Jadi semalam aku memang tak bermimpi kerana Zarif memang ada di sini, aku sudah hubungi Aunty Aliyah pagi tadi untuk mengesahkannya. Seperti yang dia katakan, dia tidur di dalam bilik sebelah, sudah menjadi kebiasaan bila hubungan kami retak menanti belah, tempat tidur merupakan perkara pertama yang diasingkan. Dia akan tidur di dalam bilik tetamu yang pernah digunakannya ketika sampai di sini buat pertama kali.
Aku lepaskan keluhan lagi bila teringatkan perangainya yang akan berubah secara mendadak, aku pernah kata yang aku akan suka walau macam mana sekali pun dia berubah tetapi tidak untuk yang satu ini. Aku sendiri tidak tahu apa salah aku sampai dia berkelakuan sebegini, sampai dia hukum aku dengan cara ini. Dari awal hingga sekarang, masalah utama kami adalah komunikasi. Kalau ada masalah timbul, kami sama-sama memilih untuk berdiam diri dan berharap masa yang menentukan segalanya.
Aku tolak pintu bilik tetamu, suasana di dalamnya terang kerana lampu masih terpasang dan jam di dinding sudah pun menginjak ke angka sembilan. Buat seketika pandangan mataku terhala kepada Zarif yang tertidur di atas sejadah dan kemudian beralih ke arah diarinya yang terbuka, letaknya di atas meja kecil berhampiran katil. Zarif sudah jarang menulis diari memandangkan dia tahu aku akan membacanya, untuk bulan ini tidak banyak yang dia catatkan.
"Zarif?" Aku sahut namanya beberapa kali namun tiada jawapan yang diberikan, masih lena.
Rasa terpanggil untuk membaca apa yang terkandung di situ. Tanpa menunggu aku terus mencapainya dan aku belek sepintas lalu dari awal hingga ke helaian yang dibiarkan terbuka tanpa membacanya dengan teliti. Apabila sampai di penghujung, pandangan mataku tertacap pada helaian tadi, tulisan tangan Zarif yang memenuhi ruangan. Bertarikh hari ini, pada jam tiga pagi.
Ketika aku mengetahuinya, perasaan takut terhadap kematian yang sentiasa menemani, bukan kerana aku belum puas menjalani kehidupan di dunia ini. Perasaan itu datang apabila teringatkan orang-orang di sekeliling aku. Aku terlampau takut untuk tinggalkan mereka, terutama sekali Farisya. Aku rasa masa kami terlampau singkat, aku mahu berada di sisinya untuk jangka masa yang panjang. Aku tunaikan janji untuk hidup bersamanya hingga ke hari tua.
Namun siapa aku untuk menolak kematian yang pasti akan dilalui oleh semua orang, cepat atau lambat aku akan mati. Dan Allah ada berfirman di dalam surah Ali 'Imran, ayat 185 ; tiap-tiap yang berjiwa akan merasai mati.
Sepanjang kedewasaan ini, aku tahu dunia ini hanyalah satu persinggahan, bukanlah sesuatu yang kekal. Untuk apa aku takutkan perpisahan dengan mereka semua sedangkan di sana adalah yang abadi.
Anak mataku yang tadinya tekun meneliti setiap patah perkataan tiba-tiba saja membulat, seperti mahu keluar bebola mata dari kelopak. Entah dari mana satu tamparan kuat menampar dada, serta-merta datang debaran hebat mengisi ruangan. Anak mataku meliar memandang ke arah Zarif yang terbaring di atas sejadah manakala kaki terasa berat untuk melangkah dan diari yang kupegang dengan erat jatuh menyembah bumi.
Aku tahu kau akan baca diari ni, Farisya. Andai perpisahan boleh hentikan derita yang kau rasai sepanjang kita bersama, lepaskan segalanya saat aku pergi. Andai perpisahan boleh beri kau bahagia, carilah bahagia itu tanpa aku. Andai perpisahan boleh berikan kau kehidupan yang kau inginkan, aku harap kau akan temui seseorang yang jauh lebih baik dari aku.
Catatannya kali ini sangat panjang, seolah-olah dia tahu masanya sudah tiba. Langkah terasa begitu berat dan masa seakan terhenti, segala kenangan aku bersamanya berlalu dengan pantas.
Jika kau inginkan perpisahan melalui penceraian, aku tidak mampu untuk lakukan. Tetapi, andai Dia ambil nyawa aku pada hari ini, aku boleh lepaskan kau pergi seperti yang kau inginkan. Gapailah setiap impian yang kau mahukan dalam sebuah perkahwinan.
ANDA SEDANG MEMBACA
Bukan Untuk Dimiliki
RomancePertama : Singkirkan Ilya Humaira atau lebih tepat aku akan buat Airil Zafran ceraikan dia. Kedua : Kahwin dengan Airil Zafran, seperti yang kami rancang sepanjang sepuluh tahun menyemai cinta dan mengikat kasih sayang. Ketiga : Kami akan bahagia se...
