Lilyrose 26 | Deal

23K 1.6K 267
                                    

Apa ertinya keinsafan
Jika tiada bertemu kemaafan

 

· · ─────── ·𖥸· ─────── · ·

 

"Apa niat Nuf buat semua ni?"

Pertanyaan Kak Azi yang tiba-tiba, terus membuatkan Nuf terkaku. Perlahan-lahan garfu dan sudunya diturunkan.

Hanya bunyi dentingan kulteri dari arah Alif yang kedengaran. Dia tetap gelojoh menyuap makanan ke dalam mulut seperti kebiasaannya tanpa mempedulikan dua orang di depannya.

"Nuf jangan salah faham dengan soalan akak ni. Akak cuma rasa bersalah sebab dah banyak menyusahkan Nuf. Akak tahu, bukan murah kos persekolahan Alif. Lepas tu, kelas-kelas yang Nuf daftarkan untuk akak lagi. Banyak sangat pertolongan Nuf pada akak anak beranak. Akak takut tak terbalas nanti."

"Kak, saya tak harapkan sebarang balasan. Lagipun, Alif memang layak dapat pendidikan yang sempurna. Akak pun sama. Kelas-kelas tu semua untuk bantu akak kemudian hari. Saya harap, akak tak perlulah sebut tentang balasan ni lagi. Bagi saya, akak dan Alif ni dah jadi tanggungjawab saya. Paling penting, lepas ni saya dah tak nak tengok akak jual tisu atas jejantas tu lagi."

Memang dia ikhlas mahu membantu. Kelas braille, kelas mengurut untuk orang buta dan kursus keusahawanan itu nanti, sedikit-sebanyak dapat membawa Kak Azi dan Alif keluar dari kemelut kefakiran. Tidak lagi sekadar berjual-jual tisu yang sering sinonim dengan golongan gelandangan buta.

Kak Azi mengeluh perlahan sambil meletakkan sudunya ke dalam pinggan.

"Nuf buat semua ni, sebab Warda yang suruh ke?"

Seperti selalu, tubir matanya terasa hangat.

"Tak, kak. Warda tak pernah pun suruh saya buat semua ni."

"Baguslah macam tu. Kalau betul dia yang suruh, akak nak marah dia bila dia balik nanti. Tak cukup dia susahkan Fahmi, dia nak susahkan Nuf pulak." Kak Azi tersenyum lucu.

"Fahmi? Kenapa dengan Fahmi?"

"Oh, Fahmi tu kawan Warda. Ada jugaklah Fahmi datang jenguk akak dengan Alif sekali-sekala selama Warda tak ada ni. Katanya, Warda yang minta dia tengok-tengokkan kami sebelum dia pergi. Tapi dia tak sempat datang setiap harilah macam yang Warda buat."

Nuf mencapai sudunya kembali dan mula menguis makanan di dalam pinggan. Namun hanya setakat itu sahaja. Tidak pula disuapnya makanan ke dalam mulut. Kepala menunduk cuba menyembunyikan wajah yang muram, menahan rasa sendat di dalam dada yang meronta-ronta mahu dibebaskan.

"Warda tu, memang orangnya baik macam tu ke?" Nuf menyoal, antara dengar dan tak dengar.

"Bukan setakat baik je, Nuf. Kadang-kadang akak sendiri macam tak percaya wujud orang yang berhati mulia macam Warda tu. Nuf bagitahu pada akak, siapa lagi yang sanggup datang hantarkan makanan pada gelandangan macam kami ni setiap hari? Layan kami yang kotor ni, macam ahli keluarga sendiri tanpa sikit pun rasa jijik?"

Suasana tiba-tiba bertukar hiba. Suara Kak Azi yang sebak, turut membuatkan dia sama terjebak. Matanya yang mulai merah ditekan dengan hujung jari. Mulut tidak melontarkan walau sepatah kata sementara telinga masih sabar menanti sambungan.

"Warda pernah juga tawarkan diri untuk hantar Alif ke sekolah, ajak kami tinggal dengan dia tapi akak yang beria-ia tolak sebab akak tahu dia takkan mampu nak tanggung semuanya. Cukuplah apa yang dia dah buat selama ni untuk kami. Sekarang ni, akak bersyukur kalau dia dah dapat lepaskan diri dia dari kami berdua. Akak tak nak rasa tanggungjawab dia terhadap kami ni, mengikat kaki dia. Sekurang-kurangnya kalau dia pergi, dia dapat lupakan semua masalah dia."

Not Her Fault [ C ] | Her Scar Series #2Where stories live. Discover now