PUTIHNYA ruangan memantulkan cahaya terang pada iris mata yang terpampang indah. Bertelekunya dia di situ tidak bertujuan malah pandangan kosong dilemparkan sedari tadi. Sebuah bangku panjang menjadi tempat labuhannya yang keliru dan termangu-mangu sendirian.
"Tempat apa ni?" Emma bersoal, tidak berjawab. Sekelumit bunyi dan sewarna bayang tidak kedengaran malah tidak kelihatan. Hamparan luas yang tidak diketahui penghujungnya, membuatkan Emma sedikit buntu.
Bagaimana dia boleh berada di sini dan apa yang sedang dinantinya?
Emma menompang dagu dan mengira detik sehingga dia kebosanan. Cubaan menapak dan beralih dari kedudukan, tidak diambil. Emma lebih selesa duduk daripada berjalan membelahi laluan yang boleh menariknya ke kawasan yang lebih jauh.
Beberapa minit berlalu. Derapan kaki bergema perlahan membuatkan Emma meluruskan postur badan. Kiri dan kanan ditoleh bagi mendapatkan punca bunyi yang semakin menghampiri. Sedikit ketakutan tidak bertandang, malah Emma ditemani kesabaran dan keinginan. Dia kurang pasti mengapa dia diapit perasaan sedemikian.
Mata Emma mengecil apabila seorang lelaki dilihat sedang berjalan menuju ke arahnya. Orangnya tinggi lampai, berpakaian santai dan tetap menghala muka ke satu arah iaitu Emma.
Lantas mulut Emma membulat kecil, kelopak matanya terbuka luas lalu dia berdiri berserta perasaan sayu. Orang yang dirinduinya datang bersama senyuman menenangkan. Bagai hati tidak berasak kesedihan atas apa yang menimpa mereka berdua sebelum ini.
"Yug-Yugyeom?" Emma melakar senyuman hiba.
Lelaki di hadapannya kini pantas dipeluk erat. Tangisan terhambur tidak dapat dikawal. Dendam perasaan yang mencengkam dada seakan terubat dengan kehadiran lelaki yang dicintai sepenuh hati. Air mata dibiarkan menjadi saksi atas kesengsaraan yang ditanggungnya seorang diri.
Yugyeom meleraikan pelukan kemudian menunduk, mencari raut wajah yang disayangi. Mutiara jernih itu diseka lembut lalu dahi Emma dikucup hangat. Dia mengerti perasaan Emma kerana dia tahu apa itu sebuah makna sebuah kehilangan. Namun sepatah tidak diungkap kerana hatinya kian tenang sebaik sahaja bertemu dengan wanita itu.
"Untuk awak," kata Yugyeom. Di tangannya, terdapat dua tangkai bunga dandelion. Masing-masing mekar dalam dakapan warna kuning dan putih. Itulah bunga kegemaran dan menjadi sebahagian daripada lambang cinta mereka.
Emma menepis saki-baki tangisan lalu diambil bunga tersebut. Belum sempat ianya ditilik, Yugyeom menapak ke belakang dan terus berpaling meninggalkan Emma tanpa sebarang kata.
"Yugyeom, awak nak ke mana?" tanya Emma. Lelaki itu cuba dikejar namun kakinya terpasak kekal, tidak mengizinkan anggota daripada melakukan sebarang pergerakan.
"Yugyeom!" panggil Emma, menidakkan pemergian lelaki itu buat kali kedua. Dia enggan melepaskan Yugyeom. Dia enggan membiarkan lelaki itu meninggalkan dirinya seorang diri kali ini.
YOU ARE READING
𝐃𝐀𝐍𝐃𝐄𝐋𝐈𝐎𝐍 𝐈𝐈: 𝐔𝐍𝐁𝐑𝐄𝐀𝐊𝐀𝐁𝐋𝐄 𝐋𝐎𝐕𝐄
FanfictionSEKUEL---> DANDELION: LAST LOVE Peluang cinta kedua itu sukar diraih tatkala hati terjahit kemas tanpa lompong dalam mengisi perasaan. Andai bunga dandelion mekar menguntum rindu, maka kehadirannya amatlah perlu. ◦ ✤ Cerita ini adalah REKAAN semat...