Lilyrose 39 | Mimpi atau realiti

28K 1.6K 379
                                    

Hangat yang menyelebungi
Seolah-olah diri dilindungi

 

· · ─────── ·𖥸· ─────── · ·

 

Lesi!

Itu sahaja perkataan yang sesuai menggambarkan keadaan Warda ketika itu.

Sesak fikirannya dengan persoalan sementara sendat dadanya akibat debaran. Betapa dia berharap hatinya turut ringan, seringan kaki yang melangkah dari tadi.

Tangan yang didalam genggaman lelaki itu terasa bukan seperti tangannya.

Dingin bak ais dan kaku bak batu.

Betul ke keputusan yang diambil?

Rasanya tak perlu dipersoalkan lagi, terutamanya bila lafaz ijab pak ngahnya sudah disambut lafaz qabul lelaki itu.

Keluhan terlepas lagi dan lagi. Resahnya hanya Allah yang tahu. Semenjak dari pertukaran statusnya setengah jam lalu berwalikan pak ngahnya, dia tak mampu menyambut renungan sang suami berterusan sehinggalah detik cincin disarung ke jari manisnya. Mata cuma tertarah pada tangannya yang berada dalam genggaman hangat di depannya. Itupun atas desakan beberapa orang yang lain, barulah dia tunduk mengucup tangan si suami sementara sebelah lagi tangan lelaki itu melekap di ubun-ubunnya untuk melengkapkan upacara pembatalan wudhu'. Saat yang hampir-hampir membuatkan pembuluh darahnya pecah! Gemuruh, dalam masa yang sama ada rasa syahdu yang mengetuk pintu hati.

"Nuf, janji dengan abah yang Nuf akan jaga Warda macam jaga nyawa Nuf sendiri," pinta Tuan Malik sebaik mereka tiba di sisi Audi putih yang terparkir di tepi masjid. Empunya Audi juga tak kurang mengenakan sepersalinan baju melayu putih lengkap bersamping, sedondon dengan pengantin perempun yang umpama cendana di sebelah.

"Abah jangan risau. In Shaa Allah, Nuf akan jaga Warda lebih dari Nuf jaga diri Nuf sendiri." Tekadnya. Dalam pada dia berbicara, ibu jari kasarnya mengelus lembut tangan si isteri.

Tuan Malik lantas tersenyum dan mengangguk. Kepercayaan dia terhadap menantunya itu memang tiada tolak bandingnya. Dia tahu dia boleh percayakan Nuf lebih dari sesiapa. Tengok saja kesanggupan dia menjaga arwah Bella dulu. Walaupun Bella sering sakit-sakit sejak sebelum berkahwin lagi, Nuf tetap bersetuju untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami buat Bella. Tiada langsung dia rasa terbeban dengan keadaan kesihatan Bella yang kadang-kala boleh menyusahkan.

"Alhamdulillah. Terima kasih Nuf sudi jadi menantu abah lagi. Nanti kalau ada masa bawaklah Warda balik jumpa mak, ya." Bahu tegap Nuf ditepuk. Wajah Warda yang tak berekspresi ditenung dengan raut yang sukar ditafsir. Serba-salah merajai hati. Sedikit-sebanyak dia terkilan mengenangkan betapa ringkasnya majlis yang sepatutnya menjadi memori indah buat dikenang kedua mempelai dikemudian hari.

Hanya ada beberapa orang sahabat karib Warda yang menghadiri dan ada beberapa orang lain yang tidak dia kenali. Kalau dilihat, tiada apa yang meriahnya berbanding majlis Bella dahulu. Tiada yang berlebihan atau pembaziran. Cukup sekadar memenuhi syarat rukun nikah. Semuanya serba ringkas atas permintaan Warda sendiri.

Jangan wujud pelamin gah.

Jangan ada hantaran mewah.

Hanya bersaksikan rumah Allah.

Bukan Tuan Malik tak cuba memujuk. Sekurang-kurangnya biarlah ada resepsi ringkas buat meraikan. Tapi ternyata Warda yang sekarang ini sudah tak seperti Warda yang dulu, yang akan menurut kalau kena cara memujuk. Malah Nuf sendiri tak mampu mengubah keputusan Warda berkenaan hal yang satu ini. Akhirnya Tuan Malik mengalah. Kalau memang itu kehendak Warda, siapa dia untuk menghalang? Dia hormatkan pendirian Warda. Biarlah, asalkan keduanya selamat disatukan. Lagipun, kemewahan dan kemegahan sesuatu majlis itu semua tak pernah menjanjikan kebahagiaan. Kan?

Not Her Fault [ C ] | Her Scar Series #2Where stories live. Discover now