Pinjamkan secebis kekuatan
Agar aku bisa bertahan
· · ─────── ·𖥸· ─────── · ·
Tok! Tok! Tok!
Bunyi pintu diketuk dari luar kedengaran terdesak, sekaligus menyentak keduanya terutama Warda yang masih berkira-kira untuk bercerita.
Terbantut rasa mahu berkongsi luka dengan si suami.
"Doktor! Warda!"
Menegak tubuh Warda, namun Nuf lebih dahulu bangkit dari birai katil.
"Sayang tunggu sekejap," arah Nuf lalu terus menghampiri pintu.
Pintu dibuka lalu terjengul wajah Amna di dengan nafas yang tercungap-cungap, akibat berlari mendaki tangga dengan tergesa-gesa.
Warda mendadak bangkit dan menghampiri dengan penuh tanda tanya di dalam minda. Tak mugkin dia boleh bertenang kalau begitu kencang pintu digoncang. Macam ada sesuatu yang begitu mustahak.
"Doktor!" Tak cukup nafas Amna melafaz.
"Kenapa ni, Amna?" Atas bawah Nuf memandang Amna.
Tiba-tiba Warda turut muncul di sisi Nuf. Kedua-duanya memandang pelik ke arah Amna yang seperti baru lepas diburu hantu. Serta-merta Amna jadi lupa ayat yang dirangkanya tadi. Melihat wajah Warda yang muram dan sedikit pucat, buat dia semakin tak keruan, serba salah untuk mengkhabarkan.
"Amna, kau dah kenapa?" desak Warda pula, pelik.
"Mak Ilah—" Amna telan air liur dengan payah. "Mak Ilah call baru sekejap ni tadi!"
"Kenapa dengan Mak Ilah?" Nada Warda rendah, cuba bertenang waima dalam hati mula diasak debar.
Amna deras menggeleng.
"Bukan. Bukan pasal Mak Ilah, t-t-tapi pak ngah kau!"
Warda makin tak sabar. Kakinya melangkah keluar dari bilik, berdiri betul-betul di hadapan Amna. Lengan Amna dipegang dengan kejap.
"Abah? Kenapa dengan abah? Apa yang Mak Ilah cakap?" Belum sempat Warda menyoal, Nuf lebih dahulu menggesa agar Amna lekas bercerita. Tak mampu bersabar, dia turut melangkah keluar.
"Warda, doktor, cepat pergi hospital sekarang!"
◂ ❚ ⊱ꕥ⊰ ❚ ▸
"Mak!"
"Nuf! Nuf! Tolong abah, Nuf," rayu Puan Rozita sedikit tergesa-gesa sebaik wajah menantu kesayangannya muncul di depan mata.
Berpura-pura tidak melihat Warda, lengan Nuf disambarnya dengan segera. Dia terdesak. Begitu terdesak demi suami yang masih tidak diketahui nasibnya.
Mak Ilah yang turut ada sekadar diam dan tak henti-henti mengesat air mata.
"Abah mana, mak? Macam mana semua ni boleh jadi?" soal Nuf dalam tenang yang dibuat-buat. Hakikatnya, dada sendiri rasa seperti mahu pecah sebaik mendengar perkhabaran dari Mak Ilah yang melalui Amna tadi.
Manakan tidak, Tuan Malik itu dah dianggap seperti ayah kandungnya sendiri. Siapa yang tak cemas dan risau?
"Doktor masih rawat abah kat dalam, dari tadi tak keluar lagi. Ya Allah, Nuf... mak risau sangat ni."
Air mata Puan Rozita semakin deras berlinangan. Sebaik bertentang mata dengan Warda yang senyap sedari tadi, riak Puan Rozita Serta-merta berubah. Amarah yang reda tadi kembali meluap-luap sebaik wajah itu dipandang mata. Bencinya masih tersemat utuh buat wanita itu yang baginya punca semua ini berlaku.
YOU ARE READING
Not Her Fault [ C ] | Her Scar Series #2
Romance━ 𝐋 𝐈 𝐋 𝐘 𝐑 𝐎 𝐒 𝐄 ❝The symbol of purity and refined beauty❞ ••• Rupawan namanya, seindah maksudnya. Seperti lili, hatinya suci dan empati, Umpama mawar, dia mekar di celahan ranting berduri, Tapi, apakah nasibnya secantik namanya? ❝Ingat n...