Bab 1

115K 5.2K 1K
                                        

Aku berikan satu pandangan yang tidak percaya ke arah Airil yang baru saja menghabiskan kata-katanya. Aku memang tak percaya dengan apa yang aku baru dengar dari mulutnya sendiri. Kata-kata itu aku cuba cerna di dalam mindaku, kemudian di ulang berkali-kali apa yang Airil katakan kepada aku. Lelaki yang duduk semeja di hadapan aku ini baru saja katakan yang dia ingin memutuskan hubungan kami yang terjalin selama sepuluh tahun.

"Aa... Apa awak cakap?" Aku bertanya sekali lagi, supaya Airil mengulang kembali apa yang dia katakan. Aku berharap yang telinga aku tersalah dengar tadi.

"Saya nak kita putus," kata Airil untuk kali kedua. Aku pandang wajahnya sekali lagi. Memang aku tidak salah dengar tadi, Airil memang nak putuskan hubungan kami yang terjalin dari bangku sekolah lagi.

"Awak bergurau kan? Awak prank saya kan?" Aku menyoal dengan suara yang bergetar. Walaupun Airil jenis yang suka bergurau tapi aku tahu kali ini tidak. Tambahan pula apabila melihat wajah Airil yang serius membuatkan aku tahu yang dia bukan bergurau.

"Tak, saya tak bergurau. Saya tak main-main kali ni." Airil berkata dengan nada yang serius untuk membuktikan kata-katanya.

"Kenapa?" Suaraku masih lagi seperti tadi. Aku cuba kawal percakapan aku ketika ini. Aku cuba untuk menahan air mata yang bertakung di kelopak mata dari merembes turun ke pipi.

"Saya nak kahwin." Tiga perkataan yang meluncur keluar dari mulut Airil membuatkan air mata aku semakin bertambah, cuma tunggu masa nak jatuh.

"Kahwin?" Aku mengulang kembali apa yang Airil katakan. Airil ingin memutuskan hubungan dengan aku kerana ingin berkahwin? Apa semua ni? Apa yang berlaku? Tiba-tiba saja.

"Saya minta maaf, Farisya." Ucapan maaf dari Airil langsung tidak dapat menenangkan gelora di dalam hati ketika ini. Setitik air mataku jatuh selepas itu. Mana mungkin aku boleh bertenang, Airil dengan aku sudah menjadi kekasih dari sekolah menengah lagi, sudah sepuluh tahun kami bercinta dan sekarang ni dia ingin memutuskan hubungan ini kerana dia ingin berkahwin?

"What are you trying to say?" Suaraku jelas kuat kedengaran seolah-olah membentak. Orang di sekeliling mula memandang ke arah kami, mungkin terkejut kerana terdengar suaraku. Kalau orang lain berada di tempat aku pun, mereka akan melakukan perkara yang sama. Boyfriend kau tiba-tiba cakap nak kahwin, kau rasa?

"Orang kat dalam kafe ni berpakat dengan awak nak kenakan saya kan?!" Aku mula berdiri dan tanganku mula terhala kepada orang di sekeliling. Aku cuba sedapkan hati aku dengan cara ini, Airil memang selalu prank aku dengan cara begini. Dulu ketika di sekolah, benda yang sama dilakukan. Dia berpakat dengan rakan-rakan sekelas kami untuk kenakan aku. Mungkin ini benda yang sama Airil ingin lakukan sepuluh tahun yang lalu.

"Cuba awak bertenang dulu." Suara Airil yang seakan merayu mula kedengaran. Dia menarik tanganku supaya duduk. Mukanya seakan sedang menahan malu dengan tindakan melulu aku sebentar tadi.

"Awak main-main je kan?" Aku bertanya sekali lagi untuk mendapatkan kepastian. Terasa dunia seakan terhenti ketika ini. Kalau Airil betul-betul ingin berkahwin, macam mana dengan aku nanti? Bagaimana dengan janji yang dia selalu berikan untukku? Janjinya yang akan sentiasa setia dengan aku, janjinya yang akan terus bersama dengan aku hingga ke hujung nyawa dan janjinya yang tak akan pernah tinggalkan aku walau apa pun yang terjadi. Di mana semua itu sekarang? Aku dapat rasakan semua itu sudah mula pudar sedikit demi sedikit.

"Awak kata nak kahwinkan? Dengan saya?" Aku terus bertanya dengan soalan yang seterusnya. Mungkin Airil saja beritahu dengan cara begini. Mungkin Airil ingin putuskan hubungan kami sebagai kekasih kerana ingin menghalalkan hubungan kami sebagai suami isteri. Aku mula menyedapkan hati dengan cara ini pula. Mungkin- Aku cuma mampu berharap sahaja ketika ini.

Bukan Untuk DimilikiTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang