Apa erti ikatan yang dibina
Jika didasari keraguan semata
· · ─────── ·𖥸· ─────── · ·
Dari tadi Warda tak dapat memejamkan matanya. Sedetik dia menutup mata, dua perkataan yang meluncur dari mulut Nuf tadi akan segera datang terngiang-ngiang buat matanya kembali tercelik.
"Kita kahwin?"
Dua perkataan.
Dua perkataan sahaja tapi cukup untuk meruntuhkan langit dan menggegarkan bumi seorang Lilyrose Warda. Mengacau-bilaukan jiwanya. Membolak-balikkan perasaannya.
Sejak bila antara mereka wujud 'kita'?
Dan sejak bila lelaki itu jadi begitu gila untuk mengusulkan 'kahwin'?
Berpusing-pusing tubuhnya di atas katil seperti cacing kepanasan. Sekejap ke kiri sebelum mengiring ke kanan. Meringkuk sudah, terlentang pun sudah. Bila dia mula selesa dengan kedudukannya, dua perkataan itu datang kembali mengganggu tabir lenanya...
🌹🌹🌹
"Kita kahwin?"
Bungkam Warda ditempat duduk. Serta-merta lidah yang bersedia mencelah spontan terkelu bisu. Lebih teruk lagi, segala rasa kurang senang datang bertandang dalam ruang dada buat pernafasannya sebu dan sempit. Nasib baik juga dia sedang duduk. Kalau berdiri, mahu agaknya dia terhenyak menyembah bumi.
K-kahwin?
Kahwin? Dah tentu dia salah dengar. Tak mungkin kahwin. Mungkin...
"Kawan? Maksud a-awak, kawan?" Kurang percaya, Warda meminta kepastian dengan suara yang teramat perlahan. Kekeliruan jelas tergambar di anak mata coklat gelapnya.
Nuf masih beriak serius.
"Nope. Kah—win. Kau dengan aku, kita kahwin." Entah dari mana Nuf peroleh kekuatan untuk tenang bertutur. Dalam hati, hanya Tuhan yang tahu betapa kuat jantungnya berdetak melebihi had laju menanti reaksi si gadis.
Sekali lagi, Warda tergamam.
Sama seperti Warda yang tak berkelip, Nuf juga enggan memejamkan mata walau sedetik. Bertaut dua pasang mata membawa dia merentasi sempadan realiti masuk ke dunia dia sendiri. Kalau dulu berpijakkan dendam dan melangitkan amarah, kini umpama magis, hujan damai turun mencurah-curah sebelum pelangi muncul merintangi langit.
Baru rasa yang sama mahu meresap masuk ke dalam jiwa, Warda memutuskan tautan mata sekaligus ditarik kembali ke dunia nyata. Dunia di mana kesedaran dan hakikat menjadi pegangan dari hanyut dibawa indah yang mungkin sebentar cuma. Meninggalkan lelaki itu terkontang-kanting dalam dunia yang diciptanya sendiri tadi.
YOU ARE READING
Not Her Fault [ C ] | Her Scar Series #2
Romance━ 𝐋 𝐈 𝐋 𝐘 𝐑 𝐎 𝐒 𝐄 ❝The symbol of purity and refined beauty❞ ••• Rupawan namanya, seindah maksudnya. Seperti lili, hatinya suci dan empati, Umpama mawar, dia mekar di celahan ranting berduri, Tapi, apakah nasibnya secantik namanya? ❝Ingat n...