HAN berhati-hati memasukkan sepaket coklat masak ke dalam beg plastik. Seorang pelanggan sabar menunggu di hadapan kaunter sementara pembeliannya direkodkan dan harga yang diperlu dibayar, dikira.
"Semuanya 14,000 won," beritahu Han. Beg plastik dan kad debit bertukar tangan. Sementara menunggu mesin memproses resit, dia memerhatikan Jeongin sedang mengambil gambar melalui kamera hadapan. Coklat di tangan didekatkan di pipi kembung yang dibuat-buat.
"Terima kasih. Sila datang lagi, ya?" kata Han, murah dengan senyuman yang terukir di bibir buat pelanggan tersebut. Setelah itu dia mengarahkan pekerja lain untuk menggantikan tugasnya menjaga kaunter lalu keluar dari petak ruang berkenaan.
Kaki berhajat mendekati Jeongin tetapi mata sempat menyinggah di pintu kaca bilik pejabat. Dua orang lelaki sedang berbual serius berkenaan hal yang tidak dapat didengari dari tempat Han berdiri.
"Apalah yang disembangkan diorang? Tak rancak langsung. Yejun ada buat salah ke? Hurm... Apa-apa jelah... Mana Jeongin?" Han tercari-cari, bagai kehilangan bayang jejaka muda itu. Lehernya dipanjangkan dan kepala tergerak-gerak ke pelbagai arah.
Sedang sibuk Jeongin memilih gambar yang sesuai untuk dimuat naik sebagai kemaskini bahagian siar di Instagram, Han mengintai lalu menegur dari belakang. Jeongin berpusing badan dan mengangkat kening. Begitu ralit dia bersama telefon sehinggakan lontaran mata Han tidak dibalas.
"Jeongin buat apa tu? Kalau nak tolong promosikan kedai, beritahulah. Abang sediakan segala jenis coklat untuk Jeongin ambil gambar. Ini ambil, letak, ambil, letak. Orang lain pelik bila tengok," kata Han, separa membisik. Takut pelanggan menyangka dia memarahi Jeongin yang barangkali dianggap sebagai pembeli seperti mereka.
Jeongin tersengih. Tidak sangka, Han yang sibuk semasa di kaunter perasan tingkahnya di balik pengunjung yang lain. Memang itu niatnya, meminta Yejun menyediakan segala jenis coklat agar dia dapat membantu kedai ini mempertingkatkan jualan.
"Jeongin ada beritahu dengan Abang Yejun tadi, tapi abang tak sempat cakap apa-apa sebab ayah nak jumpa. Kalau Abang Han boleh sediakan sekarang pun, tak apa. Nanti Jeongin buat ulasan sekali. Kedai ni ada akaun Instagram?" tanya Jeongin. Perbuatan meletakkan kapsyen ditunda terlebih dahulu.
"Mestilah ada... BrownCastleSK. Terima kasih, tau... Tak sia-sia muka comel jadi Instafamous. Ala bucuk-bucuk," giat Han, menarik kedua belah pipi Jeongin. Dia jadi geram melihat pipi gebu lelaki itu. Dicubit-cubit lebar memandangkan Jeongin tidak melawan ataupun menghalang.
Kesabaran adalah kunci utama bagi meredakan hati Jeongin yang menyirap. Kalau tidak dikenangkan siapa Han buat Yejun, sudah lama disiap-siaga lembu-lembu di ladang bagi menampar lelaki itu menggunakan ekor.
'Cepatlah, ayah... Lama lagi ke dalam pejabat tu? Sembang apa dengan Abang Yejun sampai aku tak boleh ikut dengar sekali? Aku dah seram dengan si quokka ni. Tengok gigi dia. Kalau dia gigit pipi aku, mahu berlubang. Minum air, air terkeluar balik. Haa... Takut...,' bisik Jeongin dalam hati keresahan bila berlamaan di samping Han. Lelaki itu seperti tiada kerja lain yang lebih berfaedah untuk dilakukan selain meramas mukanya.
YOU ARE READING
𝐃𝐀𝐍𝐃𝐄𝐋𝐈𝐎𝐍 𝐈𝐈: 𝐔𝐍𝐁𝐑𝐄𝐀𝐊𝐀𝐁𝐋𝐄 𝐋𝐎𝐕𝐄
FanfictionSEKUEL---> DANDELION: LAST LOVE Peluang cinta kedua itu sukar diraih tatkala hati terjahit kemas tanpa lompong dalam mengisi perasaan. Andai bunga dandelion mekar menguntum rindu, maka kehadirannya amatlah perlu. ◦ ✤ Cerita ini adalah REKAAN semat...