Dengan keadaan yang masih lagi mamai, aku gagahkan diri untuk melihat jam yang melekap pada dinding. Kesamaran cahaya yang hanya diterangi dengan lampu tidur membuatkan pandangan mataku terbatas. Aku pejamkan mata kembali setelah melihatnya.
Baru jam lima pagi. Hari minggu begini selalunya aku akan bangun lambat, entah bagaimana boleh tersedar waktu begini. Aku cuba untuk menyambung tidur kembali, posisiku berubah-rubah beberapa kali untuk mendapatkan keselesaan namun tetap sama.
Dengan rasa malas aku bangun dari berbaring lalu menuju ke bilik air, selesai membasuh muka aku turun ke bawah. Tiba-tiba saja aku merasa haus, kaki terus melangkah ke dapur. Hampir dua gelas air aku minum, barulah hilang rasa dahaga.
Baru saja aku ingin daki semula tangga, langkahku terhenti. Telinga mula menangkap bunyi yang sangat merdu pada halwa pendengaranku. Tanpa sedar kaki mula beralih arah, berjalan ke arah suara yang sedang mengalunkan sesuatu yang sudah lama aku tidak dengari. Papa dan Iskandar selalunya akan membacanya selepas solat maghrib tetapi pada waktu itu selalunya aku tiada di rumah.
Sampai saja di pintu bilik yang tidak tertutup rapat itu, langkahku terhenti. Di sebalik daun pintu aku mengintai si pemilik suara dari luar. Orang yang menghuni bilik bawah ini adalah Zarif, dia meminta untuk menggunakan bilik ini.
Aku kembali fokus mendengar suaranya mengalunkan ayat-ayat dari Al-Quran, mataku terpejam rapat dan jiwa diresap masuk dengan ketenangan. Telingaku menangkap satu ayat yang diulang berkali-kali, hujung suara Zarif kedengaran sebak. Tempiasnya aku juga dapat merasainya.
fabiayyi alaa 'iraabikumaa tukadzdzibaann
Zarif mengalungkannya beberapa kali diselangi ayat lain. Suaranya semakin berubah, getarannya hebat dirasai. Sepasang bahu itu aku lihat dari belakang terhinjut-hinjut, sesekali tangannya naik ke wajahnya. Menangiskah dia?
Tapi apa maksud ayat yang dibacanya itu sampai dia menangis? Apa yang terkandung di dalam ayat itu? Kerapkah Zarif menangis jika dia membaca Al-Quran? Atau kali ini sahaja?
Aku melihat Zarif mengucup Al-Quran setelah selesai membacanya. Tangannya mula ditadahkan, kepalanya sedikit terangkat memandang ke atas. Suaranya tidak jelas kedengaran tapi aku dapat dengar tangisan yang keluar dari mulutnya. Aku cuba mendengar apa yang dia doakan.
"Aku lalai. Tewas dengan nafsu sendiri, kecundang dengan godaan darinya. Maafkan aku Ya Allah, Ya Tuhanku."
Aku berfikir sejenak, dia memohon keampunam melalui doanya itu. Kerana kejadian yang berpunca dari akukah? Menangis di tikar sejadah kerana keterlanjuran kami semalam? Kerana aku menggodanya dan dia tewas, jadi dia meminta ampun dari Tuhan? Kerana itukah?
Aku menolak sedikit pintu dan melangkah masuk ke dalam. Zarif sudah selesai berdoa dan sedang melipat sejadah dan disangkutkan diletakkan di rak berhampiran. Aku terus menghampirinya dan saat itu juga dia berpaling ke arahku.
"Astaghfirullahalazim." Sepatah perkataan itu keluar dari mulutnya. Pandangan matanya beralih ke arah lain, dia terus meraup wajahnya berkali-kali.
"Pagi-pagi dah nampak bayangan dia." Zarif memejamkan matanya seketika sebelum melepaskan helaan nafas yang kedengaran agak berat.
"Bukan bayangan, memang betul-betul ada kat sini." Aku memberitahunya, Zarif kembali memandang ke arahku dengan terkejut.
"Kau buat apa kat sini?" Dia bertanya, namun pandangan matanya dialihkan ke arah lain.
"Nak cakap dengan kau la." Aku turut membahasakan aku kau ketika bercakap dengannya.
"Boleh bercakap dekat luar kan? Tak perlu sampai masuk bilik." Tegas suaranya kedengaran, seakan tidak suka dengan kehadiranku.

ANDA SEDANG MEMBACA
Bukan Untuk Dimiliki
RomancePertama : Singkirkan Ilya Humaira atau lebih tepat aku akan buat Airil Zafran ceraikan dia. Kedua : Kahwin dengan Airil Zafran, seperti yang kami rancang sepanjang sepuluh tahun menyemai cinta dan mengikat kasih sayang. Ketiga : Kami akan bahagia se...