Baru ingin mendakap bahagia
Ujian datang menjemput derita
· · ─────── ·𖥸· ─────── · ·
Kelopak mata Warda bergerak-gerak, namun berat untuk dibuka seperti dihimpit beban yang menggunung. Hanya khudrat yang bersisa dikerah bagi mengangkat peluput mata yang berdegil mahu terkatup rapat.
"Abang—" desah Warda, dalam separa sedar.
Hanya itu yang mampu diluah seulas bibir keringnya.
"Warda. Kau dah sedar?"
Warda terasa lengannya disentuh seseorang.
Perlahan-lahan, kelopak matanya terbuka, cuba memfokuskan penglihatannya yang samar-samar. Sekian lama dicuba, ruang pandangan yang kabur mula menemui titik fokus. Siling putih yang sungguh asing menyapa pandangannya.
Sunyi.
Tiada bunyi lain yang menyelubungi muram dalam ruang yang dirasakan cukup terpencil.
"Warda."
Warda berpaling. Matanya terkebil lemah.
"Amna."
Dahi Warda berkerut, menahan nyeri yang tiba-tiba menyerang.
"Nuf, mana—"
Amna mengeluh, serentak mengelak renungan Warda.
"Dia ada. Kau jangan risau, cuma dia—" Amna terjeda. Apa yang perlu dikatakan kepada Warda? Kalau dia berterus-terang, bimbang pula Warda akan pengsan buat kali kedua.
Dan itu adalah perkara terakhir di dalam dunia yang dia mahu berlaku kepada Warda.
Cukuplah apa yang telah dilalui sahabatnya. Dia tak mahu menambah tekanan Warda yang sedia ada.
"Dia pergi—"
Serentak pintu wad Warda terkuak, buat Amna tersentak. Nuf muncul di muka pintu dengan raut serabut, lengkap bersongkok di kepala. Sebaik menyedari kelopak mata Warda yang tercelik memandangnya, terus ditanggalkan songkok, diletakkan di atas meja dan segera dia datang menghampiri.
Amna bergerak ke sisi untuk memberi ruang kepada pasangan suami isteri itu. Sedikit-sebanyak lega hatinya melihat Nuf muncul tepat pada masanya.
"Sayang."
Tangan Warda diraih.
"Sayang dah lama bangun?" soal Nuf, dijawab gelengan lemah dari Warda.
"Abang pergi mana?"
Serta-merta Nuf dan Amna bersabung pandang dan dia sempat melihat Amna menggeleng kecil isyarat agar dia tidak memberitahu.
"Tak ada pergi mana-mana. Doktor dah datang cek sayang?" Topik ditukar. Tumpuan kembali diberikan buat Warda. Kepala wanita itu diusap dengan lembut.
"Belum, doktor. Warda baru je bangun. Saya tak sempat nak panggil doktor tadi," celah Amna.
"Abang panggilkan doktor. Sekejap." Lantas Nuf terus berlalu keluar dari bilik sebelum muncul kembali beberapa ketika kemudian dengan seorang doktor wanita pertengahan umur.
Setelah pemeriksan rapi dilakukan, Nuf kembali pergi bersama doktor tadi, meninggalkan Warda bersama Amna yang setia menemani.
"Amna," tegur Warda tiba-tiba.
"Ya?"
"Apa yang dah jadi? Aku tak ingat langsung macam mana aku boleh ada kat sini." Warda meluahkan apa yang terbuku sedari tadi dalam nada yang cukup lemah. Matanya melirik kanula yang ditampal di atas kekura tangannya, bersambung dengan tiub drip intravenous yang tergantung di sisi katil.
YOU ARE READING
Not Her Fault [ C ] | Her Scar Series #2
Romance━ 𝐋 𝐈 𝐋 𝐘 𝐑 𝐎 𝐒 𝐄 ❝The symbol of purity and refined beauty❞ ••• Rupawan namanya, seindah maksudnya. Seperti lili, hatinya suci dan empati, Umpama mawar, dia mekar di celahan ranting berduri, Tapi, apakah nasibnya secantik namanya? ❝Ingat n...