Lilyrose 53 | Indifferent

24.4K 1.2K 177
                                    

Kalau dia membenci
Bererti masih ada ikatan di hati

 

· · ─────── ·𖥸· ─────── · ·

 

"Makanlah. Kenapa degil sangat ni?"

Terkebil-kebil mata Warda melihat Nuf menyimpan songkoknya kembali ke dalam almari.

Bila Nuf siap menunaikan solat? Sumpah, dia tak perasan langsung. Nampak sangat yang dia mengelamun panjang tadi.

Nuf berdiri tegak tak jauh dari katil. Matanya memandang Warda dan makanan bersilih-ganti seperti memberi isyarat.

Makan!

Panahan mata Nuf seolah-olah mengarah.

Stop acting like you care!

Jeritan Warda bergema sekadar di dalam hati. Dalam hati pun sempat memberontak.

"Abang suruh makan, kan? Apa yang susahnya? Tengok jam dah pukul berapa ni. Boleh tak jangan tunjuk sangat degil tu?"

"Kalau tak nak?"

Entah mana muncul keberanian, Warda menjawab. Apa yang pasti, wajah lelaki itu sudah tak setegang tadi. Mungkin berkat jampinya tadi buat hati lelaki itu sejuk sedikit.

"Nak abang sumbat dalam mulut tu?" pintas Nuf pula, agak terkejut dengan reaksi isterinya.

Warda tercebik.

"Gurau pun tak boleh," gumam Warda. Mencuba nasib, mana tahu lelaki itu terhibur. Tapi nampak gayanya, macam tak je. Semakin tegang wajah Nuf adalah.

"It's not funny. Makan."

Nuf benar-benar tiada rasa mahu bergurau. Dia masih marah, cuma dia cuba untuk tidak meninggikan suara seperti tadi.

Berubah keruh wajah Warda. Mata sembabnya yang tak dapat disembunyikan makin mengecil, cuba menahan tangis yang mahu pecah.

Sebak tiba-tiba datang menyinggah di ulu hati.

Sebelum tangisannya terburai, dia mencapai mangkuk sup dari tepi katil dengan tangan yang terasa lemah. Dihirup perlahan beberapa kali tanpa memandang Nuf yang kekal berdiri di depan. Entah kenapa, tekaknya terasa kurang enak. Memburukkan keadaan, air matanya langsung tidak memberikan kerjasama. Ditahan sekuat mana, masih ada beberapa titis air mata yang degil, mahu juga menitis di pipi. Cepat-cepat Warda kesat supaya tidak ketahuan.

Nuf tiba-tiba duduk di birai katil lalu mengambil pinggan nasi yang dibiarkan di tepi katil dan merampas mangkuk sup dari tangan Warda.

Terkulat-kulat Warda melihat Nuf menceduk sedikit sup dari dalam mangkuk, masuk ke dalam pinggan nasi. Setelah menggaul rata bersama beberapa cebisan kecil ayam, diangkat sudu bersama nasi dekat ke mulut Warda.

Wajah Nuf masih serius, buat Warda tiada pilihan lain selain membuka mulutnya untuk menerima suapan.

Suapan pertama masuk ke perut Warda, tindak balas asid di dalam perutnya terasa luar dari kebiasaan. Bergelojak dan umpama menolak-nolak kembali apa yang ditelannya. Pantas dia menekup mulut, menahan mual yang sudah di hujung-hujung.

"Sayang—"

Tangan Nuf ditepis. Bergegas Warda turun dari katil dan berlari ke kamar mandi untuk memuntahkan isi perut yang tidak seberapa ada. Selebihnya sekadar angin yang lebih meronta-ronta untuk keluar, buat tekaknya terasa perit yang teramat. Tersengguk-sengguk Warda menangis di depan sinki dek kesakitan sekaligus melepaskan perasaan yang sedari tadi ditahan. Tangisannya kedengaran hiba, tanpa menyedari ada hati yang turut tersayat dan tersentuh.

Not Her Fault [ C ] | Her Scar Series #2Where stories live. Discover now