ISAAC memimpin Mariah ke arah keretanya. Dia dapat melihat kereta BMW David yang terpakir tidak jauh dari situ. Enjin kenderaan itu dihidupkan. Kenderaan tersebut perlahan-lahan menyusur ke jalan raya.
Sedari tadi, Isaac tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya. Terkenangkan permintaan ibunya untuk mendalami al-Quran, seakan Allah telah menampakkan syurga di hadapan matanya. Memang itulah impiannya. Berpimpin tangan bersama yang tersayang, melangkah masuk ke dalam syurga.
Isaac juga perasan akan perubahan rona wajah ibunya. Wajah tua itu nampak tenang dan bahagia. Seakan dilamun cinta. "Mama tahu? Saya dah lama menunggu detik ini. Saya sudah lama simpan senaskhah kitab al-Quran dan terjemahan untuk hadiahkan pada mama, berharap suatu hari nanti mama tergerak untuk membacanya,"
"Kamu selalu bercerita tentang Islam pada mama. Dulu, bila kamu kata kamu nak masuk Islam, mama betul-betul terkejut. Kenapa Islam? Macam mana kamu boleh percaya pada Tuhan? DIA dah ambil semuanya daripada kita sampai kita dah tak ada apa-apa. Tapi sejak kebelakangan ni, mama rasa mama nak cuba untuk percaya pada 'kuasa' tu. Tak kisah lah benda ni salah atau betul, mama tetap tak rugi apa-apa sebab mama memang dah tak ada apa-apa untuk dirugikan. Dan, menyerahkan kepercayaan kepada Tuhan yang akan melindungi kita terasa macam diri kita ini disayangi. Jadi, mama rasa mama nak cuba,"
Isaac tersenyum lebar. Tidak kisahlah kalau ibunya hanya sekadar mahu mencuba-cuba sekalipun kerana dia percaya bahawa Allah jualah yang menggerakkan hati seseorang. Dia tidak sabar untuk segera sampai ke hospital. Kegembiraan yang tidak terkata menyelimuti sekeping hatinya. Namun, tidak disangka bahawa dia agak terbuai dengan perasaannya sendiri.
"ISAAC!!!" Jeritan Mariah menyentakkan lelaki itu.
Sebuah lori yang datang dari arah yang bertentangan, masuk ke dalam lorong mereka secara tiba-tiba. Isaac yang sedikit terleka segera menekan pedal minyak secara tidak sengaja dan dalam masa yang sama menarik brek tangan dalam keadaan panik. Kereta yang dipandunya berpusing-pusing hilang kawalan sebelum lori pembawa jagung tersebut melanggar bahagian belakang sekaligus menyeret mereka sehingga ke pembahagi jalan.
Isaac terhantuk kepalanya pada stereng kereta. Darah pekat mengalir dari celah-celah ubun kepala. Kemalangan itu berlaku dengan sangat pantas. Sekelip mata sahaja dia tersedar bahawa wajahnya sudah berlumuran darah. Namun mujur saja dia dapat berpaut erat pada stereng kereta sekaligus mengurangkan peratus kecederaan yang dialami.
Keningnya berkerut menahan sakit. Matanya mencari wajah ibunya. Dengan pandangan yang kabur, dia melihat Mariah sudah tidak sedarkan diri. Cermin tingkap kereta sudah retak dan pintu di bahagian Mariah kemik dengan teruk kerana berlaga dengan pembahagi jalan. Wanita itu tersepit di tempat duduknya dengan besi pembahagi jalan yang menghimpit.
"Mama? Mama?" Isaac menggoncang-goncang tubuh tua itu. Wajah Mariah berlumuran dengan darah. Terdapat sebuah koyakan besar di bahagian dahi wanita itu. Darah mengalir keluar tanpa henti.
"Ma!!!" Air mata mengalir dengan deras. Kesakitan yang dialami sudah tidak terasa lagi. Apa yang penting sekarang adalah keadaan ibunya.
"Isaac!" David yang muncul secara tiba-tiba pantas membuka pintu di bahagian pemandu. Wajah lelaki itu jelas terpancar raut-raut kerisauan.
"Dave, tolong mama." Isaac berkata dalam nada yang tersedu-sedan.
Ya Allah, bantulah ibuku. Aku merayu, ya Allah. Dia baru sahaja berniat untuk masuk Islam. Bantulah dia, ya Allah... Doa itu tidak putus diucapkan di dalam hatinya. Luluh hati seorang anak melihat insan kesayangannya dalam keadaan berlumuran darah seperti itu.
David mengeluarkan telefon bimbitnya lalu mula membuat panggilan kecemasan. Walaupun mereka berada di kawasan perbukitan luar bandar yang mengambil masa sekurang-kurangnya 40 minit untuk ambulans sampai, tetapi mereka tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan sesuatu ke atas Mariah, bimbang jika tindakan itu hanya akan membuatkan keadaan semakin parah.
ANDA SEDANG MEMBACA
Billionaire vs Millionaire | COMPLETE
Romance🏆#1 ranking Romance (29.10.24) 🏆#1 ranking Novel Melayu (22.2.22)/ (22.2.23) 🏆#1 ranking Islamik (06.06.23) 🏆#1 ranking Romantik (20.2.23) Seorang gadis kacukan Inggeris dan Palestin yang diambil menjadi anak susuan oleh sepasang suami isteri wa...
