Jantung yang terluka
Biarkan ia terus berduka
· · ─────── ·𖥸· ─────── · ·
Dua tahun sebelumnya...
Suasana muram menyelebungi tanah perkuburan. Terdengar bacaan talkin dibacakan diiringi esakan halus dari beberapa orang yang turut serta menghantar pemergian si mati untuk kali terakhir.
Sepasang mata sembab hanya mampu memerhati dari sebalik pohon. Jauh dari pandangan orang ramai. Tahu yang dirinya tidak diingini untuk sama-sama turut bersedih.
Kerana diri dia dianggap penyebab kematian itu!
Hakikatnya, bukan itu yang berlaku. Namun, tiada siapa yang tahu. Mungkin, tiada siapa yang akan percaya!
Air mata jatuh berlinangan tanpa dapat di tahan.
Bella...
Maafkan aku.
Berulang-ulang kali ungkapan maaf itu diutarakan di dalam hati dengan harapan agar Bella dapat mendengar dan memaafkan dirinya. Walaupun dia tahu bukan dia penyebab kepergian Bella, namun dia masih memerlukan alasan untuk merasa sedikit tenang.
Kumpulan yang tadi mengeliling kubur bergerak dan bersurai. Hanya tinggal beberapa orang yang duduk berteleku, masih menyiram air dan menabur bunga di atas kuburan yang membukit.
Seorang wanita separuh abad kelihatan mengongoi menangis. Meratapi kepergian si anak. Anak tunggal yang disayangi dan ditatang bagai minyak yang penuh selama ini. Dua orang lelaki yang duduk di sisi memaut bahunya. Membawa tubuh longlai itu berdiri bersama. Kepalanya bersandar di bahu lelaki bertubuh sedikit gempal, sementara tangan lelaki itu tak henti-henti mengusap bahu wanita tersebut cuba menenangkan gundah-gulana sedari tadi.
Lelaki muda yang bersama mereka mengemas tikar lalu mengambil jug dan bakul bunga di atas tanah. Bersedia untuk berlalu. Perlahan-lahan mereka meninggalkan kubur. Diperhatikan langkah mereka yang semakin hampir dengan tempat persembunyiannya.
Dia bertekad untuk bersemuka dan berterus terang. Sempat dia meniupkan semangat buat diri sendiri sebelum melangkah setapak keluar dari sebalik pohon.
"Mak ngah..." Dia bersuara perlahan. Berdebar dia menanti reaksi.
"Abang, Ita tak nak tengok muka betina ni!" Pandangan Puan Rozita dialih ke arah suaminya. Tidak sudi memandang wajah perempuan di depan. Lelaki di belakang juga sudah berpaling seakan jijik melihat dia berada di dalam ruang pandangan. Dia tidak menghiraukan kerana sudah sering kali pandangan itu diterima dari orang yang sama.
"Mak ngah..." Dia masih berusaha.
"Warda, pak ngah harap Warda faham. Jangan muncul lagi depan kami. Beri kami masa untuk bertenang." Tuan Malik bersuara. Lembut namun menusuk.
Itu yang dirasakan sekarang ini. Merasa seperti jantungnya dirobek dengan sebaris ayat itu.
"Pak ngah, maafkan Warda. Warda tak..."
Pangggg!
Belum sempat dia menghabiskan ayat untuk menerangkan duduk perkara sebenar, terasa ada tangan yang naik ke pipinya. Keras dan padu. Pijar seluruh pipi. Dua lelaki tadi hanya diam tidak menghalang.
"Kau berani mintak maaf. Apa maaf kau tu boleh hidupkan Bella semula?!" Jerkahan Puan Rozita betul-betul di tepi telinganya.
Warda masih tidak memalingkan wajah yang terteleng ke bahu kanan. Tak sanggup melihat setiap wajah di depannya yang memantulkan amarah dan kebencian. Luluh hatinya memikirkan insan yang sudah dianggap seperti ibu bapanya sendiri kini sudah membencinya.
YOU ARE READING
Not Her Fault [ C ] | Her Scar Series #2
Romance━ 𝐋 𝐈 𝐋 𝐘 𝐑 𝐎 𝐒 𝐄 ❝The symbol of purity and refined beauty❞ ••• Rupawan namanya, seindah maksudnya. Seperti lili, hatinya suci dan empati, Umpama mawar, dia mekar di celahan ranting berduri, Tapi, apakah nasibnya secantik namanya? ❝Ingat n...