BAB 20

2.2K 86 5
                                        

DEBARAN yang terasa di dada tidak juga surut sedari awal pagi tadi. Entah kenapa, hatinya langsung tidak dapat bertenang. Fahryil menarik sedikit kolar baju melayu putih mutiara yang tersarung kemas di tubuhnya. Badannya terasa panas, biarpun suasana di dalam Masjid Putrajaya itu amat sejuk. Fahryil cuba bertenang, cuba untuk bertindak seperti biasa seakan tiada apa yang menggentarkan seluruh jiwa dan raganya.

Kertas yang terletak elok di atas meja di hadapannya dicapai. Tertera nama bakal isterinya di atas kertas putih itu.

“Humayraa Syahlaa…” bibirnya melafazkan nama itu dengan nada yang cukup perlahan. Hmm… dia pernah mendengar mama menyebut nama tersebut beberapa kali.

“Binti Ianwood…?”

Kacukan ke?

Ternyata lelaki itu agak terperanjat saat mengetahui nama bapa kepada bakal isterinya. Foreigner dari negara mana ni? US? UK? Persoalan itu sekadar dibiarkan tidak bersuara.

Majlis akad nikah yang akan dilangsungkan secara tertutup ini hanya dihadiri oleh orang-orang yang terdekat. Insan-insan yang sekadar mempunyai talian persaudaraan yang terdekat sahaja yang mendapat perkhabaran berkenaan majlis akad nikah ini.
Tetamu-tetamu jemputan sudah mula hadir memenuhi ruang khas tempat akad nikah yang akan dilangsungkan. Bakal pengantin perempuan juga sudah tiba, cuma mereka hanya menunggu di dalam bilik yang berasingan, bersebelahan dengan bilik upacara akad nikah diadakan. Pengantin perempuan tidak akan duduk bersama dengan pengantin lelaki ketika upacara akad nikah bakal dijalankan. Pihak perempuan sekadar mendengar lafaz akad melalui corong speaker yang dipasang sahaja. Selepas sah lafaz akad itu, barulah mereka akan bertemu.

.....

HUMAYRAA memegang tangan ibu dengan kejap, seakan langsung tidak mahu melepaskan tangan yang sudah semakin dimamah usia itu. Tangannya yang putih melepak itu kesejukkan. Jantungnya berdegup laju. Debaran di dada semakin menggila.

Rahimah yang setia di sisi Humayraa sekadar mampu memeluk bahu anak susuannya yang kelihatan sangat cantik berpakaian jubah putih mutiara dan wajah yang bersolek ringkas. Dia memahami perasaan Humayraa kerana dia juga pernah mengalami hal yang serupa ketika disatukan dengan Mursyid Ali suatu ketika dahulu. Peristiwa bersejarah pada hari ini seakan membawa dirinya pulang jauh melebihi 20 tahun yang lepaa.

“Humayraa, Humayraa sangat cantik.” Puji Rahimah yang tidak dapat mengalihkan pandangannya daripada wajah suci anak kacukan Inggeris-Palestin itu.

“Wajah Humayraa tak ubah sepert…”

“Assalamualaikum. Maaf mengganggu,” terdengar suara seseorang menegur sebaik sahaja pintu bilik dikuak. Dua beranak itu segera mengalihkan pandangan. Senyuman berbalas.
Beberapa orang lelaki dan perempuan mula memenuhi ruang bilik. Dalam kalangan mereka, ada yang berwajah seperti orang putih. Tiada satu wajah pun yang Humayraa kenal.

“Subhanallah. Cantik sungguh bakal pengantin kita hari ini. Macam anak patung.” Puji seorang lelaki yang paling berusia di antara mereka. Melihatkan gaya lelaki warak itu, maka tahulah Humayraa bahawa lelaki itu merupakan salah seorang imam di masjid ini. Masing-masing meleretkan senyuman.
Humayraa tertunduk segan.

“Humayraa Syahlaa Ianwood.” Panggil Tok Imam.

Humayraa mengangkat pandangan seraya tersenyum nipis. “Ya, saya.”

“Adakah awak bersetuju dan redha akan pernikahan ini?” soal Tok Imam.
Semua yang ada di dalam bilik itu diam. Suasana menjadi sunyi, masing-masing menantikan bicara yang bakal keluar daripada bibir gadis kecil itu.
Humayraa memandang wajah ibu. Tangan mereka kejap bertaut. Rahimah tersenyum manis seraya mengangguk perlahan, mempersilakan anak susuannya untuk meneruskan bicara.

Billionaire vs Millionaire | COMPLETECerita yang buat anda obses. Terokai sekarang