Wajarlah diri tidak dipercayai
Kerana amanahnya aku khianati
· · ─────── ·𖥸· ─────── · ·
"Awak tak kenal saya. Jadi, awak tak ada hak langsung nak menilai saya," Warda menyambung. Tak mahu dia mengalah dengan lelaki itu kali ini.
"Tak perlu kenal kau pun, aku dah cukup tahu orang jenis apa kau ni," Seperti jijik, lengan Warda dilepaskan.
Warda terkelu seketika. Putus idea untuk membalas.
"Saya tak pernah peduli apa yang orang lain fikir tentang saya. Terutamanya, awak. Saya langsung tak peduli."
Akhirnya itu yang terkeluar. Tak cukup kuat hujahnya untuk melumpuhkan pihak lawan. Terbukti apabila Nuf ketawa sinis.
"Mungkin kau dah lupa lepas enam bulan tak dengar perkataan ni. Hari ni, aku tolong ingatkan kau semula," Gigi dikancing dan mata Nuf mulai memerah.
"Kau pembunuh, Warda. Pembunuh." Rahang bergerak tanpa disedari.
Tercabar dia dengan ujaran Warda tadi. Jadi, gelaran itu diulang lagi hari ini supaya Warda sedar diri. Agar melekat di ingatan gadis itu.
Walaupun tempat duduk superbike yang agak rendah menjadikan Warda lebih tinggi berbanding dirinya, namun masih dia yang mendominasi keadaan.
"So, masih tak peduli lagi?" Nuf menyambung.
Warda senyap.
Renungan yang bertaut sedari tadi masih tidak dilepaskan.
"Aku tak pelik kalau dengan gelaran pembunuh tu pun, kau masih tak peduli. Sebab kau memang tak berhati perut," suara Nuf sudah tidak setegang selalu. Namun ketajamannya masih mampu merabakkan sekeping hati milik gadis itu.
Bibir Warda mulai bergetar. Yakin yang kemenangan memang tak akan berpihak kepadanya.
Lagi dan lagi.
Sama seperti sebelum ini.
Sama seperti petang tadi.
Lawanlah sekental mana, pukullah sekuat mana, akhirnya tetap dia yang akan kalah kepada lelaki itu. Dan akhirnya hati sendiri yang perit.
Terluka.
Terseksa sendiri.
Kerana alasan atas kepergiann Bella tak mampu terucap dengan kata-kata. Bimbang dikata meraih simpati. Risau diri makin dibenci.
"So, anak kucing ni, aku yang akan jaga. Sebab aku dah tak percayakan kau lagi."
Jika tadi dirabak, kini hati Warda rasa diremuk-remuk.
Memang patut diri ini sudah tidak dipercayai lagi, kerana amanahnya aku khianati.
Tangisan membanjiri hati tapi tidak sekali-kali terluah di tubir mata. Sudah tekadnya tak akan membiarkan lelaki itu melihat kelemahannya.
Warda hanya mampu melihat Nuf menarik turun zip jaketnya. Anak kucing yang sudah lemah itu dimasukkan ke dalam jaketnya di hadapan perut lalu zip ditarik naik separuh sehingga ke paras bawah dada.
Yang peliknya, anak kucing itu langsung tak mengiau malahan tak bergerak-gerak di sebalik jaket seakan selesa dengan kehangatan yang disalurkan.
Lebih memelikkan, Nuf langsung tak kelihatan jijik dengan bulu kucing yang diselaputi air longkang yang mungkin mengotorkan kemeja dan jaket mahalnya.
YOU ARE READING
Not Her Fault [ C ] | Her Scar Series #2
Romance━ 𝐋 𝐈 𝐋 𝐘 𝐑 𝐎 𝐒 𝐄 ❝The symbol of purity and refined beauty❞ ••• Rupawan namanya, seindah maksudnya. Seperti lili, hatinya suci dan empati, Umpama mawar, dia mekar di celahan ranting berduri, Tapi, apakah nasibnya secantik namanya? ❝Ingat n...