Selepas sahaja solat tarawikh lapan rakaat di surau, mereka bertiga berkumpul di rumah Aiman untuk mengulangkaji pelajaran. Esok merupakan hari pertama peperiksaan pertengahan tahun.Dan kali ini mereka berazam untuk menjawab dengan baik. Mereka mahu lulus dalam peperiksaan kali ini. Belum pernah mereka mempunyai azam seperti ini. Jika tidak pada malam sebegini mereka pasti sedang melepak di bandar Taiping sambil bermain rollerblade atau berbual kosong di Dataran Warisan sehingga larut malam. Ataupun mereka akan sibuk berbalas chat di media sosial berjam jam lamanya hingga tertidur. Begitulah saban malam setiap hari. Buku langsung tidak dipedulikan.
“Aqhar tak join ker malam ni?’’Soal Zakkir apabila melihat Aqhar tidak ada bersama mereka.
‘’Yang tu aku tak tahu. Tadi aku dah ajak kat whatsapp, tapi dia seen pun tidak. Mungkin dia belum balik dari surau lagi. ’’ Beritahu Hafiz. Aqhar sebenarnya rajin juga ke surau walaupun puasanya di bulan ramadhan belum pernah cukup sebulan. Ada saja lompong di mana-mana. Hafiz tahu benar kerana mereka sudah lama berkawan. Aqhar pula tanpa segan silu bercerita kepada mereka.
‘’Hurmm... kalau macam tu kita bertiga aje la malam ni.’’ Putus Zakkir yang kelihatan bersemangat pada malam itu. Lain macam pula semangat dia malam ni. Mungkin dapat dorongan daripada aweknya selang beberapa kelas sahaja dari kelasnya. Mungkin.
Ada awek, baru semangat nak belajar. Ada orang bagi semangat. Kata orang, disebalik kejayaan seorang lelaki, ada wanita yang berdiri di belakang mereka. Dan pada budak-budak sekolah macam mereka ni, wanita tersebut adalah ibu mereka, dan bukannya awek cinta monyet.
‘’Bertiga pun bertiga lah..ini aje yang ada nya. Jom la mula, lambat dah ni.’’ Aiman juga nampak bersemangat. Dia yang paling bersemangat. Meja makan itu dikemas untuk dijadikan tempat mereka belajar.
Tidak sia-sia cikgu Nazir, guru praktikal di sekolah mereka selalu membebel dengan kata-kata motivasi setiap kali masuk ke kelas. Entah kata-kata yang mana melekat di kepala Aiman tidak pula dapat dipastikan. Tetapi yang pasti, kata-kata itu telah berjaya menembusi gegedang telinga Aiman dan terus menuju ke otaknya untuk diproses seterusnya mempengaruhi tindakan Aiman sekarang. Tidak lagi seperti mencurah air ke daun keladi.
Masing-masing mengeluarkan buku-buku berkaitan dan alat tulis. Telefon bimbit mereka sudah ditetapkan pada mode silent dan disimpan ke dalam beg. Ancaman utama itu perlu dihindari terlebih dahulu. Godaannya terlalu kuat. Dengan satu bunyi sahaja mampu membuatkan jiwa mereka menjadi resah, gelisah tidak keruan. Benak akan dipenuhi beribu tanda tanya dan persoalan. Whatsapp atau wechat? Siapa yang mengirimnya?.
‘’Esok Bahasa Melayu kertas 1 dan 2. Jadi kita nak study yang mana dulu?’’ Tanya Aiman mahukan pendapat mereka. Boleh dikatakan dia bertindak seperti ketua kepada study group tersebut. Idea untuk mengadakan study group ini juga sebenarnya adalah dari dia sendiri.
‘’Aku rasa baik kita fokus pada tatabahasa dahulu. Lepas tu baru kita fokus karangan pula.’’ Jawab Hafiz yang sememangnya mempunyai cara belajar yang agak sistematik berbanding Aiman dan Zakkir. Tidak hairanlah dia memperolehi kedudukan nombor satu di dalam kelas 4k1 dalam ujian awal tahun yang lepas.
‘’Ala, karangan kita goreng aje la esok. Apa susahnya.’’ Jawab Zakkir selamba.
‘’Goreng tu memang la boleh goreng, tapi kena la berilmu juga. Kalau tak nanti hangit jadinya. Tak guna la kita study malam ni kalau macam tu’’ Balas Aiman pula. Dia nekad untuk menggoreng dengan berilmiah kali ini. Tidak seperti peperiksaan yang lepas-lepas.
‘’Yela yela. Dah, jom la mula.’’ Zakkir kelihatan beralah. Ada benarnya juga kata Aiman tadi.
Mereka bertiga sedang tekun membaca buku tatabahasa Bahasa Melayu. Tidak lama kemudian Aiman bangun dari tempat duduknya.
‘’Hampa study dulu, aku nak pergi dapur kejap’’. Aiman menghilang ke dapur dan kembali semula bersama talam yang terdapat satu jag air oren sunquick di dalamnya. Dia meletakkan talam tersebut di atas meja dan menuangkan air oren itu ke dalam tiga biji gelas.
‘’Take five dulu geng. Kita minum dulu.’’ Pelawa Aiman kepada Zakkir dan Hafiz. Hafiz segera mencapai satu gelas air oren sunquick dan menghirupnya. Zakkir sebaliknya menyeluk tangannya ke dalam beg sekolah miliknya mencari sesuatu.
‘’Ehemmm...’’ Aiman berdehem perlahan. Namun cukup kuat untuk didengari oleh Zakkir. Zakkir memgangkat muka memandang wajah Aiman. Berhenti menyeluk tangannya ke dalam beg sekolah miliknya.
‘’Tak lari mananya telefon tuh. Tapi exam ni confirm akan lari nanti. Lari markahnya kalau kita tak study betul-betul.’’ Aiman mengingatkan Zakkir tentang godaan paling bahaya dan mengancam tersebut. Zakkir tidak jadi hendak melihat telefonnya. Dia mencapai segelas oren sunquick lalu menghirup perlahan. Menikmati rasa oren sunqucik sejuk.
Meja itu dipenuhi dengan pelbagai jenis buku rujukan Bahasa Melayu, buku teks, buku latihan serta apa-apa sahaja buku berkaitan Bahasa Melayu. Semuanya dikumpulkan bersama semangat yang telah bersatu di dalam diri mereka.
Belum pernah mereka belajar bersama sebegini. Dan ini merupakan kali pertama. Ayah dan emak Aiman tiada dirumah. Mereka semuanya pergi ke surau termasuk adik-adiknya untuk menunaikan solat sunat tarawikh. Pasti bangga emaknya jika melihat keadaan sekarang yang sedang mengulangkaji pelajaran bersama Zakkir dan Hafiz.
Setelah berehat selama lima minit yang sebenarnya sudah terlajak beberapa minit, mereka menyambung kembali mengulangkaji pelajaran. Ada ketikanya Aiman akan memberikan penerangan kepada Zakkir dan Hafiz. Kemudiannya pula Hafiz. Bergilir-gilir. Begitulah cara mereka mengulangkaji bersama. Saling berkongsi pengetahuan dan membantu antara satu sama lain. Antara mereka bertiga, Hafiz lebih dominan pengetahuannya. Dan tidak menjadi masalah kepada Hafiz untuk berkongsi sesama mereka.
Bagi Hafiz, kejayaan itu lebih manis apabila dicapai bersama rakan susah dan senang. Baru terasa nikmatnya.
*****
Nazir sedang berbaring di atas tilam empuk di ruang tamu rumah sewa mereka. Telefon bimbitnya di periksa beberapa kali. Senyap. Tiada sebarang chat yang masuk dalam grup whatsapp yang berderet di dalam henfonnya.
Dia mendepakan tangannya. Merenung tepat ke arah siling. Bosan. Tidak tahu hendak berbuat apa.
Dia tahu kenapa group sunyi sahaja malam itu, keesokan harinya pelajar 4k1 akan mula menghadapi peperiksaan. Atas nasihat dia juga lah supaya mereka tidak terlalu bermain dengan telefon dan tumpukan pada ulangkaji pelajaran. Dan nampaknya mereka betul-betul menuruti nasihatnya. Akibatnya, dia pula berasa bosan.
Henfonnya di capai semula. Group 4k1 dibuka semula. Tiada chat baru. Nazir scroll melihat chat-chat yang lama. Dia berhenti apabila terlihat satu mesej suara daripada Aiman. Ikon play di tekan.
Hari ku yang pergi...
Hilangku mencari
Gelora cinta kau bawa tiada kembali...
Rindu ku tak sudah.....Berkumandang lagu Takkan Pergi nyanyian kumpulan Hyper act. Namun bukanlah suara vokalis Hyperact yang kedengaran, sebaliknya suara Aiman yang berkaraoke penuh perasaan.
Nazir tersenyum sendirian. Jika tidak kerana Aiman yang gemar menyanyikan lagu tersebut, nescaya dia tidak pernah tahu tajuk lagu tersebut. Apatah lagi untuk menjadi peneman halwa telinganya.
Diulang beberapa kali tanpa bosan. Sungguh berkeyakinan sekali Aiman menyanyikan lagu tersebut walaupun sesekali berhenti menarik nafas. Semput agaknya.
YOU ARE READING
PAT KAY TU
Teen FictionPat Kay Tu - Mengisahkan Aiman dan rakan-rakannya. Seorang pelajar yang nakal dan juga baik hati. Namun, segalanya berubah dengan kedatangan orang baru di sekolah mereka. Siapakah orang tersebut? Apakah kesudahan pergaduhan antara Aiman dan Faizal?