Dalam keadaan yang masih lagi mamai aku perhatikan apa yang berada berhampiran wajahku ketika ini. Bila diteliti baru aku perasan yang Zarif berada dekat denganku. Aku tidak melarang dan dia sendiri tanpa meminta, tidur bersebelahan denganku. Tanganku mula meraba mencari bantal yang menghadang posisi tidur kami semalam. Patut la Zarif boleh serapat ini denganku, ternyata bantal itu sudah tiada di tempat asal.
Aku terus memerhatikan seraut wajah yang sedang lena itu. Deruan nafasnya kedengaran begitu sekata, tenang sahaja dan tidurnya kelihatan sangat lena. Tanganku yang tadinya ingin menyentuh wajah Zarif mula beralih arah. Perlahan-lahan mula menyapa perut yang rasanya mencucuk-cucuk kesakitan.
Aku tersedar tadi kerana ini dan aku baru teringat yang aku hanya makan ketika bersarapan pagi tadi sebelum dipaksa untuk didandan oleh mak andam. Tengah harinya pula aku langsung tidak sentuh apa-apa makanan memandangkan terlalu sibuk melayan tetamu. Begitu juga dengan makan malam, sakit hati dengan MakCik Rosmah membuatkan aku lupa untuk makan dan disebabkan kepenatan, aku terus tidur.
Aku bangun dari berbaring dan melihat ke arah jam yang melekap pada dinding, baru jam dua pagi. Kalau hendak menunggu pagi esok, jawabnya kelaparan lah aku. Aku keluar dari bilik dengan perlahan-lahan, tingkah seperti seorang pencuri kerana tidak mahu Zarif tersedar.
Aku terus menggeledah dapur setelah tiba di sini, keluhan tidak henti-henti keluar dari mulutku. Takkan lah tiada sedikit pun lauk lebihan semalam? Kabinet dapur juga kosong tanpa sebarang makanan ringan Aku mula gelisah, takkan nak kejut Kak Imah pagi-pagi buta macam ni?
Kaki terus melangkah ke arah peti sejuk. Melihatkan bahan-bahan mentah, aku sekali lagi mengeluh sendirian. Kepala yang tidak gatal aku garu, perut sudah berbunyi tanda meminta diisi. Sejak kecil, aku dimanjakan oleh mama dan apabila kami berpindah ke sini, Kak Imah dan Kak Ila yang menguruskan makan pagi hingga ke malam kami, jadi aku tak pernah tahu memasak.
"Farisya?"
Sedang aku menyelongkar peti sejuk, satu suara menegurku dari belakang. Zarif berdiri di belakangku dengan mempamerkan riak yang kehairanan setelah melihat tingkahku. Aku berdiri setentang dengannya dan berpura-pura tidak melakukan apa-apa.
"Kau buat apa?" Zarif bertanya setelah melihatku diam.
"Tak ada apa-apa. Aku nak naik tidur," pamitku untuk meninggalkan segera ruangan dapur. Baru saja aku ingin melangkah pergi, dia memaut tanganku.
"Kau lapar ke?" Dia bertanya lagi seraya melepaskan pautan tangannya di lenganku.
"Tengah hari tadi kau tak makan?" Aku mengangguk mendengarkan pertanyaan darinya.
"Malam?" Aku geleng untuk memberi jawapan.
"Duduk dulu, aku masak."
Terkebil-kebil aku memandang ke arahnya. Dia nak masak? Dia turun ke bawah ni sebab tahu aku tak makan apa-apa dari siang tadi dan dia nak masak untuk aku? Pagi-pagi macam ni? Tanpa aku sedari, aku menurut apa yang dia katakan. Aku mengambil tempat duduk di kerusi berhampiran kaunter dapur.
Aku hanya melihat Zarif memilih bahan-bahan mentah dari peti sejuk lalu dikeluarkan dan di bawa ke sinki. Sosok belakang tubuhnya aku perhatikan, apa yang aku lihat sekarang sangat sempurna di mataku. Tangannya lincah memotong bahan-bahan untuk dimasak.
Bunyi bahan-bahan untuk ditumis mula kedengaran apabila Zarif memasukkannya ke dalam minyak yang panas. Bau tumisan bawang putih dan bawang merah mula menyerap masuk ke dalam rongga hidungku. Aku terus memerhatikannya daripada belakang.
YOU ARE READING
Bukan Untuk Dimiliki
RomancePertama : Singkirkan Ilya Humaira atau lebih tepat aku akan buat Airil Zafran ceraikan dia. Kedua : Kahwin dengan Airil Zafran, seperti yang kami rancang sepanjang sepuluh tahun menyemai cinta dan mengikat kasih sayang. Ketiga : Kami akan bahagia se...