BAB 93

2K 92 0
                                        

DAVID Ianwood berjalan keluar dari kem sementara milik sukarelawan Muslim Hands UK untuk mengambil air. Hari ini merupakan hari kedua dia berada di bumi Palestin. Lelaki itu tidak banyak bersuara sewaktu mereka menjalankan misi kemanusiaan. Selain Isaac, tiada seorang pun yang tahu bahawa dia merupakan figura penting di United Kingdom - seorang usahawan yang mempunyai asset berbillion.

Sepanjang dua hari dia mengikuti misi itu, banyak peringatan dan langkah keselamatan telah diajar oleh ketua kumpulan mereka, Khalid. Berada di bumi yang sedang rancak bergolak itu memang perlu sentiasa berhati-hati. Hidup di sini tidak mewah dan senang, berbeza sekali dengan tanah airnya sendiri. Di seluruh United Kingdom, David boleh meminta apa-apa sahaja yang dia mahukan dan dia pasti akan memperolehnya tidak sampai beberapa minit. Sejujurnya dia masih tidak tahu mengapa dia sanggup mengambil keputusan gila seperti ini.

Langkah kakinya terhenti. Dahinya berkerut sedikit. Telinganya dapat mendengar sayup-sayup suara seorang perempuan. Secara spontan, lelaki tampan itu merapati sebuah khemah putih yang tertutup dan mula memicing deria pendengarannya. Suara merdu dan mendayu itu kini kedengaran lebih jelas. Perempuan itu sepertinya sedang membaca sesuatu tetapi David gagal meneka apakah itu.

Suara lunak dan merdu itu berjaya membuatkan David berasa syahdu dan sayu seiring dengan iramanya yang mendayu. Walaupun dia tidak memahami setiap ayat yang dialunkan oleh pemilik suara itu, namun tangkai hatinya seakan dijentik sesuatu membuatkan dia terpaut dan ketagih untuk mendengarnya. Namun semakin lama, suara merdu itu kedengaran semakin menyayat hati sebelum beberapa minit kemudian, hanya esakan tangis sahaja yang kedengaran.

David kaget mendengar bunyi tangisan itu dan tanpa berfikir panjang, lelaki Inggeris itu terus sahaja menyelak khemah putih tersebut dan menyerbu masuk.

Aisya yang sedang menangis teresak-esak sambil memeluk senaskhah al-Quran di dadanya terkejut apabila seorang lelaki memasuki khemahnya secara tiba-tiba. Wajahnya bertukar cemas sebaik sahaja dia melihat wajah David yang seperti orang asing dan imbasan kenangan hitam mula menerjah fikirannya.

"Ahhh!" Gadis itu menjerit kuat seraya memejamkan matanya.

"I'm... I'm..." David yang turut cemas mula tergagap-gagap untuk bersuara. Dia ingin meleraikan salah faham itu namun dia tidak mampu untuk berkata dengan normal kala ini.

Mateen meluru masuk ke dalam khemah itu sebaik sahaja mendengar jeritan adiknya. Wajahnya kelihatan bengis dan matanya mencerlung tajam memandang David, seakan mahu memenggal kepala lelaki itu di situ juga. Peristiwa hitam di mana dia mendengar jeritan ahli keluarganya sendiri yang terseksa seperti menjadi parut hitam yang menghantui hidupnya. Dia tidak mahu perkara yang sama berulang. Kini dia telah dewasa dan dia mampu melindungi sisa keluarganya yang tinggal.

"Kau siapa? Apa kau dah buat pada Aisya?!" Mateen menjerkah David menggunakan bahasa Arab namun jerkahan itu langsung tidak dapat difahami oleh lelaki yang berasal dari Scotland tersebut.

"I'm... I'm... I'm sorry, I didn't mean to," David menjadi kecut perut apabila ternampak senapang yang tergantung kemas di badan sasa lelaki Palestin itu.

Mateen mendapatkan satu-satunya adik perempuannya itu. Aisya hanya diam duduk di penjuru khemah itu sambil memeluk erat naskhah al-Quran di dadanya. Sempat lagi dia mengerling ke arah David, mencuri-curi pandang dalam keadaan separa takut. Buat seketika, mata hazelnya dan mata biru kehijauan milik David bertaut sebelum gadis itu cepat-cepat menundukkan semula pandangannya.

"Aisya okey? Jangan risau, abang ada dekat sini. Abang akan lindungi Aisya," Mateen cuba menenangkan adiknya. Wajah bersih Aisya yang basah dengan air mata, diusap menggunakan jari-jemarinya.

"Apa kau buat lagi dekat sini?" Kali ini, tumpuan Mateen kembali semula kepada David yang masih berdiri tegak di situ.

"I'm sorry. I didn't mean any harm to you. I just..."

Billionaire vs Millionaire | COMPLETECerita yang buat anda obses. Terokai sekarang