Pintu utama aku buka dengan perlahan. Walaupun keadaan rumah milik keluargaku agak gelap dan hanya disimbahi cahaya lampu dari luar, aku masih lagi dapat berjalan tanpa melanggar perabot di dalam rumah ini. Aku sudah dapat hafal di mana terletaknya sofa, meja dan almari untuk memudahkan pergerakanku dalam keadaan gelap. Lima bulan, aku dapat menghafal di mana letaknya perabot di dalam rumah ini.
Sepanjang tempoh tiga bulan, aku sengaja tidak menyalakan lampu supaya penghuni rumah ini tidak terjaga. Selama tiga bulan juga, aku masuk ke dalam rumah secara senyap. Kalau penghuni dalam rumah ini terjaga, masak lah aku kena ceramah dengan papa nanti. Kalau ahli keluarga aku tahu pasal hal ni memang teruk kena nanti. Keluar waktu maghrib, subuh baru ingat nak balik. Ini adalah rutin harianku selepas Airil mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan kami. Kerana terlampau kecewa aku buat begini, kerana terlalu kecewa aku mencari sesuatu untuk dilakukan supaya dapat melupakan Airil.
Minggu pertama selepas Airil memutuskan hubungan kami, aku hampir melakukan perkara yang tak sepatutnya. Penangan cinta pertama yang bertaut selama sepuluh tahun membuatkan aku hampir mengambil keputusan yang diluar jangkaan. Kekasih hati yang selalu ada tiba-tiba tiada membuatkan aku hilang arah hidup, hilang diri sendiri dan hilang kekuatan. Tapi disebabkan seorang kawan yang muncul ketika aku perlukan seseorang, aku temui cara ini untuk melupakan Airil.
Tiara yang ada dengan aku ketika aku terkapai sendirian menerima takdir yang Airil pergi tinggalkan aku. Dia yang membawa aku keluar dari rasa kesedihan itu. Tiara yang aku kenal masa zaman sekolah tak macam sekarang. Tapi itu tak penting, yang pentingnya dia ada dengan aku ketika aku memerlukan seseorang.
"Farisya."
Langkah yang baru kubuka untuk menaiki tangga tiba-tiba terhenti apabila ada suara yang menegur dari belakang. Satu keluhan yang berat aku lepaskan apabila suara itu sekali lagi memanggil namaku, suara itu milik papa.
"Papa tak tidur lagi?" Aku bertanya dengan menayang muka sehabis baik dan tidak bersalah. Aku memusingkan tubuhku supaya menghadap ke arahnya, jelas riak wajah papa sedang menahan kemarahan.
"Macam mana papa nak tidur kalau anak papa tak balik rumah lagi?!" Nada suara papa keras menjawab pertanyaanku. Aku memalingkan wajah ke arah lain, tak kuat untuk pandang papa.
"Risya pergi mana?" Papa bertanya soalan yang seterusnya. Aku hanya menunduk ke lantai, diam terkaku di situ.
"Pergi mana?!" Suara papa sekali lagi meninggi apabila bertanyakan soalan yang sama dan aku masih membisu memandang ke arah lantai.
"Risya jangan ingat papa tak tahu apa Risyabuat kat luar sana?!" Aku angkat sedikit wajahku, pandangan papa tepat menikam ke arahku.
"Papa tak pernah ajar anak papa jadi macam ni!" Aku mencari kekuatan untuk memandang ke arah papa. Tak pernah ajar? Memang papa tidak pernah ajar aku untuk jadi seperti ini dan papa memang tak pernah ajar aku untuk tidak melakukan hal ini.
"Papa ada masa ke nak ajar Risya? Tak ada kan?! Masa mama ada dulu pun, papa tak pernah ada masa untuk kami!" Aku meluahkan apa yang terbuku di hati. Sebelum mama pergi, memang papa selalu sibuk dengan kerjanya sampai tak ada masa untuk kami sekeluarga. Lepas mama pergi, dia sengaja sibukkan dirinya dengan kerja, supaya tak terlalu teringatkan mama. Aku tahu apa yang papa buat untuk memberikan kesenangan kepada kami sekeluarga tapi aku rasa kehilangan. Rasa macam tak cukup kasih sayang pun ada jugak, tambah lagi sekaran Airil tinggalkan aku.
"Risya, tak baik cakap macam tu dengan papa." Suara Iskandar mula kedengaran untuk menghentikan persengketaan antara aku dan papa. Entah bila dia muncul, aku pun tak pasti.
"Kau diam Iskandar!" Aku terus mengambil keputusan untuk meninggalkan ruang tamu. Langkah aku atur ke bilik, suara papa yang memanggil namaku dan mengatakan dia masih belum habis bercakap, aku tidak ambil peduli. Aku terlalu penat untuk mendengar apa yang papa katakan.
YOU ARE READING
Bukan Untuk Dimiliki
RomancePertama : Singkirkan Ilya Humaira atau lebih tepat aku akan buat Airil Zafran ceraikan dia. Kedua : Kahwin dengan Airil Zafran, seperti yang kami rancang sepanjang sepuluh tahun menyemai cinta dan mengikat kasih sayang. Ketiga : Kami akan bahagia se...