BAB 8

9K 493 44
                                    

Ariana Atilia diam tak berkutik. Pipinya yang berona merah bernasib baik dapat dilindungi daripada Adi Ashraf kerana hari sudah gelap. Cuma hatinya yang berdebar-debar seperti mahu keluar dari badannya tak dapat dibendung lagi. Nafasnya bagai terhenti sebaik sahaja kata-kata itu meluncur dari mulut Adi Ashraf.

Itu baru sikit lelaki itu cuba bermain dengan kata-katanya. Belum sepenuhnya lagi. Apa sudah jadi dengan kau ni. Sedarkan diri kau, Ariana Atilia!

"A-ku pergi dulu." kata Ariana Atilia perlahan seperti bisikan angin sepoi-sepoi bahasa. Dia rasa mahu larikan diri sahaja daripada pandangan Adi Ashraf sekarang ini.

Wajahnya ditundukkan agar tidak bertembung mata dengan lelaki itu. Kantuknya tadi sudah hilang serta-merta. Perasaan malu mula menguasai diri Ariana Atilia. Sejak bila kau tahu malu, Ariana?

Sempat hatinya mengutuk dirinya sendiri. Bercakap pun dia tergagap di depan Adi Ashraf sekarang. Tolong jangan cakap dengan aku! Doanya dalam hati.

Pintu kereta dibuka dengan pantas. Adi Ashraf yang sejak dari tadi diam hanya memerhatikan setiap perbuatan gadis itu. Bibirnya mengukir senyuman melihat tingkah gadis itu yang mula menggelabah.

Baru sahaja Ariana Atilia melangkah keluar kereta, Adi Ashraf sempat menahan gadis itu daripada pergi. Lengan bajunya ditarik lembut oleh Adi Ashraf membuatkan Ariana Atilia menoleh semula ke arah lelaki yang dia mahu larikan diri sekarang ini.

Kenapa dia tarik baju aku pulak ni? Apalagi dia nak, ya Allah. Aku tak sanggup nak tahan malu dah ni. Getus hati Ariana Atilia. Namun ditoleh juga ke arah Adi Ashraf. Bibirnya tersenyum kekok.

"Kau n-ak ap-a?" soal Ariana Atilia tersekat-sekat. Mahu saja dia menepuk mulutnya yang tak berfungsi sempurna pada saat ini.

Adi Ashraf mengukir senyuman penuh makna kepada Ariana Atilia. Gadis itu meneguk air liur. Takut dengan perkara yang dilakukan oleh lelaki itu kali ini.

Tanpa amaran, lelaki itu mendekatkan mulutnya ke arah telinga milik Ariana Atilia sekali lagi. Perbuatan mengejut dari lelaki itu membuatkan Ariana Atilia menarik nafas laju. Matanya dibesarkan.

"Nak pergi mana? Barang dekat belakang tu macam mana?" soal Adi Ashraf sambil berbisik ke telinga gadis itu. Dia tersenyum nakal sebelum kembali ke kedudukannya yang sebentar tadi.

Ariana Atilia menarik nafas panjang. Akhirnya dapat juga dia bernafas secara normal. Rasa nak pengsan saja kalau asyik diserang sebegitu. Bakal tunang dia tu pun dah kenapa? Nak berbisik bagai, cakap sajalah macam biasa.

"Nak ambik barang lah ni. Kau kenapa nak bisik-bisik? Jangan buat macam tu lagi. Tak elok orang tengok." kata Ariana Atilia dengan lancar sambil melarikan pandangan daripada anak mata lelaki itu.

Keberanian dia tak dapat dipulihkan sepenuhnya lagi. Terpaksalah dia berpura-pura kuat untuk sementara ini. Dikerling sekilas wajah lelaki itu dari ekor mata. Tubuhnya keluar dari perut kereta lelaki itu sepantas kilat.

Dia beralih untuk mengambil barangan yang dibeli tadi di tempat duduk belakang. Sedaya upaya dia mengelakkan daripada terpandang wajah Adi Ashraf yang sudah jelas tersengih ke arah dirinya.

"Sabar, Ariana. Hari ni hari dia, tak lama lagi hari kau." ucap Ariana Atilia perlahan kepada dirinya sendiri. Tangannya bergerak pantas mengangkat barangan tersebut lalu dibawa keluar dari perut kereta.

Dia mengatur langkah laju tanpa menoleh semula ke belakang. Beberapa saja langkah lagi dia dapat masuk ke dalam rumah. Namun, namanya dilaung oleh lelaki yang dia rasa nak bunuh saja sekarang ini.

"Ariana!" laung Adi Ashraf dengan suara serak basah yang keluar dari kerongkongnya. Terpamer senyuman yang membawa seribu makna di wajahnya. Atau yang lebih tepat lagi, senyuman nakal untuk mengusik gadis itu.

C | LOVE HATE Where stories live. Discover now