Pulang sahaja daripada pertemuannya dengan Ariana, hanya gadis itu yang berada di dalam fikiran Izz Faris. Dia tahu salah untuk dia melakukan sedemikian tetapi dia tak dapat menahan diri selepas mengetahui Ariana merupakan Ria, gadis yang merupakan cinta pertamanya dahulu sebelum Naufal bertunang dengannya.
Agak susah untuk dia percaya pada mulanya tetapi lama kelamaan dia dapat terima kenyataan. Bukan sekali tetapi dua kali dia terlepas peluang untuk memiliki Ariana. Yang pertama, pada ketika Naufal bertunang dengan Ariana. Yang kedua pula apabila Ariana telah menjadi isteri yang sah kepada Adi Ashraf, kawan baiknya sendiri.
Tipulah kalau dia kata dia tak merasakan apa-apa apabila berjumpa dengan Ariana selepas mengetahui identiti sebenar isteri sahabatnya itu. Dia mengaku dia masih menyimpan perasaan walaupun setelah sekian lama.
Namun perasaan bersalah menghurung dirinya kerana tahu perkara itu amat salah. Dia tak patut ada perasaan pada isteri sahabatnya sendiri lebih-lebih lagi isteri kepada Adi Ashraf. Dia tak mahu menjadi perosak rumah tangga orang lain mahupun perampas.
Dia melepaskan keluhan. Walau bagaimanapun, dia perlu mencari jalan untuk menghapuskan perasaan ini dan melenyapkannya. Hal ini kerana perasaan itu hanya akan membawa kepada kesan yang teruk kepada persahabatannya dan hubungannya bersama pasangan suami isteri itu.
Pelbagai senario buruk melintas di fikiran apabila menyedari sekiranya perasaannya diketahui oleh Adi Ashraf. Bagaimana mahu dia menerangkan perkara itu kepada sahabatnya sendiri? Dia meraup muka.
Fikirannya beralih pula kepada perbualannya bersama Haris Irfan tempoh hari. Dia mengeleng kepala. Baru menyedari mereka berdua jatuh cinta pada orang yang sama. Kebetulan apakah ini. Kepalanya ditundukkan dengan rasa kecewa.
Maafkan aku, Adi.
●○●○●○●○●○●○●○●○●○●
Sementara itu, Adi Ashraf sedang menikmati makanan tengah hari bersama Alif Zafran. Setelah sekian lama tidak bertemu dengan penyiasat peribadinya yang sudah dianggap sebagai kawan rapatnya.
Pada mulanya, dia ingin mengajak adiknya, Akid Ahnaf untuk menyertai mereka sekali sebagai tanda mahu membalas budi adiknya yang menjaga syarikat sepanjang ketiadaannya di pejabat.
Tetapi sebaliknya yang terjadi apabila Akid Ahnaf sudah mempunyai rancangan yang lain. Dalam erti kata lain, sudah mempunyai seseorang dalam hidupnya yang bujang itu. Adi Ashraf mengeleng kepala sambil tersenyum senget.
"Happy betul kau sejak balik honeymoon ni. Tak nampak stres apa semua baguslah." tegur Alif, bibirnya mengukir senyuman.
Adi Ashraf mengangguk kecil tanda mengiyakan kata-kata sahabatnya. Memang benar belaka apa yang dikatakan oleh Alif. Dia sememangnya terasa lebih gembira.
"Sebelum aku terlupa, tak ada orang ganggu kau orang berdua lagi ke?" tanya Alif ingin tahu. Pelik apabila tak ada khabar berita daripada Adi Ashraf tentang lelaki yang sering menggangu mereka berdua.
Adi mengeleng. Dia sendiri juga hairan tetapi asalkan Ariana selamat tiada apa yang perlu dia risaukan. Mereka hanya perlu berjaga-jaga dan berwaspada sahaja.
"Mungkin dah putus asa. Aku pun tak tahu. Macam mana dengan kau? Ada maklumat baru?" tanya Adi Ashraf semula. Mahu mengetahui perkembangan lanjut tentang siasatan yang dijalankan oleh Alif Zafran.
"Setakat ini, macam yang kau tahu. Bukan Naufal yang menjadi suspek. Tetapi orang lain. Aku tak tahu sama ada betul ataupun tidak tapi aku masih siasat tentang dia memandangkan dia berkemungkinan boleh menjadi suspek yang seterusnya. " jelas Alif Zafran panjang lebar. Hanya nada serius yang digunakan sepanjang penjelasannya.
YOU ARE READING
C | LOVE HATE
Romance𝗥𝗼𝗺𝗮𝗻𝗰𝗲 𝗦𝗲𝗿𝗶𝗲𝘀 •°. *࿐ «2𝐧𝐝 𝐁𝐎𝐎𝐊» ©2021• ᶜᵒᵐᵖˡᵉᵗᵉᵈ ˚ ༘♡ ·˚𝐀𝐃𝐘 𝐀𝐒𝐇𝐑𝐀𝐅 𝐗 𝐀𝐑𝐈𝐀𝐍𝐀 𝐀𝐓𝐈𝐋𝐈𝐀˚ ༘♡ ·˚ Adi Ashraf dan Ariana Atilia. Adi dengan sikap bekunya manakala Ariana dengan sikap cerianya. Apa akan jadi bila Ar...