14

32 6 0
                                    

🥀☁️

PEN yang berada di antara jari telunjuk dan ibu jarinya sengaja diputar-putarkan. Dia cuba mengingati semula apa yang dibacanya malam tadi. Serasanya soalan yang berada di atas kertas berwarna putih itu ada dibaca di dalam buku notanya malam tadi. Atau dia yang sebenarnya keliru ?

Sesekali bibirnya melepaskan keluhan kecil. Bengang dengan dirinya yang gagal untuk mengingati apa yang diulangkaji malam tadi. Subjek sejarah bukanlah kesukaannya. Cuba bilang, berapa ramai pelajar sekolah yang meminati subjek sejarah ? Kalau boleh dipilih antara matematik dengan sejarah, memang subjek matematik menjadi pilihannya. Kalau kata dia meminati subjek yang agak sukar bagi ramai pelajar ni, tidak juga. Dia sendiri pun tak tahu apa subjek kegemarannya.

Kalau bukan kerana adanya kewujudan kertas 3 untuk subjek sejarah, kemungkinan untuk dia mendapat C adalah tinggi. Ya, dia tidak pernah lagi mendapat gred yang bawah daripada C. Bagi mak dan abahnya, dia adalah seorang yang bijak. Tapi hakikatnya tidak. Dia hanya memilih untuk belajar memandangkan dia tiada benda yang ingin dia buat. Sejak mak dan abahnya bercerai, maknya yang menjaga dia. Sentiasa berpindah memandangkan pendapatan maknya tidak tetap.

Apabila dia mendapat kawan yang rapat dengannya, dia terpaksa berpindah pula. Kerana itulah dia semakin malas ingin membuat ramai kawan rapat. Hidup berpindah rumah memang memenatkan. Sangat memenatkan.

Sedang enak dia mengelamun, boleh pula fikirannya melayang teringat akan Hidayah. Memang dia perasan, sejak akhir-akhir ni, perasaannya pada Hidayah kian bercambah. Dari ikatan persahabatan yang dia mulakan, berubah menjadi perasaan cinta yang langsung tidak dia jangka akan muncul di hati. Mungkin Hidayah tidak merasakan perasaan yang sama sepertinya.

Apabila mengenangkan yang Hidayah pernah lalui kisah cinta yang tak berapa manis membuatkan dia terasa yang dia tak seharusnya meluahkan apa yang dia rasa sekarang ini pada Hidayah. Hidayah itu seperti sekuntum bunga mawar. Pada dahannya terdapat duri-duri yang tajam. Bunga mawar adalah satu tumbuhan yang tahan lasak. Mampu bertahan dalam keadaan yang kurang sesuai juga.

Hidayah melindungi dirinya daripada terus dilukai dengan menjauhkan diri dari semua orang. Hidup bersendirian bererti menghindarkan diri daripada rasa terluka. Hatinya masih lagi mampu menahan segala rasa yang menyakitkan. Tapi disebalik keindahan bunga mawar itu, Hidayah sebenarnya hanyalah sekuntum bunga mawar yang kelayuan. Meniti hari menunggu mati.

Taufiq mengeluh perlahan. Dia selalu menceritakan apa yang dia rasa pada Hidayah tapi Hidayah melakukan sebaliknya. Hidayah sudi mendengar tapi tak sudi untuk meluah. Membuatkan dia rasa seperti dia adalah kawan yang tidak berguna.

Taufiq tersentak apabila mendengar ketukan kecil di tepi mejanya. Wajahnya berpaling ke tepi, memandang ke arah pengawas peperiksaan yang sedang memandangnya. Dahi pengawas peperiksaan itu kelihatan berkedut.

"Tinggal lagi 15 minit untuk menjawab," pesan pengawas peperiksaan itu. Mengingatkan Taufiq agar tidak terus tenggelam dalam lamunan yang dirasakan pendek.

Taufiq melihat jam tangan yang kelihatan longgar di pergelangan tangannya. Dia mengelamun hampir 20 minit. Tak guna betul. Dengan segera dia menyelak kertas peperiksaannya untuk mencari soalan yang masih lagi tidak dia jawab.

🥀☁️

TONGKAT basikalnya diturunkan. Dia hendak menukar pakaian sekejap sebelum berjumpa dengan Hidayah. Nasib baik tadi dia sempat menjawab habis kertas soalan sejarah tadi. Kasut hitam yang tersarung di kaki, ditanggalkan dan diletak di atas rak kasut yang berada di tepi pintu.

Buka saja pintu, terjengul wajah maknya yang sedang duduk di sofa ruang tamu mengadap pintu masuk. Kelihatan seperti maknya sedang menunggu kehadiran dia.

Kebosanan : HidayahWhere stories live. Discover now