BAB 22 - Raya II

147 15 0
                                    

Mereka rancak berbual di beranda rumah Aiman sambil menikmati hidangan bihun sup. Ada yang makan mee sup. Aiman turut makan bersama. Sungguh berselera sekali dia. Mengalahkan mereka yang lain pula.

"Aiman, hang dah minta maaf kat Faizal ke?" Tanya Zakkir apabila teringatkan janji Aiman di surau beberapa minggu yang lepas.

"Dah." Jawab Aiman pendek dan bersahaja.

"Kiranya hang dah cerita la kat dia yang hang la pekena dia dengan Jamal pasal rokok tu dan pancit tayar moto dia?" Zakkir kelihatan teruja ingin tahu. Keterujaan itu tidak dapat dibendung lagi hinggakan sanggup meletak seketika sudu yang sedari tadi tidak pernah berhenti dari menyuap sup ke mulutnya.

Mereka yang lain buat endah tak endah sahaja pada perbualan Zakkir dan Aiman. Makanan yang sedang dijamah itu lebih menyelerakan daripada isi perbualan tersebut. Tambahan  pula mereka tidak mengetahui hujung pangkal cerita itu.

"Tak pun. Aku salam ucap selamat hari raya aje. Kat dalam ucapan tu kan  ada sekali 'maaf zahir dan batin'. Kiranya aku minta maaf juga la tu. Kan?"

"Macam tak ikhlas jer." Ujar Zakkir meragui maaf yang di ucap Aiman.

"Ikhlas tu dalam hati. Hang mana tau." Tingkas Aiman.

"Walaupun tak nampak, tapi aku tahu  hang tak ikhlas pun ,kan?"Zakkir masih tidak berpuas hati.

"Dah dia pun nampak macam nak taknak je salam dengan aku tadi. Aku balas balik la."

"Tu la hang Man. Aku tau dah. Hang mesti tak minta maaf punya." Simpul Zakkir yang sudah menduga dari awal.

"Nanti-nanti la aku minta maaf lain. Jatuh la standard aku kalau minta maaf sekarang. Mesti dia ingat aku mengaku kalah, dia menang. No way! Aku tak akan biarkan." Tiba-tiba terkeluar ayat Bahasa Inggeris dari mulut Aiman. Dua patah perkataan yang bermakna selain 'thank you' yang biasa diucapkannya. Ada kemajuan.

"Ye la Man oi..ikut hang laa. Kalau camtu aku pun ikut hang la." Balas Zakkir sambil mengangkat semula sudu sup tadi.

"Hang pun sama ja. Lagi setan dari aku." Hentam Aiman pula.

"Dah macam kat kedai mamak hangpa dua ni. Sembang riuh rendah. " Sampuk Aqhar setelah semangkuk sup sudah selamat di simpan dalam perutnya.

"Man, cikgu Nazir apa cerita? Hang tak jemput dia mari raya ker?" Soal Hafiz pula menyertai perbualan mereka.

"Nak jemput apa, call tak dapat. Mesej tak balas. Ucapan hari raya pun senyap ja" Balas Aiman sedikit kecewa.

"Dia balik kampung la kot. Kalau tak boleh ajak dia raya." Balas Zakkir.

"Ye la kot. Tapi nak raya macam mana, kaki dia dah okey ke kemalangan hari tu?" Aiman kelihatan sedikit bimbang. Seminggu sebelum raya, cikgu Nazir telah kemalangan. Mujurlah tak cedera parah.

"Okey dah kot. Lagipun retak sikit ja. Nasib baik tak teruk." Teka Hafiz antara yang terawal sampai ke hospital pada hari kejadian.

"Elly dengan Atikah kenapa tak datang sekali?" Aiman pelik kerana dua orang puteri kelas mereka itu tidak pula kelihatan. Padahal dia sudah menjemput mereka semua.

"Tadi dia kata nak mari lepas raya rumah kawan dia dengan Atikah." Terang Zakkir.

"Elehh..kawan konon...entah-entah pakwe." Tempelak Aqhar.

Pin! Pin! Pin !

Sebuah motosikal Honda jenis Ex5 bergerak memasuki halaman rumah Aiman. Berhenti di sebelah motosikal mereka yang lain.

"Panjang umur budak dua orang ni. Baru sebut dah sampai." Ujar Aqhar seraya memandang ke halaman rumah Aiman.

Elly dan Atikah berjalan ke arah beranda rumah Aiman.

"Assalamualaikum....." panjang dan kuat suara Elly memberi salam seperti tiada orang disitu. Padahal dia sudah melihat rakan sekelasnya sedang makan sambil bersembang di beranda rumah Aiman.

"Masuk la kalau tak malu." Usik Aiman.

"Aku memang tak malu pun.  So aku masuk. Haha.. mak hang mana Aiman?" Tanya Elly pula sambil matanya meliar mencari kelibat Puan Aini.

"Ada kat dalam." Beritahu Aiman spontan.

Elly dan Atikah masuk ke dalam rumah bersalam dengan Puan Aini yang sedang berbual-bual dengan mak cik Salihah. Tindakannya sekadar untuk menunjukkan rasa hormat kepada tuan rumah. Agak terperanjat juga Elly dan Atikah melihat Faizal di ruang tamu tersebut. Faizal sedang leka bermain dengan telefon bimbitnya. Kemudian Elly dan Atikah minta diri untuk menyertai Aiman dan yang lain di beranda rumah.

Mereka duduk makan sambil berbual-bual. Rancak sungguh perbualan mereka. Seperti sudah lama tidak bertemu pula lagaknya. Balang biskut pula semakin surut kandungannya.

Biskut Almond London sudah lama ghaib oleh tuan rumah sendiri. Yang tinggal hanyalah kuih-kuih kelas bawahan. Maknanya kuih yang sekadar menjadi hiasa sahaja. Rasa yang sama cuma bentuk berlainan. Ada bentuk bulan, bunga, bintang, ais krim dan bentuk yang tak terbentuk. Fikirlah sendiri.

Elly dan Atikah sedang menikmati bihun sup. Rugi rasanya kalau melepaskan bihun sup masakan Puan Aini yang sungguh menyelerakan itu. Beberapa kali juga Aiman terpaksa berulang ke dapur menambah sup yang cepat habis. Melantak sungguh depa ni.

Sesekali mereka mengambil gambar  selfie atau welfie? Arggh..apa-apa aje la..Pelbagai gaya dilakukan. Daripada gaya manusia hingga gaya tak berapa nak manusia. Semuanya di lakukan oleh mereka yang berumur 16 tahun itu.

Selepas itu, telefon bimbit disimpan semula ke dalam poket masing-masing.  Gambar-gambar itu semua akan di muatnaik ke dalam media sosial malam nanti sahaja. Masa yang ada sekarang perlu digunakan sebaik mungkin untuk bersosial, berinteraksi sesama mereka, bukanya berkepit  dengan gajet.

Suara ketawa mereka diberanda rumah tanpa disedari nyata mengundang rasa iri hati kepada satu hati di dalam rumah. Yang sedari tadi mendengar dan memendam perasaan.

*****
Memo penulis :Bab raya ni agak spoil sikit. Tapi terpaksa tulis. Dan masih berkisar tentang watak utama.

Next bab dah kembali ke sekolah. Bosan pulak cerita pasal cuti.
Haha..😅😅😅

PAT KAY TUWhere stories live. Discover now