Ada rasa tak perlu diungkapkan
Detakan jantung nyata membuktikan
· · ─────── ·𖥸· ─────── · ·
Nuf buntu.
Warda yang duduk di atas katil dengan kepala tertunduk menatap lantai ditilik dari jauh. Sejak balik ke bilik tadi dia memencilkan diri. Seolah tenggelam dalam dunia sendiri yang terasing. Ditanya berkali-kali namun masih isterinya itu mendiamkan diri.
Nuf mengeluh keras lantas menghilangkan diri ke dalam kamar mandi. Suit jaket dibuka laju dan dibiarkan di tepi sinki bermarmar putih. Lengan kemejanya dilipat sehingga ke paras siku sebelum dia mula membasahkan muka dan rambut. Tajam mata menatap figura sendiri yang terpantul di cermin.
Lama.
Cukup lama dia memikirkan punca dan sebab Warda jadi sebegitu. Kepingan-kepingan puzzle yang berselerakan dalam ruang fikiran mahu dicantumkan namun begitu payah mahu berbuat demikian.
Lantas butir-butir khuatir dikumpul dan ditolak ke tepi buat seketika. Setelah mengelap wajah, lantas dia mengambil keputusan untuk melangkah keluar dari bilik air.
"Warda."
Hampir gugur jantungnya melihat Warda sudah tiada di atas katil namun sebaik melihat pintu gelongsor menuju balkoni terbuka dan langsir beralun lembut, tahulah dia di mana keberadaan si isteri.
Dengan langkah yang besar, sekelipan mata Nuf tiba di luar. Melata pamdangannya sekitar balkoni. Tersentap lagi jantung saat susuk Warda tak kelihatan.
Mana dia?
Nuf berkira-kira untuk segera mencari di luar bilik. Cepat-cepat dia berpusing untuk masuk semula namun langkah deras terhenti seraya terpandangkan Warda duduk bersandar di pintu dengan lutut yang terlipat di depan dada. Masih dalam dress yang dipakainya tadi namun tudung sudah terlepas dari kepala.
"Warda. What are you doing out here?" Nada Nuf bergetar risau. Dia lantas melabuhkan lututnya di sisi Warda.
Ditemani cahaya lampu yang agak malap, Nuf melihat mata itu kosong tak berekspresi.
Hilang Warda yang tadinya ekspresif. Hilang Warda dengan senyuman yang didamba-dambakan tadi. Namun tak pula dia melihat tanda-tanda kecewa atau hampa kalau betul Zara yang menjadi punca. Peliknya Warda tak pula mengeras tatkala tangannya disentuh dan digenggam seperti yang akan dia lakukan jika marah sedang menguasai.
"Kenapa ni, Warda? Tell me apa yang Zara dah bagitahu kau ni?" Dagu Warda dipaut lembut. Kalaulah boleh dilakukan, mahu sahaja dia menyelam masuk ke dalam mata bundar yang jelas dikolami duka yang entah datang dari mana.
Nuf menunggu, mengharapkan jawapan namun hanya gelengan Warda yang bertutur. Tak semena-mena manik jernih mengalir lesu mencemari pipi mulus si isteri. Tak keruan Nuf dibuatnya. Diseka dengan penuh hemah dan berhati-hati. Kalaulah Warda tahu betapa jiwanya turut terseksa sama melihat sungai duka mengalir di pipi kesayangan hati.
"Sayang, kenapa ni?"
Mendengar tutur si suami, kian deras air mata yang mengalir namun esakan sedaya-upaya ditelan agar tak terlepas di bibir.
Hibanya tak terperi.
Sebaknya tak bertepi.
Tangan Nuf yang masih setia mengusap pipinya, Warda genggam lalu ditolak ke depan muka. Ditiliknya telapak tangan lelaki itu lama menembusi pandangan yang berbalam dan cahaya bulan yang suram. Tak semena-mena, esakan dan sendu hiba Warda memecah kesunyian malam sehingga ke satu tahap tercungap-cungap dia menghela nafas. Cetek ruang dalam sangkar dadanya.
YOU ARE READING
Not Her Fault [ C ] | Her Scar Series #2
Romance━ 𝐋 𝐈 𝐋 𝐘 𝐑 𝐎 𝐒 𝐄 ❝The symbol of purity and refined beauty❞ ••• Rupawan namanya, seindah maksudnya. Seperti lili, hatinya suci dan empati, Umpama mawar, dia mekar di celahan ranting berduri, Tapi, apakah nasibnya secantik namanya? ❝Ingat n...