NASI AYAM adalah salah satu menu paling ringkas dan mudah disediakan. Semalam, segalanya telah diterangkan Minhyuk serba sedikit dan dia hanya memantau Hannah yang cuba menyediakan tersebut hari ini. Kylee yang berada di situ hanya membantu apa yang diminta Minhyuk. Tidak banyak. Cuma ayam yang perlu diperapnya terlebih dahulu.
Kylee memakai sarung tangan plastik. Dia menuangkan sos tiram, kicap dan bawang putih hancur ke atas potongan ayam yang siap direbus. Dia menggaul semuanya hingga sebati.
Kylee kurang bercakap atau menyampuk percakapan yang berlangsung di antara Minhyuk dengan Hannah. Akan tetapi dia semakin kekok apabila teguran demi teguran menyinggah di telinga. Apa sahaja yang dilakukan Hannah tidak mendapat pujian hatta semasa memotong saderi.
"Hannah, batang saderi kena potong besar sikit. Dia bukan macam daun sup tu. Salah cara awak potong ni...," kata Minhyuk, menunjukkan berapa panjang Hannah perlu kerat. Hannah tersengih tanpa bunyi dan memotong baki batang yang ada dengan cara yang tepat.
"Hannah, basuh beras bukan macam perah parut kelapa. Kita bukan nak santan sebab sampai bila-bila santan tak keluar dari beras. Awak kocak sikit-sikit lepas tu awak buang air dia. Ulang dalam dua hingga tiga kali. Lepas tu untuk nasi ayam, kita jerang nasi pakai air rebusan ayam tadi." Minhyuk berkerut kening apabila butir beras bagai terbelah dua dek diramas kuat oleh Hannah. Dahsyat betul!
"Arghh!!" Minhyuk berteriak kuat. Hannah dan Kylee sama-sama terperanjat. Hampir sahaja ayam goreng yang ditapis terjaga dari dalam pinggan.
Apa yang ada di dalam mulut, diludah ke dalam singki. Kemudian dia mencapai gelas dan menuang air. Diteguk sampai habis bagi melegakan tekak yang menyengat dan membahang.
"Hannah, berapa banyak cili api awak letak dalam sambal?" Telinga yang memerah bagai mengeluarkan asap, ditakup Minhyuk. Lada sambal merah yang disediakan Hannah terlalu mendesing hingga naik ke otak. Tekak bagai kecut menghambur batuk kecil yang tersangkut-sangkut.
Kylee mengintai mangkuk berisi sambal. Sedang Minhyuk tegas menasihati Hannah, Kylee curi-curi mengambil sudu dan merasa melalui hujung lidah.
"Mak datuk. Pedas nak mampus! Terbakar lidah aku. Arghh!!" jerit Kylee tertahan-tahan agar pasangan veteran itu tidak perasan. Tangan mengibas mulut yang terbuka. Kylee yang kurang arif tentang susunan perkakas dapur Minhyuk, terus mengambil gelas yang digunakan lelaki itu. Air dari penapis dituang lalu diminum. Itupun masih ada kesan pijar yang tertinggal.
Sambal tersebut terus dibuang Minhyuk dengan menuang kesemuanya ke dalam singki. Baru dia tahu betapa sukarnya mengajar orang yang langsung tidak pernah ke dapur semenjak kecil.
Hannah tersentap dan terasa kerana dimarahi di hadapan Kylee. Dia yang baru menjinakkan diri di dapur mula mengalami kejatuhan semangat. Dia malu dan sedih apabila Minhyuk langsung tidak menunjukkan secubit penghargaan atas usahanya walaupun tidak sesempurna mana.
YOU ARE READING
𝐃𝐀𝐍𝐃𝐄𝐋𝐈𝐎𝐍 𝐈𝐈: 𝐔𝐍𝐁𝐑𝐄𝐀𝐊𝐀𝐁𝐋𝐄 𝐋𝐎𝐕𝐄
FanfictionSEKUEL---> DANDELION: LAST LOVE Peluang cinta kedua itu sukar diraih tatkala hati terjahit kemas tanpa lompong dalam mengisi perasaan. Andai bunga dandelion mekar menguntum rindu, maka kehadirannya amatlah perlu. ◦ ✤ Cerita ini adalah REKAAN semat...