Dalam dunia kita
Penuh luka dan sendu melata
· · ─────── ·𖥸· ─────── · ·
Pranggggggg!
"I-Ilah! Nuffff! N-Nuffff...!" Jeritan tersekat-sekat Puan Rozita hampir menggegarkan seisi rumah. Entah dari mana dia dapat kekuatan berteriak begitu. Nyaris terlepas pinggan yang sedang dicuci Mak Ilah.
"Ya, puan. Saya datang ni."
Tangan Mak Ilah cermat meletakkan pinggan mahal itu kembali ke dalam sinki. Tak mahu kalau gajinya dipotong pula nanti.
Ala kadar Mak Ilah mengesat tangan dan deras dia datang menghampiri Puan Rozita yang tadinya sedang elok mencicip minum petang di atas kerusi rodanya. Memang sengaja dia tinggalkan majikannya menjamah sendirian awal tadi.
Sebelum ini pun Puan Rozita itu sudah boleh berdikari tanpa perlukan bantuannya sesiapa untuk makan, malah kadang-kadang, dia sendiri yang tak benarkan orang lain membantu. Boleh buat sendiri, katanya. Cuma untuk berjalan, dia masih tak berdaya menapak dan terpaksa bergantung harap dengan kerusi roda untuk bergerak. Ini pertama kali Mak Ilah dikejutkan jeritan Puan Rozita dan bunyi kaca terhempas.
Sah telahan Mak Ilah. Sebaik sampai, mata dijamu dengan serpihan kaca pecah berderai di lantai.
"Astaghfirullah al-azim...kenapa ni, puan? Macam mana boleh terlepas ni?"
"Nufff...! N-Nuffff d-dalam tuu!" Dalam keadaan tangan yang terketar dan mulut yang separa herot, telunjuk Puan Rozita lurus ke kaca televisyen yang sedang memaparkan Berita Terkini jam empat petang.
"...kejadian berlaku pada jam 10.00 pagi waktu tempatan. Sepasukan bomba dan penyelamat dari bandar Reyhanli dikejarkan ke tempat kejadian. Namun api yang marak telah mengambil masa kira-kira 45 minit sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya."
Paparan berita masih menunjukkan suasana hiruk-pikuk di satu kawasan lapang yang pada perkiraan Mak Ilah sama seperti kem pelarian yang sering dilihatnya di dalam televisyen dan media. Ada yang meratap menangis, malah ada yang menguis-kuis tapak bersisa jilatan api, mungkin mencari barang-barang berharga yang masih boleh diselamatkan. Berkerut dahi tua Mak Ilah tak memahami. Sudahlah dia tak mendengar pangkal berita tadi, lagilah timbul musykil dalam kepalanya. Nuf? Mana Nuf?
"Kebakaran turut memusnahkan beberapa khemah pelarian yang berhampiran. Menurut jurucakap, tiada nyawa yang terkorban dalam kebakaran tersebut manakala seorang kanak-kanak lelaki pelarian Syria berumur enam tahun disahkan parah akibat melecur teruk. Susulan kejadian, lapan orang mangsa lagi turut cedera ringan dan semua mangsa telah dikejarkan ke hospital Al-Amal di daerah yang sama bagi mendapatkan rawatan. Dipercayai, beberapa orang sukarelawan warga Malaysia turut terlibat. Punca kebakaran masih belum dikenalpasti dan masih dalam siasatan pihak berkuasa..."
Sejurus, apa yang dibacakan pemberita wanita itu langsung tak sempat melekat di kilang pemprosesan info Mak Ilah apabila wajah yang disebut-sebut tadi jelas terpapar di dada televisyen. Walaupun muncul sedetik dengan wajah yang sedikit berceloreng dan berjelaga hitam, dia yakin itu memang Nuf!
YOU ARE READING
Not Her Fault [ C ] | Her Scar Series #2
Storie d'amore━ 𝐋 𝐈 𝐋 𝐘 𝐑 𝐎 𝐒 𝐄 ❝The symbol of purity and refined beauty❞ ••• Rupawan namanya, seindah maksudnya. Seperti lili, hatinya suci dan empati, Umpama mawar, dia mekar di celahan ranting berduri, Tapi, apakah nasibnya secantik namanya? ❝Ingat n...