T E R B I A R

2.4K 83 30
                                    

Aku meletakkan beg di anjung rumah. Rumah pusaka peninggalan atuk ini sudah lama tak berpenghuni sejak kematian atuk kira-kira 15 tahun yang lepas. Aku perhatikan keadaan sekeliling sebelum tanganku menolak pintu rumah yang sudah agak usang tetapi masih kukuh.

Kreekk...

Gelap saja suasana dari dalam rumah ni. Terasa bulu tengkukku merinding semacam. Aku berpaling ke belakang sekilas. Kawasan sekitar semakin gelap. Senja dah menjengah tiba. Teksi yang menghantar aku ke sini juga dah bergerak pergi.

Lantai papan rumah berkeriut saat aku melangkah masuk. Kaki dirasakan sedikit berdebu dan berpasir.

"Aduh... dah berapa lama Mak Nab tak sapu lantai ini?" Keluh aku sendiri.

Mak Nab ialah satu-satunya jiran sebelah rumah yang arwah datuk dan nenek ada. Eh? Memandangkan aku tinggal di sini untuk beberapa hari, Mak Nab juga menjadi jiran akulah, kan?

Umi yang mengupah Mak Nab. Walaupun sudah tua bongkok orangnya, dia masih kuat dan bertenaga. Entah ulam-ulaman apa yang dimakannya pun aku tak tahu.

Lampu picit sebesar ibu jari aku nyalakan. Memang sengaja aku sedia daripada awal. Sudah tahu aku akan perlukannya. Aku halakan cahaya ke setiap dinding mahu cari suis. Aku elak daripada tersuluh lorong tengah yang menuju ke dapur.

Risau kalau tiba-tiba ada bayi yang datang merangkak dan minta aku mendukungnya. Atau lelaki tua berserban yang menyerupai arwah atuk tersenyum manis pada aku. Khayalan aku ketika zaman kanak-kanak singgah dalam fikiran.

'Hesy... Apa benda yang aku merepek ini?' Bayangan negatif aku usir jauh.

Aku meraba dinding di sebelah kiri memandangkan lampu yang aku ada agak malap. Suis yang dicari ada di situ atas papan kayu bersegi yang tebal.

"Alahai... aku ada kau je. Janganlah buat masalah." Aku merungut ketika lampu suluh aku cahayanya makin kelam. Suara sengaja dikuatkan mahu menutup rasa takut dalam diri.

"Ah!"

Aku menjerit saat menyentuh papan kayu berlubang yang dimamah anai-anai. Dengusan kasar dilepaskan.

Aku maju lagi mendekati suis. Kesemuanya aku tekan kerana sudah lupa yang mana satu suis kipas dan lampu.

Meski telah hampir lima minit menunggu, kipas tidak berpusing dan lampu tetap tidak menyala. Nampaknya aku kena panggil orang untuk baiki. Bergelaplah nampaknya aku malam ini.

Hendak berjalan ke rumah Mak Nab aku dah penat. Lagipun mesti orang tua itu sudah tidur.

Krak!

Secara automatik aku menyandar pada dinding. Aku berpaling memandang pintu yang terbuka luas. Memang aku tak tutup pintu tadi memandangkan beg baju aku tinggalkan di luar. Liur ditelan kesat.

Aku pasti yang aku dengar kayu berkeriut seperti ada orang melangkah masuk ke ruang tamu.

Bunyi tapak kaki itu seperti sedang mengelilingi tiang seri di tengah ruang tamu.

Aku agak je sebenarnya. Tapi betul! Sekarang pun aku masih dengar bunyi tapak kaki itu berlegaran di ruang tamu. Cuma tidak tahu ia menghala ke mana.

Nampaknya malam ini aku tidak bergelap sendirian. Ada orang yang nak temankan. Perlukah aku menghela nafas lega?

Hijab aku memang tertutup. Tapi arwah atuk kata aku ada kelebihan lain. Aku boleh rasa kehadiran roh yang sudah mati. Bagaimana?

Kadang-kadang badan aku akan rasa panas atau sejuk yang luar biasa. Sekarang, aku ada rasa sejuk. Sesekali, barang di sekitar akan bergerak dengan sendiri. Mereka nak aku tahu mereka datang. Suka sangat nak bergurau tapi sayangnya, aku tak layan.

Rumah Puaka Where stories live. Discover now