MATEEN yang terlelap seketika, terjaga. Aisya tertidur di atas ribaannya. Mereka masih berada di dalam khemah yang sama. Waktu malam sudah pun menjelma. Entah untuk malam yang keberapa pun dia tidak pasti. Perutnya berkeroncong. Mereka seakan tawanan perang. Tidak diberi makan dan minum hatta untuk pergi ke tandas pun tidak dibenarkan sama sekali. Jika tersilap langkah, maut yang menanti.
Mateen teringat kata-kata ibunya suatu ketika dahulu. “Anak-anakku, kalian tahu betapa hebatnya Ayatul Kursi yang diturunkan Allah kepada junjungan mulia nabi kita?” Mereka yang masing-masing duduk mengelilingi ibu tercinta, menggeleng. Daripada yang paling besar, Zeinab sehinggalah si kecil Sayidah yang langsung tidak memahami apa-apa.
“Ayatul Kursi ialah kurniaan agung buat umat Nabi Muhammad SAW. Diriwayatkan semasa penurunannya, Allah telah memerintahkan Jibril untuk membawanya turun ke bumi, bersama-sama dengannya ialah 70,000 malaikat yang menyertai dan menyambutnya di langit dunia dengan penuh penghormatan.”
“Syaitan-syaitan menjadi gempar dan bertempiaran lari menemui Iblis laknatullah yang turut gentar. Si Iblis kemudiannya memerintahkan beberapa syaitan untuk menyelidik punca gempa tersebut. Lalu syaitan-syaitan tersebut pergi mencari punca itu sehingga berhenti di tempat turunnya ayatul Kursi yang disertai oleh 70,000 malaikat dan Jibril. Maka bertambah gerunlah mereka melihat keagungan ayatul Kursi lalu segera menghadap si Iblis laknatullah. Setelah melaporkan, maka si Iblis laknatullah menjadi gusar kerana telah turun sebuah pendinding yang sangat ampuh dan tak mungkin dapat ditembusi olehnya mahupun tentera-tenteranya jika manusia itu beramal dengan ayat ini.” Hafsah tersenyum melihat ketekunan anak-anaknya mendengar perkongsian itu. Sempat juga dia menguis pipi montel Sayidah.
“Maka, beramallah dengan ayatul Kursi ini, anak-anakku. Jangan sesekali kalian tinggalkannya. Yakinlah dengan janji Allah dan kata-kata penghulu kita yang mulia.” Pesan Hafsah kepada anak-anak kecilnya.
Air mata yang membasahi pipi menyentakkan Mateen daripada lamunannya. Dia tidak sedar bahawa kenangan tersebut telah mengundang jatuhnya permata hangat itu. Sungguh tidak dapat dinafikan, dia merindui ibu dan adik-beradiknya yang lain. Tidak disangka gelak-tawa mereka kini hanya tinggal kenangan. Mateen menekup wajahnya. Tidak sedar perlakuannya telah membuatkan Aisya terjaga.
“Ya Allah, sungguh aku ini hamba-Mu yang lemah. Ya Allah, Tuhanku yang Maha Perkasa. Selamatkan kami daripada kekejaman manusia di sini. Bawalah kami keluar dari tempat ini dengan aman dan selamat. Tunjukkan kami jalan, ya Rashid, yang Maha Penunjuk Jalan. Bantulah kami, ya Allah.”
“Abang…” Aisya menggoncang-goncangkan tubuh Mateen. Mateen yang tersedar segera mengangkat wajahnya. Dia mengesat air mata yang tumpah menggunakan belakang tangan. Aisya memeluk abangnya.
“Aisya, baca ayatul Kursi banyak-banyak. Mulai sekarang, jangan berhenti membacanya. Baca perlahan-lahan.” Mateen memberi arahan kepada adik kecilnya. Si kecil yang berusia 4 tahun itu mengangguk laju sambil mulut kecilnya terkumat-kamit membaca wahyu paling agung itu. Mateen juga mula melafazkan ayatul Kursi yang sangat ditekankan oleh kedua ibu bapanya. Meyakini kekuasaan Allah melebihi segala-galanya.
Seorang tentera masuk dengan membawa tiga botol arak. Dia meneguk air najis itu dengan rakus sambil berdiri dan kemudiannya, botol kaca itu dicampakkan ke muka salah seorang pelarian yang ada berdekatan dengannya.
Pelarian itu menjerit kesakitan sambil mulutnya menyebut-nyebut nama Allah berulang-ulang kali. Serpihan botol kaca itu terkena matanya. Darah yang mengalir terlalu banyak, perit yang terasa tidak terungkap dek kata-kata.
“Aku pun nak jugalah, bangang! Yang kau pergi campak ke muka dia tu kenapa?!” seorang lagi tentera yang berkawal di dalam khemah itu menempelak tentera tadi. Dia merampas satu lagi botol arak daripada genggaman rakannya. Mereka tergelak besar. Meminum arak dan bersuka ria. Masing-masing mabuk. Anak-anak gadis yang ada dalam tahanan itu habis dijadikan mangsa melepaskan nafsu serakah.
ANDA SEDANG MEMBACA
Billionaire vs Millionaire | COMPLETE
Romance🏆#1 ranking Romance (29.10.24) 🏆#1 ranking Novel Melayu (22.2.22)/ (22.2.23) 🏆#1 ranking Islamik (06.06.23) 🏆#1 ranking Romantik (20.2.23) Seorang gadis kacukan Inggeris dan Palestin yang diambil menjadi anak susuan oleh sepasang suami isteri wa...
