ISAAC dan mama cepat-cepat membantu menaikkan tubuh Humayraa. Mata gadis itu sudah pun terpejam. Rahimah pantas merapati tubuh anak kesayangannya. Dengan perasaan yang bercampur-baur, dia merapatkan telinganya ke dada Humayraa. Air mata terus sahaja lebat mencucuri pipi tuanya. Dia menekup mulut. Jantung Humayraa sudah tidak lagi kedengaran degupannya. “Allah, Allah…” hanya itu sahaja bibirnya terketar-ketar menyebut.
“Let me do the resus!” Lisa berkata dengan nada separuh menjerit.
“No, let me do this.”
Tanpa menunggu lama, Fahryil terus sahaja meletakkan telapak tangan di bahagian tengah dada Humayraa. Sebelah lagi telapak tangannya, melapisi tangan yang lagi satu. Dengan pantas dan berhati-hati, lelaki itu melakukan CPR.
“1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9, 10…” dia mengira seiring dengan tangannya menekan dada Humayraa sehingga 30 kali.
Perlahan-lahan, Fahryil menolak dahi Humayraa membuatkan kepala gadis itu terdongak sedikit. Fahryil mengepit hidung isterinya setelah membuka mulut gadis itu, tangannya yang satu lagi digunakan untuk menolak dagu Humayraa ke atas. Kali ini, dia melakukan bantuan pernafasan dari mulut ke mulut pula.
Dia merapatkan telinganya pada hidung dan mulut isterinya itu, cuba untuk merasa nafas-nafas halus yang keluar. Malang sekali, dia gagal mengesan haba yang keluar.
Pada saat yang genting ini, kesemua yang ada di situ hanya mampu memanjat doa yang tidak putus-putus berharap supaya Humayraa kembali sedar semula. Rahimah sudah menggigil keseluruh tubuh badannya, dia tidak mampu untuk membayangkan apa yang akan terjadi jika Humayraa gagal bangun kembali.
Selepas melakukan bantuan pernafasan dari mulut ke mulut, Fahryil kembali menekan dada Humayraa. Selepas itu, dia kembali merapatkan telinganya pada hidung dan mulut Humayraa. Masih sama. Tiada sebarang respons.
Langsung tidak menunjukkan rasa putus asa, Fahryil kembali menyalurkan pernafasan melalui teknik bantuan pernafasan dari mulut ke mulut. Tak boleh! Kau tak boleh tinggalkan aku sekarang, anatra! Tolong, tolong bagi respons! Hatinya meronta-ronta. Matanya berkaca.
Dia menekan lagi dada isterinya tanpa sedikit pun rasa penat. Ibu bersila bersebelahan dengan Humayraa. Tangan sejuk milik gadis bermata biru itu digenggam dengan erat. Kasih seorang ibu buat anaknya. Air mata yang laju membanjiri pipinya lansung tidak dihiraukan lagi.
.....
HUMAYRAA mencelikkan matanya. Seketika kemudian, dia mengecilkan semula mata birunya itu. Suasana di sekeliling kelihatan terang-benderang, seluruh tempat bercahaya. Gadis itu melilaukan pandangannya. Tempat itu terasa begitu asing. Dia tidak pernah berada di situ. Hatinya terasa begitu tenang tanpa dia tahu apakah sebabnya.
Kawasan di situ sangat sunyi tetapi hatinya langsung tidak terbetik rasa gerun dan takut. Perlahan-lahan dia menapak tanpa ada hala tuju yang sebenar. Kakinya tidak memakai sepatu, hanya tubuhnya bersarung jubah putih bersih yang tampak indah. Bau wangi tiba-tiba menyentuh deria hidunya. Lembut, tenang, senang, dan damai. Itulah perasaannya kini. Terasa ingin tinggal di tempat ini buat selama-lamanya.
Dalam keadaan samar-samar, ada gerangan yang muncul entah dari mana. Humayraa menoleh ke arah susuk tubuh tersebut. Dia cuba mengamati dua wajah yang datang mendekatinya. Seorang lelaki dan seorang perempuan, wajah mereka berseri-seri. Bermuka sangat tampan dan sangat cantik. Penuh senyuman, penuh kelembutan. Tidak pula gadis kecil itu pernah lihat wajah-wajah indah tersebut sebelum ini.
“Siapa?” Humayraa bertanya.
Lelaki tampan berwajah Inggeris itu kelihatan seperti dalam lingkungan umur Fahryil manakala wanita hidung mancung dan bermata coklat cair kehijauan di sebelahnya seperti dalam lingkungan usia Humayraa sendiri.
ANDA SEDANG MEMBACA
Billionaire vs Millionaire | COMPLETE
Romance🏆#1 ranking Romance (29.10.24) 🏆#1 ranking Novel Melayu (22.2.22)/ (22.2.23) 🏆#1 ranking Islamik (06.06.23) 🏆#1 ranking Romantik (20.2.23) Seorang gadis kacukan Inggeris dan Palestin yang diambil menjadi anak susuan oleh sepasang suami isteri wa...
