SANDAL jenama Sorel diambil dari susunan kasut di para rak. Emma mengetatkan sedikit tali kasut sehingga kakinya terasa selesa. Sambil berjalan menuju ke kereta, deruman sebuah motosikal yang dikenali berdesup memintasi hadapan rumahnya sehingga menusuk ke halwa telinga.
"Opocot motor lalu!" latah Seonghwa, memenuhi segenap bengkel. Sepanar yang dipegang melayang dan terkena pada kaki pelanggan. Cepat-cepat Seonghwa menunduk, memohon maaf atas kecuaiannya. Nasib sepanar itu bersaiz kecil dan bukannya sepanar boleh laras. Kalau tidak, kepalanya bakal dilaras!
Emma membungkam sebal. Setiap manusia dikatakan mempunyai tujuh orang yang memilik wajah yang serupa. Dia telah menjumpai satu wajah yang ada pada dua orang lelaki yang berbeza.
"Huh! Lepas ni kalau aku jumpa lagi lima orang muka seiras kau, aku pijak-pijak sampai lumat," gertak Emma sebelum disapa rasa menyesal. Dia menarik wajah kerut. Kalau hati dah sayang, nak jentik pun rasa tak sanggup!
Emma memejam mata dan cuba untuk bertenang. Lebih baik dia segera ke butik sebelum keadaan lalu lintas sesak dengan kenderaan yang berpusu di pusat bandar pada pagi hari.
Semasa enjin dihidupkan, Joshua mendekati kereta dan mengetuk tingkap. Tangan Emma yang terletak di atas pangkal gear, berubah tempat. Butang kawalan cermin ditekan lalu ia menurun, membenarkan angin luar menerjah dalam kereta.
"Nak pergi kerja dah?" soal Joshua.
"Hmm... Kenapa? Abang nak Emma hantar ayah ke pasar dulu ke?" soal Emma kembali. Setakat menghantar, dia tidak berkira. Joshua bakal menjemput Minhyuk semula setelah ayah mereka itu selesai membeli barang dapur.
Joshua angguk dan membuang pandangan dalam kereta Emma sebelum menyerahkan sesuatu kepada adiknya itu. Sekeping sampul warna putih menunggu sehingga ianya bertukar tangan. Emma tidak bertanya terlebih dahulu, sebaliknya membuka pelipat sampul berkenaan.
"Ada apa dalam ni?" tanya Emma ingin tahu, mengintai isi sampul dengan memejamkan sebelah mata. Sehelai kertas lama ditarik keluar lalu Emma melihat sesuatu yang telah sekian lama tidak menjadi tatapannya.
"Malam tadi abang jumpa Yejun. Kami bersembang kemudian dia bagi abang sampul ni. Dia minta Emma tengok dulu," beritahu Joshua, menunggu respons Emma yang nyata tergamam. Hala matanya adiknya kaku, bagai direngkut.
"Abang, ini... Yejun yang simpan?" tanya Emma tidak percaya.
"Ya. Abang rasa Emma dan Yejun saja yang faham maksud lukisan ni. Emma fikir elok-elok, ya? Fikir balik kenapa semua ni jadi dan buat pilihan yang terbaik," nasihat Joshua. Pundak kepala Emma diusap lalu dia beransur ke bengkel.
════════════
19 TAHUN SEBELUM
REDUPNYA sebatang pokok merimbum, disinggahi seorang kanak-kanak bergantungan beg galas di belakang badan. Kanak-kanak perempuan tersebut terus duduk mencangkung, merapatkan lututnya ke bahagian dada. Cebikannya semakin memuncung sedepa lantas tangisannya terburai. Hati dicubit kekecewaan yang seringkali dialami.
YOU ARE READING
𝐃𝐀𝐍𝐃𝐄𝐋𝐈𝐎𝐍 𝐈𝐈: 𝐔𝐍𝐁𝐑𝐄𝐀𝐊𝐀𝐁𝐋𝐄 𝐋𝐎𝐕𝐄
FanfictionSEKUEL---> DANDELION: LAST LOVE Peluang cinta kedua itu sukar diraih tatkala hati terjahit kemas tanpa lompong dalam mengisi perasaan. Andai bunga dandelion mekar menguntum rindu, maka kehadirannya amatlah perlu. ◦ ✤ Cerita ini adalah REKAAN semat...