Bab 56

240 4 0
                                    

Angin semilir menyapa lembut pipi Ain yang sedang berjalan ke arah sekumpulan pelajar-pelajar sekolah menengah. Dilambaikan tangan ke arah Cikgu Ahmad dan Cikgu Noraisha sebagai isyarat kedatangannya.

Semua perhatian beralih ke arah Ain kerana penampilannya yang anggun. Hijabnya yang berkain satin beige bersama zip-front long romper berwarna biru gelap. Apa yang Ain mampu adalah mempamerkan senyuman manis kepada semua yang hadir.

Disalamnya Cikgu Noraisha dan melemparkan senyuman buat Cikgu Ahmad. Mata Ain seperti tidak percaya apa yang dilihatnya. Setelah hampir 12 tahun, muka cikgu-cikgunya tidak berubah sama sekali!

Ain mengamati suasana pantai di Sembawang Park sekeliling. Dihirupnya udara segar bersama hati yang senang. Inilah ketenangan yang hakiki dicari Ain. Deruan ombak memberi ketenangan di hati Ain. Ain pun mengambil tempatnya di tepian pantai yang berhampiran dengan cikgu-cikgunya.

Malam telah menyerkup selimut hitamnya ke seluruh persekitaran pantai. Ain terpandang ke arah junior-juniornya yang sedang berkumpul di dalam bulatan. Mereka bergilir-gilir menyanyi diiringin gitar. Iringan gitar membiarkan sejenak fikiran Ain menerawang jauh ke masa lalu.

Kepekatan malam mewarnagelapkan semua. Nasib baik ada cahaya lampu di tepi pantai yang menerangi kawasan tersebut. Cikgu Ahmad membuka ruang untuk Ain bersila di sebelahnya. Secara spontan, Ain melabuhkan punggungnya di atas permaidani yang berwarna biru itu.

Dengan sekali imbas, Ain memandang semua teman-teman sekelasnya. Hatinya mengeluh. Mengapalah dia harus duduk bertentangan dengan Shahril dan juga Aainaa? Rasa pilu mencucuk-cucuk tangkai hati Ain. Tanpa Ain sedari, Sufi yang duduk di sebelah kanannya sedang memerhatikannya dengan penuh khusyuk.

"Baiklah, memandangkan sekarang kita sudah berkumpul, cabaran awak semua adalah untuk menyanyikan sebuah lagu yang boleh menyentuh hati saya. Sebagai pelajar-pelajar yang mengarang dari sudut naratif, awak semua harus bijak memilih frasa-frasa yang membolehkan awak menarik perhatian dewasa. Saya memberi awak semua masa setengah jam dan kita akan bermula dengan Hafiz. Yang tak mahir bermain gitar, awak pandai-pandailah mohon bantuan daripada yang mahir," suara Cikgu Ahmad sambil tersenyum.

'Lagu? Bukan merdu pun suara aku...' desis hati Ain. Sufi yang berada di sebelah cuba menarik perhatian Ain.

"Ain tahu main gitar tak?"

Soalan Sufi membuatkan Ain mengangkat wajahnya dan memandang ke arah Sufi. 'Mamat ni apa hal? Tahulah dia tu pandai main gitar..' suara hati Ain. Panahan mata Ain terasa amat tajam menggetarkan kalbu. Tanpa mereka sedari, renungan di antara dua insan ini bertukaran.

"Masa tamat!" Suara Cikgu Ahmad dengan ceria sambil menepuk kedua-dua tangannya. Terdapat hanya enam pelajar yang mengarang karangan naratif. Bermula dengan Hafiz, diikuti Shahril, Aainaa, Zul, Sufi dan terakhir sekali Ain.

Cikgu Ahmad dan Cikgu Noraisha sudah bersedia mendengar lagu yang akan didendangkan. Hafiz mula memainkan irama dengan gitar miliknya. Suara merdu Hafiz terserlah apabila dia menyanyikan sebuah lagu daripada YouTuber bernama Khairul yang bertajuk Cinta Bukan Milik Kita. Lirik yang begitu mendalam membuaikan lagi perasaan Ain. Rasa sebak mula bertapa di hatinya.

Sorakan yang meriah dituju kepada Hafiz apabila dia mengakhiri lagunya. Suara merdu Hafiz berjaya menarik perhatian semua mata-mata kecuali Ain. Gitar sudah bertukaran ke tangan Shahril. Suara batin Ain menggelapar apabila Shahril bertukar pandangan dengan Aainaa sebelum dia memulakan nyanyiannya. Lagu yang begitu mudah dipilih bagi orang yang sedang dilamun cinta, iaitu nyanyian NewBoyz, Kau Abadi Selamanya.

Di saat lagu itu dinyanyikan, Ain memekakkan telinganya. Dipandang ke arah pantai untuk membuang diri Shahril sejauh-jauhnya. Malam pasti akan membungkus panorama alam. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, menyapa sepi wajah Ain. Sufi yang melihat pandangan Ain beralih ke arah pantai, tersenyum lebar. Kebosanan yang jelas terpancar di wajah Ain membuatkan Sufi asyik tersenyum.

Lamunan Ain terputus apabila ada suara yang menyapa dari belakangnya. "Terimbas kenangan lama ke?"

Ain menoleh ke belakang. Alangkah terkejutnya Ain melihat Sufi berada di sebelahnya kini. Lidahnya kelu.

Sufi mengulum senyuman tipis. Dia kelihatan kemas bersama polo tee berwarna merah bersama jeans biru.

Mata mereka bertemu. Pandangan yang amat mendalam terhadap diri masing-masing dilemparkan. Terselit rasa rindu, marah, kecewa dan juga sedih. Walaupun mereka hidup di bawah langit yang sama, mereka berdua tidak dapat bersama.

Kenangan lama mengusik jiwa. Kisah cinta mereka terputus di tengah jalan. Dapatkah mereka menjalinkan ia sekali lagi? Kali ini, akan Sufi melindungi Ain ke dalam dakapannya. Kali ini, akan Sufi curahkan kasih sayang yang dahulu dia tidak dapat curahkan.

Lerai GenggamankuWhere stories live. Discover now