang tu. Lepas tu hantar kepada saya.’’
‘’Kalau tak isi tak boleh ker, cikgu? Maksud saya kalau saya tak mahu jadi pengawas sekolah. Lagipun saya ni bukannya budak baik, bijak pun tidak.’’ Aiman merendah diri dengan harapan cikgu Khairi akan membatalkan saja pemilihan mereka berdua sebagai pengawas sekolah.
Cikgu Khairi mengukir senyum.
Tersentak mereka berdua kerana ini pertama kali mereka lihat cikgu Khairi senyum. Selalunya wajahnya membengis setiap masa. Rugilah mereka yang lain tidak melihat senyuman cikgu Khairi.
‘’Kamu isi dahulu borang tersebut, kemudian kamu hantar pada saya bila-bila masa apabila kamu sudah bersedia. Saya bagi masa untuk kamu fikirkan perkara ini. Kamu boleh dikatakan bertuah kerana di pilih khas, tidak seperti calon pengawas lain yang perlu melalui proses pemilihan yang ketat.’’ Terang cikgu Khairi lagi. Dia sudah menjangkakan perkara ini, sebab itu dia memberikan tempoh kepada mereka.
Bertuah? Bertuah apanya. Ini dah kira malapetaka dah ni. Kenapa la tak dibagi saja pada pelajar lain yang lebih layak jawatan sebagai pengawas sekolah. Tak logik langsung cikgu Khairi memberikan mereka tawaran tersebut. Atau ini sebahagian rancangannya untuk mengenakan mereka berdua. Aiman mula membuat pelbagai telahan. Apa yang sedang berlaku sekarang sungguh di luar dugaan sama sekali.
‘’Aaa..cikgu, tadi cikgu kata ada sesuatu pada diri kami yang menyebabkan kami dipilih. Apa benda tu cikgu?’’ Soal Zakkir setelah gagal mencari sesuatu pada dirinya yang dimaksudkan oleh cikgu Khairi.
‘’Hahaha.. yang itu kamu tidak perlu tahu sekarang. Jika kamu berdua terima jawatan ni, kamu berdua akan tahu juga nanti. Sebab ianya ada di dalam diri kamu sendiri. Ada apa-apa lagi?’’
‘’Err..tak da cikgu.’’
‘’Kalau begitu kamu boleh balik sekarang. Ingat kata-kata saya tadi.’’
Aiman dan Zakkir berjalan keluar daripada bilik guru dengan perasaan yang bercelaru. Perlukah mereka seronok dan gembira? Berkelah di air lata sambil buat BBQ. Atau mereka perlu berkabung kerana kebebasan mereka bakal diragut sebaik sehaja mereka menyarung uniform berwarna biru laut tersebut.
Masing-masing pulang ke rumah dengan pelbagai tanda tanya yang masih berlegar di dalam kepala.
YOU ARE READING
PAT KAY TU
Teen FictionPat Kay Tu - Mengisahkan Aiman dan rakan-rakannya. Seorang pelajar yang nakal dan juga baik hati. Namun, segalanya berubah dengan kedatangan orang baru di sekolah mereka. Siapakah orang tersebut? Apakah kesudahan pergaduhan antara Aiman dan Faizal?