Sayup-sayup kedengaran suara yang sedang berleter itu, aku mula memberi fokus namun datang rasa sakit yang mencengkam di bahagian kepala. Kali ini aku cuba membuka kelopak mataku namun terasa berat dan badan pula terasa lesu, sangat penat. Aku gagahkan diri untuk mendengar perbualan dua beranak itu.
"Malam tadi dia datang sorang-sorang, berjalan kaki, hujan pulak tu. Apa yang Am dah buat?" Itu Aunty Aliyah yang bertanya, tadi aku dengar leteran darinya mengenai suhu badanku naik mendadak sewaktu tiba di sini.
"Dia dah tahu," jawab Zarif dengan suara yang mengendur.
"Mama dah pesan dari dulu lagi, berterus-terang dengan dia. Bagitahu dia apa yang terjadi. Ini tak, nak berahsia sangat. Degil!" Sesudah Aunty Aliyah berkata, aku dapat dengar Zarif mengaduh kesakitan.
"Am balik tahun lepas nak terangkan."
"Tu bukan balik nak terangkan tapi balik nak cari pasal, cari masalah."
Dalam keadaan mata yang masih lagi tertutup, aku mendengar dengan teliti perbualan itu. Apa yang menarik perhatianku adalah tentang Zarif yang pulang ke sini pada tahun lalu untuk menerangkan apa yang terjadi kepadaku.
"Balik sini tak cakap, senyap-senyap. Tahu-tahu je dah sampai rumah dengan kepala ni. Kepala ni berbalut."
"Sakit la mama," adu Zarif sambil mengerang kesakitan. Mungkin Aunty Aliyah sekeh kepalanya.
"Kaki tu pun sama, nasib baik tak serious sangat. Am buat apa sebenarnya? Sampai ke hari ni bila mama tanya pasal hal ni, Am buat-buat tak tahu."
Aku pun tertanya-tanya, dia pulang ke sini pada tahun lalu untuk menerangkan segalanya apa yang terjadi namun niatnya terbatal. Menurut apa yang Aunty Aliyah beritahu, aku dapat rasakan dia terlibat dalam kemalangan. Mungkin.
"Tak ada apa-apa lah."
"Bila tanya, bagi jawapan macam tu." Aunty Aliyah berdecit kegeraman.
"Bila dia dah bangun nanti, bagitahu Am." Zarif meminta diri selepas itu, aku berhenti mencuri perbualan mereka.
"Risya dah bangun ke?" Aku mengeluh setelah dia ajukan soalan itu. Aku baru ingin menyambung tidur kembali.
"Malam tadi panas sangat," ujarnya sambil menyentuh dahiku.
"Dah tengah hari, makan dulu ya?" Terus aku mengubah posisi tidurku, mengiring membelakanginya.
"Kenapa Amril tipu Risya?" Aku lemparkan pandangan mataku yang kosong ini ke arah dinding.
"Dia tak tipu."
"Kenapa dia tak bagitahu?" Soalku kembali.
"Dia baru tahu, Risya. Tahun lepas dia baru tahu yang Risya fikir lelaki pada malam tu Airil." Aunty Aliyah cuba membela anaknya sendiri. Terang-terang Zarif yang salah.
"Tahun lepas, Risya ada tersasul depan aunty. Risya kata Risya jumpa Airil masa dia selamatkan Risya." Dia ceritakan apa yang berlaku tahun lalu.
"Tapi Airil kata, dia jumpa Risya kat pejabat sekolah." Keluhan berat kedengaran dari mulutku seusai kata-kata ini meluncur keluar dari mulutnya.
"Ramai sangat yang tertukar Amril dengan Airil. Masa tu aunty dapat rasa Risya salah orang, kebetulan Amril tak tinggal kat sini."
Kenapa kenyataan ini sangat pahit untuk aku terima? Seharusnya aku terima dengan dada yang lapang tetapi kenapa aku ingin menidakkannya?
"Aunty bagitahu Am pasal hal ni, dia pun terkejut. Ada jugak beberapa kali aunty suruh dia jujur dengan Risya tapi dia degil. Dia ada balik sini tapi entah la, tiba-tiba tak nak."

ANDA SEDANG MEMBACA
Bukan Untuk Dimiliki
RomancePertama : Singkirkan Ilya Humaira atau lebih tepat aku akan buat Airil Zafran ceraikan dia. Kedua : Kahwin dengan Airil Zafran, seperti yang kami rancang sepanjang sepuluh tahun menyemai cinta dan mengikat kasih sayang. Ketiga : Kami akan bahagia se...