Usai mereka bersarapan bersama, Adi Ashraf menyambung kerjanya. Sesekali dia mengerling ke arah isterinya yang sedang duduk di sofa didalam pejabatnya. Jam tangannya dikerling seketika.
Pelik apabila isterinya itu masih tidak meminta diri untuk keluar pergi ke kerja. Dia sendiri sedia maklum bahawa bapa mertuanya iaitu Encik Johan memiliki syarikat yang besar dan berprestasi tinggi. Namun takkanlah isterinya mengambil kesempatan atas peluang tersebut untuk masuk kerja sesuka hati.
"Riana, kau tak ada kerja ke?" soal Adi Ashraf akhirnya. Dia melirik ke arah isterinya mahukan jawapan. Ariana Atilia hanya beriak bersahaja.
"Ash, kau cuba nak halau ke apa hah?" bidas Ariana Atilia. Kalau tak suka dia ada dekat situ, janganlah tunjuk sangat. Terasa tau tak! Wajahnya dimasamkan.
Adi Ashraf mengeluh. Lain yang dicakap, lain yang difahamnya. Tangannya meraup muka.
Dia mencuba sekali lagi."Aku tak cakap nak halau kau. Aku cuma nak tahu kenapa kau tak pergi kerja lagi ni? Dah pukul berapa dah. Aku tahulah kau anak boss. Tapi kerja tetap kerja, Riana. Tak kesian ke dekat abah?" jelas Adi Ashraf. Sempat juga dia menitipkan pesanan kepada isterinya.
Ariana Atilia mula faham apa yang cuba disampaikan oleh lelaki itu. Mungkin lelaki itu tersalah faham dengan keadaannya sekarang. Dia menongkat dagu sambil memandang ke arah suaminya.
"Siapa kata aku kata aku tak kesian dekat abah? Abah yang suruh aku rehat. Kerja dekat rumah apa semua. Padahal aku tahu abah penat." luah Ariana Atilia sambil bermain dengan pen yang berada diatas meja Adi Ashraf.
Adi Ashraf hanya diam apabila mendengar luahan isterinya. Dia memberikan isyarat untuk Ariana Atilia meneruskan kata-katanya. Gadis itu akur dengan segera. Nafas panjang ditarik.
"Abah tak nak aku kerja dekat syarikat dia. Tapi disebabkan aku satu-satunya pewaris, aku tak ada pilihan lain. Jadi, abah suruh aku kerja dari rumah. Sebab dia tak nak hilang aku." ucap Ariana Atilia perlahan. Seakan tak mahu Adi Ashraf mendengar kata-katanya.
Namun, malang sekali kata-kata itu jelas didengari oleh Adi Ashraf. Lelaki itu tahu ada sesuatu yang disorokkan daripada pengetahuan dia selama ini.
"Apa maksud kau pasal abah takut hilang kau, Riana?" soal Adi Ashraf cuba mengorek rahsia daripada isterinya. Dia mendekatkan wajah ke arah gadis itu.
Ariana Atilia berkira-kira mahu menerangkan perkara sebenar. Pandangan Adi Ashraf yang penuh berharap membuatkan dia semakin berbelah bahagi. Tubuhnya disandarkan ke kerusi yang didudukinya.
"Kau ingat tak masa aku kena serang dengan seorang lelaki ni dekat mall hari tu?" soal Ariana Atilia secara tiba-tiba. Adi Ashraf mengangguk kecil.
Semakin tertanya-tanya apabila isu itu dibangkitkan. Ariana Atilia memejamkan mata buat seketika. Keluhan berat dilepaskan.
"Itu bukan pertama kali aku kena serang. Itu sebenarnya kali kedua. Perkara ni pernah jadi jugak sebelum aku kahwin dengan kau, tapi cuma sekali. Abah dapat tahu masa kejadian tu jadi dia terus risau.
Aku sendiri pun tak sangka perkara ni jadi balik. Kalau abah dapat tahu, dia mesti lagi risaukan aku. Jadi aku nak tolong kau rahsiakan daripada sesiapa terutamanya abah. Boleh?" pinta Ariana Atilia. Dia betul-betul tak mahu perkara tersebut sampai ke dalam pengetahuan Encik Johan.
Adi Ashraf mula rasa sangsi. Tetapi dianggukkan juga tanda mengiyakan.
Ariana Atilia menghela nafas lega. Akhirnya, dapat juga dia berterus-terang dengan suaminya."Kenapa kau tak bagitahu aku awal-awal? Kenapa rahsiakan benda ni dari aku, Riana?" soal Adi Ashraf lembut. Tak berniat mahu memarahi isterinya atau apa kerana hanya rasa ingin tahu mula menjalar dalam dirinya.
YOU ARE READING
C | LOVE HATE
Romance𝗥𝗼𝗺𝗮𝗻𝗰𝗲 𝗦𝗲𝗿𝗶𝗲𝘀 •°. *࿐ «2𝐧𝐝 𝐁𝐎𝐎𝐊» ©2021• ᶜᵒᵐᵖˡᵉᵗᵉᵈ ˚ ༘♡ ·˚𝐀𝐃𝐘 𝐀𝐒𝐇𝐑𝐀𝐅 𝐗 𝐀𝐑𝐈𝐀𝐍𝐀 𝐀𝐓𝐈𝐋𝐈𝐀˚ ༘♡ ·˚ Adi Ashraf dan Ariana Atilia. Adi dengan sikap bekunya manakala Ariana dengan sikap cerianya. Apa akan jadi bila Ar...