"ARIL, Mayraa mana? Jomlah turun bawah. Majlis tahlil dah nak mula dah." Puan Sri Jeanne bertanya kepada anak lelakinya yang baru keluar dari pejabat mini rumah agam itu. Walaupun segak berpakaian baju Melayu hitam, lelaki itu kelihatan sedikit tidak terurus. Wajahnya terpamer garis-garis keletihan.
"Mama pergilah turun dulu. Aril pergi panggil dia," ujar Fahryil membuatkan Puan Sri Jeanne mengangguk beberapa kali.
"Humayraa..." lelaki itu mengetuk pintu bilik isterinya. Tiada jawapan. Daun pintu kayu itu dikuak perlahan-lahan. Bilik itu gelap dan kosong, tiada kelihatan susuk tubuh Humayraa di situ.
"Humayraa..?" Fahryil meliarkan pandangan matanya. Tiada sesiapa di situ. Lelaki itu menapak ke bilik air pula. Kosong. Di beranda juga kosong. Dia mula cemas.
Lelaki tampan itu menguak rambutnya yang menutupi dahi. Ya Allah... mana isteri aku? Mindanya terasa serabut. Dia sudah tidak mampu untuk berfikir lagi.
"Ibu..? Humayraa mesti ada dalam bilik ibu." Tanpa menunggu lama, Fahryil berlari keluar dari bilik tidur itu.
Lelaki itu menguak luas daun pintu bilik tidur Rahimah. Dia menghembuskan nafas lega apabila melihat Humayraa sedang tidur lena di atas katil sambil memeluk kain batik milik Rahimah. Gadis itu tertidur dalam keadaan masih menyarung telekung solatnya. Hamparan sejadah masih terbentang di atas permaidani bersebelahan dengan katil.
Fahryil melangkah mendapatkan isterinya. Perlahan-lahan dia duduk di birai katil. Tindakannya dilakukan dengan sangat berhati-hati kerana dia enggan tidur Humayraa terganggu. Senyuman nipis terukir di bibirnya. Matanya fokus melihat wajah bersih isterinya.
Tangannya mahu mengelus lembut pipi montel itu tetapi dia menahan tindakannya apabila melihat pipi yang kemerah-merahan itu basah dengan air mata. Keluhan halus terhembus keluar. Hatinya terasa pedih. Dia mula menghidupkan lampu tidur yang ada di atas meja sisi katil.
Fahryil bangkit menuju ke pintu bilik. Lampu utama ditutup. Lelaki itu melangkah keluar dari bilik tidur Rahimah. Daun pintu ditutup perlahan-lahan.
.....
HUMAYRAA mencelikkan mata birunya. Buat seketika, dia hanya memandang kosong siling bilik tidur itu. Oh, kini dia berada di dalam bilik tidur ibu. Perlahan-lahan dia duduk melunjur. Tubuhnya masih lagi menyarung telekung berwarna putih. Matanya menoleh ke arah pintu kaca beranda yang terbuka luas. Cahaya putih bulan purnama menerobos masuk menerangi bilik yang hanya diterangi dengan lampu tidur sahaja. Hembusan angin malam yang bersatu dengan suhu bilik berpenghawa dingin itu membuatkan dia terasa sejuk hingga ke tulang.
Tidak semena-mena, semerbak harum bunga kasturi mewangi memenuhi setiap ruang di dalam bilik tidur itu. Bau itu menenangkan. Suhu di dalam bilik terasa suam. Secara spontan, Humayraa menoleh ke arah pintu beranda.
Seseorang melangkah masuk ke dalam bilik tidur melalui pintu kaca beranda yang terbuka luas. Langkahnya tenang dan ringan seakan terapung sedikit di udara. Wajahnya bersih dan tenang. Senyuman manis menghiasi raut wajahnya yang berseri-seri.
"Ibu?" Humayraa bersuara perlahan. Nada suaranya kedengaran sedih bercampur gembira melihat wanita kesayangannya itu.
Dia tahu ibu sudah tiada. Dia sedar itu mungkin hanya khayalan atau bayangannya. Tetapi kehadiran ibu di hadapan matanya kini langsung tidak membawa aura yang menakutkan malah, aura di dalam bilik itu terasa aman dan nyaman. Ibu yang sebenar yang selalu ada bersamanya kini sudah tiada lagi di muka bumi ini. Mereka sudah berpisah alam. Kenyataan pahit itulah yang membuatkan hatinya begitu sedih.
Mata biru itu mengikuti rentak langkah Rahimah yang berjalan dan akhirnya berhenti di hadapan meja tulis milik wanita itu suatu ketika dahulu. Rahimah memandang anak susuannya dengan pandangan penuh rasa keibuan seperti kebiasaannya. Cuma kali ini, pandangan itu terselit rasa syahdu.
ANDA SEDANG MEMBACA
Billionaire vs Millionaire | COMPLETE
Romansa🏆#1 ranking Romance (29.10.24) 🏆#1 ranking Novel Melayu (22.2.22)/ (22.2.23) 🏆#1 ranking Islamik (06.06.23) 🏆#1 ranking Romantik (20.2.23) Seorang gadis kacukan Inggeris dan Palestin yang diambil menjadi anak susuan oleh sepasang suami isteri wa...
