"Tolonglah, bu. Pujuk Ain untuk adik, bu. Adik dah mula sayangkan dia," Shahril melutut di hadapan ibunya yang sedang duduk di atas sofa putih yang empuk bersama abang dan ayahnya.
Shahril memeluk paha ibunya sambil menangis teresak-esak. Airmatanya menitis tanpa henti. Sedu Shahril menyeksa hati Puan Insyira. Dibersihkan muka Shahril yang basah dengan airmata dengan kedua-dua tangannya.
Pandangan Puan Insyira beralih ke arah suaminya. Namun, raut wajah suaminya sudah cukup memberi kata putus yang tidak akan ditukar. Encik Ismail terus bangkit lalu beredar masuk ke kamarnya.
"Sudahlah, dik. Dah tak ada jodoh." Luqman berkata sinis lalu beredar masuk ke kamarnya pula.
Puan Insyira mengeluh. Dia tersepit antara keputusan suaminya dan anak kesayangannya. Dipandang wajah anak kesayangannya dengan teliti. Akhirnya, dia menepuk bahu anaknya lalu menapak masuk ke kamarnya.
Di saat itu, Shahril terduduk di atas lantai bersendirian. Tangannya menggigil. Tidak, tidak! Dia tidak mahu perkahwinannya berakhir kerana alasan begini. Tidak! Shahril merumus rambutnya yang kasar. Dia buntuh. Buntuh!
Setelah mengumpulkan semangat, Shahril bangun dan menuju ke kamar yang sudah lama tidak dia diami selepas berkahwin. Ditariknya laci yang berdekatan dan dicapainya album kecil.
Malam ini Shahril bersendirian, menanti segunung harapan yang mungkin hanya menjadi harapan. Shahril melabuhkan punggung di birai katil lalu mula menyelak gambar-gambar di dalam album tersebut. Gambar-gambar dia bersama Ain direnungnya lama. Minda Shahril terus terimbas kembali semasa dia dan Ain masih rapat apabila mereka remaja.
"Hah, awak berdua ni asyik lambat sahaja! Apa alasan awak berdua kali ni?" Tanya Cikgu Ahmad sambil menggenggam punggungnya. Para pelajar yang lain hanya mampu mencuri-curi pandangan Ain dan Shahril yang sedang disergah cikgu di luar bilik darjah.
Ain dan Shahril menukar pandangan. Mereka pun berpura-pura menarik nafas dengan dalam seolah-olah mereka berdua baru sahaja habis berlari sepuluh kilometer.
"Kita kena rompak, cikgu..." Jawab Ain yang berpura-pura termengah-mengah itu.
Raut wajah Cikgu Ahmad berubah cemas. "Hah? Awak berdua okey tak ni?"
"Saya okey, cikgu. Nasib baik ada Shah," kali ini Ain dengan spontan menjawab soalan cikgu.
"Abeh, ada barang yang hilang tak? Awak dah periksa?" Soal Cikgu Ahmad lagi.
Pada ketika itu, hati Shahril dan Ain terbit rasa bersalah kerana mereka boleh melihat dengan jelas kerisauan Cikgu Ahmad. Shahril bersuara. "Ada, cikgu."
Cikgu Ahmad mengalih perhatian ke arah Shahril. "Apa dia?"
"Kerja rumah yang cikgu bagi semalam..." Shahril menundukkan kepalanya sambil ketawa kecil.
Telinga Shahril dan Ain dipiat Cikgu Ahmad. "Ohh.. Awak kata homework yang saya bagi semalam kena curilah? Perompak pandai mana nak dengan kerja rumah awak tu?"
Apabila telinga mereka dilepas, Ain dan Shahril tidak mampu menahan tawa mereka. Geli hati mereka dengan kelakuan mereka sendiri. Akhirnya, Ain dan Shahril didenda berdiri di luar kelas sepanjang kelas mata pelajaran Bahasa Melayu.
YOU ARE READING
Lerai Genggamanku
RomanceKisah ini tentang dua sahabat yang sudah lama berkawan sejak kecil. Semuanya berubah ketika mereka di sekolah menengah. Hubungan Shah dan Ain mula renggang apabila Aainaa dan Sufi mula merapatkan diri dengan mereka. Ain sedih dengan perubahan Shah...