Sliding door wardrobe aku tarik, semua pakaian yang berada di situ aku keluarkan dan aku letakkan di atas katil. Dua buah bagasi yang berada di atas lantai sudah tersedia untuk aku masukkan semua pakaian ke dalamnya. Aku humban ke semuanya dalam bagasi tanpa melipatnya kemas-kemas terlebih dahulu, tidak ada masa.
Aku beralih ke arah meja solek untuk mengemaskan barang-barang alat solek. Aku capai beg bersaiz kecil, aku hanya pilih yang perlu di bawa sahaja. Keperluan yang lain nanti aku beli kat tempat baru nanti. Selesai dengan itu, aku beralih pula untuk mengemaskan toiletries.
Semuanya selesai dalam masa setengah jam. Aku mengintai di sebalik langsir, dua orang pengawal keselamatan baru bertukar shift pula yang mengambil alih. Aku merengus kasar melihatkan situasi itu, minda mula ligat memikirkan sesuatu untuk keluar dari rumah ini. Ada lagi satu pintu pagar di bahagian belakang rumah tapi aku perlukan kereta dan aku harus melalui pintu pagar utama.
Kusut memikirkan tentang itu, aku rebahkan badan di hanging bubble chair yang berada di hujung bilik. Aku sandarkan kepala pada bantal, fikiranku semakin kusut memikirkan cara ingin keluar dari rumah yang macam neraka. Pandangan mataku mula memandang ke arah siling yang bercorak langit namun tiada ketenangan yang boleh seperti kebiasaannya.
"Huh!" Keluar lagi rengusan daripada mulut, jam terus berdetak namun aku masih lagi belum temui caranya. Entah kali keberapa aku meraup muka dan menguakkan rambut ke belakang.
Tak dapat memikirkan cara, aku mula meneliti setiap genap bilik. Kali ini aku ternampak kotak yang berada di atas almari, satu-satunya kenangan bersama Airil yang masih lagi aku simpan. Kebanyakan pemberian darinya aku buang, tak pun aku bakar terus.
Aku mendekati almari itu, kaki aku jengketkan sedikit untuk mengambil kotak itu. Penutupnya aku buka, aku simpan setiap pemberian Airil dari tahun pertama hinggalah terakhir sebagai kenangan. Ini hanya jumlah kecil dari pemberiannya untukku.
Yang menarik perhatian aku adalah sebentuk cincin emas putih yang bertatahkan sebutir permata. Katanya ini adalah tanda aku miliknya, sebagai tanda yang aku adalah kekasihnya. Nanti bila dah bertunang atau berkahwin, Airil kata dia akan gantikan dengan cincin lain. Ini cuma sebagai tanda aku sudah berpunya.
Aku meneliti cincin itu, dibelakangnya terukir nama aku dan dia. Disebabkan dia beri cincin ini kepadaku, aku berikan jam kepadanya dan di belakangnya sama juga seperti cincin ini. Terukir nama aku dan dia.
Cincin itu aku sarungkan kembali ke jari manisku. Aku ambil satu gambar di dalam kotak itu, gambar ketika hari terakhir kami menduduki SPM. Andai aku boleh putarkan waktu, aku ingin kembali semula ke sini. Di mana aku menemui kembali kebahagiaan selepas kematian mama. Ayreen juga ada pada waktu ini.
Aku simpan kembali gambar yang menyimpan memori sepuluh tahun lalu, aku tutup kembali kotak itu. Dengan perasaan yang bercampur-baur aku menuju ke arah balkoni. Kenangan yang bahagia bersama Airil mula bermain difikiranku tapi bahagia itu hancur dalam sekelip mata kerana satu halangan.
Aku ingin miliki kembali bahagia itu kerana aku juga berhak untuk merasai bahagia.
Dan bahagia yang aku inginkan itu hanya ada pada lelaki bernama Airil Zafran.
Kalau Aunty Aliyah boleh memiliki bekas kekasihnya kembali, kenapa aku tidak boleh? Kalau dia boleh berhubungan dengan papa ketika mama masih ada, kenapa aku tidak boleh lakukan perkara yang sama? Kalau dia berjaya pisahkan aku dan Airil, kenapa aku tidak boleh pisahkan Airil dan Ilya?
Aku boleh lakukan semua itu kerana Aunty Aliyah juga turut sama melakukannya.
Sudah ada satu dendam yang terdetik di hati pada minggu lepas dan sekarang ini semakin membara kerana dikhianati. Tatkala melihatkan kembali pemberian Airil sebentar tadi, bagaikan ada satu rindu yang datang terus menjerut. Apabila aku teringatkan kenangan bersamanya, cinta yang tak pernah hilang ini kembali mekar di sudut hati. Ketika ini juga hati mula membisikkan sesuatu, Airil Zafran harus menjadi milikku kembali.

ANDA SEDANG MEMBACA
Bukan Untuk Dimiliki
Storie d'amorePertama : Singkirkan Ilya Humaira atau lebih tepat aku akan buat Airil Zafran ceraikan dia. Kedua : Kahwin dengan Airil Zafran, seperti yang kami rancang sepanjang sepuluh tahun menyemai cinta dan mengikat kasih sayang. Ketiga : Kami akan bahagia se...